Khamis, 11 Ogos 2016

THE NICE GUYS (2016)


Poster dengan rekaan vintage menarik minat saya untuk melihatnya, tambahan saya tidak pernah melihat Russell Crowe berlakon watak unik yang tidak mempamerkan susuk tubuh sasa, maskular dalam filem “buddy” komedi ini, walaupun beliau gemar membelasah orang tanpa belas kasihan. Saya suka filem-filem suasana retro Hollywood kerana mereka hebat dalam memperincikan prop, pakaian, kenderaan dan kesan-kesan khas termasuklah runut bunyi yang diselitkan.

Filem ini digambarkan berlaku di Los Angeles pada tahun 1977 dimana industri pornografi sedang berkembang pesat dan menjadi rebutan golongan kapitalis dan politikus. Ia bermula dengan babak kematian pelakon porno, Misty Mountains yang berkaitan dengan kehilangan seorang gadis bernama Amelia. Penyiasat persendirian, Holland March (Ryan Gosling) diupah oleh seorang wanita yang mendakwa terlihat Misty setelah insiden yang meragut nyawanya itu. Melalui siasatan itu, Holland mula menjejak Amelia kerana dia ada hubungkait dengan Misty dalam sebuah filem porno. Manakala Jack Healy (Russell Crowe) pula diupah oleh Amelia untuk menyiasat dan membelasah orang yang mengekorinya, iaitu Holland. Setelah menjalankan tugasannya, Healy telah diserang di rumah oleh 2 orang hitman menyebabkan dia sedar, Amelia terlibat dalam konspirasi yang lebih besar dan bergabung dengan Holland untuk menyelesaikan kes itu. Maka, jadilah ia kisah 2 rakan penyiasat penuh ragam lucu dan retro. Tetapi Russell Crowe tidaklah selucu mana pun, kerana bahagian bertarung memang kebolehannya.

Healy, Holland dan tambahan watak Holly, anak perempuan kepada Holland menjalankan siasatan untuk menjejak Amelia dan akhirnya mendedahkan yang Amelia merupakan anak perempuan kepada Judith Kutner, seorang pengawai tertinggi dalam US Department of Justice. Judith Kutner menyatakan beliau seorang yang tegas membenteras industri filem porno oleh kerana itu anaknya mengalami delusi, dan apabila terbabit dalam filem porno, Amelia menjadi paranoid dengan menyangka ibunya mengupah orang untuk membunuhnya. Judith seterusnya mengupah pula Healy dan Holland untuk menjejaki Amelia.

Setelah berjaya menjumpai Amelia, Healy dan Holland akhirnya mendapat tahu Judith Kutner memang menghantar pembunuh-pembunuh upahan untuk membunuh anaknya sendiri kerana beliau adalah antara dalang yang menguasai industri pornografi Detroit. Manakala Amelia sebenarnya membuat sebuah filem/dokumentari mengenai pornografi untuk mendedahkan jenayah ibunya kepada awam melalui satu acara auto show. Bagi Amelia, polis dan media yang dikuasai kerajaan tidak akan menyebelahi dirinya.

Filem ini agak menarik jalan ceritanya. Walaupun ada banyak watak kanak-kanak dan mesejnya positif dan tiada adegan seks. Ada juga babak memperlihatkan Holly menonton porno bersama orang dewasa, beberapa dialog kotor dan suasana yang kurang sesuai bagi kanak-kanak.

3/5

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...