Isnin, 5 September 2016

HIKAYAT AMIR HAMZAH (DBP)


Saya jumpa buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka cetakan pertama 1969 dalam sebuah bengkel usang tetapi keadaannya masih baik. Naskah yang terkenal di alam kesusasteraan Melayu ini ditulis oleh seorang penulis Parsi dengan judul Qissa’i Emir Hamza, dibawa oleh pendakwah dari India ke Melaka pada zaman kesultanan Melayu Melaka (1511 Masehi). Kononnya ia disalin dengan tulisan tangan oleh penulis istana raja Melaka yang mengambil masa selama 15 tahun. Padahal tak lah panjang mana hikayat ini? Namun dari kata pengenalan dalam buku ini, naskah ini diterjemahkan S. A Dahlan dari karya penyelidikan 2 orang Arab-Mesir. Oleh itu ia agak berbeza dari naskah-naskah dari zaman purbawara. Hikayat Amir Hamzah merupakan antara hikayat yang disebut dalam Sejarah Melayu, ketika pertahanan Melaka dari serangan Portugis mula goyah, hikayat ini disebarkan bagi menaikan semangat pahlawan Melayu.




Hikayat Amir Hamzah mengandungi 30 tajuk, mengisahkan keberanian dan kegagahan Sayyidina Hamzah mengepalai tentera Islam dalam peperangan menentang tentera-tentera kafir. Membaca hikayat ini sedikit sebanyak memberi penjelasan bagaimana Parsi mengembangkan pemikiran mereka melalui seni kesusasteraan yang begitu utuh di bumi Melayu. Jika anda sedar rupanya, orang Melayu sudah terdedah dengan hujah agama melalui mimpi melalui dogeng-dogengan hikayat sebegini. Bahkan status perwira sentiasa dikaitkan dengan wali-wali, nabi Khaidir dan juga penguasaan alam jin. Kadang-kala perjuangan Amir Hamzah mirip atau lebih hebat dari nabi lagaknya. Awas, terbiasa dengan kisah mimpi-mimpi yang dianggap hujah agama, anda akan mudah didekati tarekat-tarekat aneh yang sudah menular dalam masyarakat. Kata seorang pengkaji luar Hooykaas, “Hikayat Amir Hamzah” sangat terpengaruh oleh suasana Syi’ah. Aliran syiah merupakan aliran (fahaman sesat atas nama Islam) yang paling awal masuk ke Nusantara yang berasal dari Gujarat, India. Dengan demikian, sastera aliran Syi’ah merupakan satu kesusateraan klassik dunia Melayu.

S.A Dahlan sebagai seorang yang menjunjung kebenaran turut menerangkan pada kata pendahuluan, bahawa Amir Hamzah bin Abu Mutalib yang berusia 180 tahun seperti yang ditulis penulis itu tiada kebenarannya, sebaliknya Amir Hamzah bin Abu Mutalib, atau bapa saudara nabi kita itu menurut sejarah Islam hanya hidup hingga berusia 59 tahun dan hanya dua tahun lebih tua dari Rasulullah saw. Buku ini harus dibaca dengan pengetahuan bahawa ia bukan buku sirah yang sahih, bahkan hanya hiburan yang diambil dari aspek seninya. Saya bersependapat dengan ilmuan seperti Dr. Ph. S. Van Ronkel.

Berdasarkan penelitian Hikayat Amir Hamzah yang ada di Leiden, naskah A (1697) dan naskah B (1698), Van Ronkel menyimpulkan bahawa Hikayat Amir Hamzah bukan berasal dari bahasa Arab seperti yang dikatakan oleh peneliti lain, tetapi terus dari bahasa Parsi.

Van Ronkel juga berpendapat bahwa Hikayat Amir Hamzah adalah dari kumpulan “cerita dongeng” yang memuliakan agama Islam dan pahlawan-pahlawan Islam.

Khabarnya PTS sedang berusaha untuk memodenkan karya ini?

3 ulasan:

  1. Salam.. sy ingin membeli buku ini.. kt mana sy boleh dapat ya? Tolong hubungi di nombor 0172265956

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam... buku ini telah saya jual kepada cucu penulis ini sendiri. Namun tuan boleh tunggu sekejap.. PTS Book (Batu Caves) sedang berusaha menerbitkan semula karya ini dalam masa terdekat.

      Padam