Jumaat, 2 Mac 2018

THE RITUAL (2017)


Sebagai seorang yang suka aktiviti masuk hutan dan berkhemah, saya jadi tertarik apabila mendapat tahu filem ini mengisahkan tentang 4 orang sahabat baik Phil, Dom, Hutch, dan Luke yang memutuskan untuk hiking di Kungsleden (King's Trail) in Sarek National Park, utara Sweden sebagai penghormatan terakhir kepada sahabat mereka Rob yang terbunuh dalam satu kes samun di kedai serbaneka. Mulanya saya terfikir mereka tersalah tempat untuk buat ritual penghormatan terakhir (pasang lilin dan minum whiskey) kepada mendiang rakan mereka itu. Saya teringatkan filem Pet Sematary hehe!. Rupanya mereka benar-benar tersasar ke hutan yang masih dihuni puak pagan yang mengamalkan sihir dan menyembah dewa hutan. 

Di Sweden dan Norway mereka ada satu undang-undang yang membenarkan seseorang untuk mengembara dan tidur di mana sahaja dipanggil allemansrätten dan di Finland aktiviti yang sama dipanggil jokamiehenoikeus bermaksud "kebebasan setiap insan" yang mana anda boleh mengembara dengan berjalan, naik basikal atau boat, berkhemah tak kira atas tanah siapa pun sekurang-kurangnya sehari bahkan petik bunga dan buah di situ dengan syarat anda berada jauh dan tidak ganggu rumah tuan tanah disamping tidak buang sampah sarap merata-rata. Hebatkan budaya mereka?

Bermula dengan mimpi aneh apabila mereka tumpang berteduh di sebuah rumah usang yang ada berhala dan penuh runes (simbol sihir purba dari negara Viking), hingga mereka mula diserang raksasa yang menyangkut mayat pada pokok dan merobek isi perut mangsanya. Bagi yang terpilih pula si dewa akan dilorekkan rune dibadan untuk menjadi penyembahnya untuk tinggal di hutan itu dibawah pengawasannya. Dan dalam 4 orang sahabat ini, Luke telah dipilih kerana dia masih berduka akibat diburu rasa bersalah terhadap kematian Rob. Dan itulah janji si dewa, para penyembahnya perlu tinggal di hutan tanpa sebarang duka lara lagi. 

Semua persoalan ini terjawab apabila Luke akhirnya ditangkap oleh penghuni-penghuni hutan itu yang memberitahu bahawa mereka adalah penyembah Jötunn, makhluk gergasi yang merupakan anak haram kepada tuhan Loki. Mereka kononnya dianugerahkan usia yang panjang oleh Jötunn. 

Secara keseluruhan filem ini menarik, CGI juga terbaik, begitu juga kemasan dan perincian dalam babak cemas, pembawaan emosi, serta elemen seram dan gore dan ilmu hitam. Saya percaya ianya lebih menyeramkan jika membaca karya asal dalam versi novel tulisan Adam Nevill. 

Walaupun kisah beberapa orang sahabat tersesat dalam hutan dan terdampar di rumah buruk seterusnya diserang entiti mengerikan adalah idea lama. The Ritual berjaya membawakan nafas baru dalam genre ini. Sesuai untuk tontonan keluarga.

3.5/5

Tiada ulasan:

Catat Ulasan