Rabu, 2 Jun 2021

RAJIN IBADAH: ANTARA PUNAH DAN SUNNAH


Bermulanya PKP pada 1hb kelmarin ada tak antara kita yang menerima undangan untuk dimasukkan ke dalam ‘group Whattsapp selawat’? Pada jam-jam tertentu admin akan forward selawat Munijah, selawat Tarfijiyah, selawat Syifa, Selawat Nur, dan bermacam-macam lagi. Kita akan diarahkan membaca bersama-sama ahli lain pada hari tentu, kadar tertentu dengan niat tertentu seperti persetujuan ahli group. Lebih hebat, ahli group akan atur Google Meeting pada jam dan hari tentu untuk melantunkan selawat beramai-ramai dipandukan oleh seorang ‘khalifah’ untuk mencapai hajat keselamatan. Selawat-selawat ini yang entah dari mana asalnya (sesetengahnya ialah lirik qasidah namun dianggap bacaan selawat) sudah menjadi dominan melebihi selawat Ibrahimiyah yang diajarkan terus daripada Nabi salallahu alaihi wassalam.

Ada tak yang menerima mesej undangan untuk solat hajat serentak satu Malaysia pada hari dan jam tertentu untuk mohon keselamatan? Solat hajat perdana pada waktu yang sama ini turut dipromosi oleh stesen-stesen TV. Nampak cantik dah tu… sebab nak ambil SPM aritu pun PIBG dah anjurkan ibu bapa dan para pelajar untuk hadir solat hajat berjemaah di sekolah, takkan solat hajat minta dihindari wabak penyakit tak boleh kot!?

Ada tak yang terima mesej untuk bergabung bersama satu jemaah membaca surah Yasin selepas Subuh pada hari Jumaat lalu dengan hajat agar Allah jauhkan dari ancaman Covid-19? Baca al-Quran takkanlah salah? Hanya syaitan ja kot yang tak suka orang baca al-Quran!

Ini sebahagian daripada bermacam-macam lagi ritual yang dibuat oleh masyarakat kita untuk mendepani ancaman musibah Covid-19.

Pertama sekali kita perlu tahu, tujuan ibadah ialah untuk kita dekatkan diri dengan Tuhan, kaedah atau resamnya wajib mengikut kehendak Tuhan maka sebab itulah Dia melantik seorang manusia yang mempunyai sebaik-baik pekerti untuk mengajarkan tatacaranya kepada kita. Tuhan redha dan sayang kepada manusia itu, namanya Muhammad dan Tuhan bersaksi akan menyayangi dan merahmati setiap manusia yang mengikut langkah kekasihNya itu.

قُلْ اِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّوْنَ اللّٰهَ فَاتَّبِعُوْنِيْ يُحْبِبْكُمُ اللّٰهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ
Katakanlah, "Jika kalian (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihimu dan mengampuni dosa-dosamu ".[QS. Ali Imran: 31].

Ayat yang mulia ini menilai setiap orang yang mengakui dirinya cinta kepada Allah, sedangkan dia tidak berada pada jalan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad salallahu alaihi wasallam.

Bahawa sesungguhnya dia ialah orang yang berdusta dalam pengakuannya sehinggalah jika dia mengikuti syariat Nabi salallahu alaihi wasallam dan agama yang dibawa baginda dalam semua ucapan dan perbuatannya. Kerana itulah maka dalam ayat ini disebutkan melalui firmanNya: "Jika kalian (benar-benar) mencintai Allah, (maka) ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kalian."[QS. Ali Imran: 31].

Kalian akan mendapat balasan yang lebih besar daripada apa yang telah diminta oleh Allah ke atas kalian supaya mencintaiNya, iaitu balasannya adalah Dia akan mencintai kalian. Kecintaan Allah kepada kalian dinilai lebih besar daripada kecintaan kalian kepadaNya.

Seperti yang dikatakan oleh sebahagian orang-orang yang arif daripada para ulama bahawa:

ليس الشأن أن تحِب، إنما الشأن أن تحَب
"Bukanlah yang menjadi ukurannya bagaimana kamu mencintai, tetapi yang sebenarnya ialah bagaimana kamu akan dicintai." [Tafsir Al-Quranul 'Azim lbni Kathir 3/31].

Kita perlu juga perlu tahu ritual-ritual agama yang diajarkan oleh Nabi salallahu alaihi wasallam tidak ada manfaatnya bagi Tuhan, sebaliknya faedah ibadah-ibadah itu kembali kepada mereka yang mendirikannya dengan ikhlas dengan cara yang betul yakni mengikut Sunnah Nabi. Allah tidak memerlukan kita, Allah tidak sedikit pun akan jadi lemah, Dia tidak akan gusar andainya seluruh umat manusia menjadi syaitan dan enggan menyembahNya. Firman Allah dalam sebahagian petikan hadis Qudsi yang panjang:

“….Wahai hamba-hambaKu sesungguhnya tidak ada kemudharatan yang dapat kalian lakukan kepadaKu sebagaimana tidak ada kemanfaatan yang kalian berikan kepadaKu. Wahai hamba-hambaKu seandainya orang terdahulu di antara kalian sampai orang terakhir daripada kalangan manusia dan jin, semuanya berada dalam keadaan paling bertakwa di antara kamu, nescaya hal tersebut tidak menambah kerajaanKu sedikitpun. Wahai hamba-hambaKu seandainya orang terdahulu di antara kalian sampai orang terakhir daripada golongan manusia dan jin di antara kalian, semuanya seperti orang yang paling derhaka di antara kalian, nescaya hal itu tidak mengurangi kerajaanKu sedikitpun juga. Wahai hamba-hambaKu, seandainya orang pertama diantara kalian sampai orang terakhir daripada kalangan manusia dan jin semuanya berdiri di sebuah bukit lalu kalian meminta kepadaKu, lalu setiap orang yang meminta Aku penuhi, nescaya hal itu tidak mengurangi apa yang Aku miliki melainkan seperti sebatang jarum yang dicelupkan di tengah lautan”. (Hadis riwayat Muslim).

Dan ditambah pula ancaman keras lagi ngeri bagi mereka yang mengada-adakan dan mereka cipta ritual-ritual agama:


أَنَا فَرَطُكُمْ عَلَى الْحَوْضِ ، لَيُرْفَعَنَّ إِلَىَّ رِجَالٌ مِنْكُمْ حَتَّى إِذَا أَهْوَيْتُ لأُنَاوِلَهُمُ اخْتُلِجُوا دُونِى فَأَقُولُ أَىْ رَبِّ أَصْحَابِى .
 يَقُولُ لاَ تَدْرِى مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ

"Aku akan mendahului kalian di al-haudh (telaga). Dinampakkan di hadapanku beberapa orang di antara kalian. Ketika aku ingin mengambil (minuman) untuk mereka dari al-haudh, mereka dijauhkan daripadaku. Aku lantas berkata, ‘Wahai Rabbku, ini ialah umatku.’ Lalu Allah berfirman, ‘Engkau sebenarnya tidak mengetahui bid’ah yang mereka buat sesudahmu." (Hadis riwayat Bukhari, no. 7049, daripada Abu Wail, daripada ‘Abdullah).

أَلَا وَإِنَّ أَوَّلَ الْخَلَائِقِ يُكْسَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلَام أَلَا وَإِنَّهُ سَيُجَاءُ بِرِجَالٍ مِنْ أُمَّتِي فَيُؤْخَذُ بِهِمْ ذَاتَ الشِّمَالِ فَأَقُولُ يَا رَبِّ أَصْحَابِي فَيُقَالُ إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ
“Sesungguhnya manusia pertama yang diberi pakaian pada hari kiamat ialah Ibrahim ‘alaihis salam. Ingatlah, bahawa nanti akan ada sekelompok umatku yang dihalau ke sebelah kiri… maka kutanyakan: “Ya Rabbi… mereka ialah sahabatku?”, akan tetapi jawabanNya: “Kamu tidak tahu akan apa yang mereka ada-adakan sepeninggalanmu…” (Hadis riwayat Bukhari, no. 6526, 4625, 4626, 4740, 3349; Muslim, no. 2860, dari sahabat ‘Abdullah bin ‘Abbas).

مَنْ أَحْدَثَ فِى أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
“Barangsiapa membuat suatu perkara baru dalam agama kami ini yang tidak ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak.” (Hadis riwayat Bukhari no. 20 dan Muslim no. 1718).

Aku berikan satu analogi agar kita faham authoriti Nabi Muammad dan displin yang perlu kita ikut jika benar kita mengaku sebagai umatnya. 

Pemerintah negeri GULA GEREK berbesar hati untuk mengurniakan satu kegiatan yang boleh membantu rakyat yang tiada sumber pendapatan dan menambah hasil bagi rakyat yang sudah berpendapatan. Yang paling penting mereka berminat dalam pertanian. Maka pemerintah pun bersetuju mengeluarkan sejumlah dana dari perbendaharaan negeri untuk pemberian benih Harumanis secara percuma kepada rakyat dan melantik Jabatan Pertanian Negeri Gula Gerek untuk menguruskan hal ini. Kiranya pentadbiran negeri Gula Gerek ini hebatlah, kerajaan yang berpandangan jauh dan mementingkan kebajikan rakyat.

Namun pemerintah telah menetapkan syaratnya dan mengarahkan Jabatan Pertanian Negeri Gula Gerek untuk mewar-warkan hal ini kepada semua rakyat. Pihak Jabatan diminta untuk memastikan syarat-syarat permohonan dipenuhi dan memantau kegiatan pertanian Harumanis itu nanti. Pemerintah sudah awal-awal lagi tahu, tanpa syarat dan pemantauan, projek ini akan gagal kerana masalah sikap malas atau diselewengkan oleh golongan tertentu.

Syarat-syarat pemberian benih percuma Harumanis untuk kemajuan ekonomi tersebut adalah:

1. tertakluk kepada rakyat Negeri Gula Gerek sahaja.

2. Pemohon perlu mempunyai tanah sendiri yang terletak di kawasan bersuhu panas, mempunyai bacaan PH 6.00 ke atas dan mengalami kemarau 2-3 bulan dalam setahun. Ciri-ciri ini adalah kemestian bagi menjamin produktiviti tanaman itu nanti.

3. Wajib mengikuti kursus yang diberikan Jabatan Pertanian Negeri Gula Gerek.

4. Setiap penerima layak mendapat benih sebanyak 30 pokok sahaja biarpun tanahnya luas.

5. Wajib mengikut panduan yang diberikan dari kursus tersebut seperti: kadar pengunaan racun, kadar baja, waktu terbaik untuk siraman air, waktu terbaik membalut buah dan waktu terbaik untuk memetik buah. Denda akan dikeluarkan bagi penerima yang gagal mematuhi arahan.

6. Hasilnya harus ditolak kepada pusat pengumpulan buah yang ditentukan pemerintah. Dilarang jual sebarangan.

7. Rakyat yang berjaya dalam pertanian Harumanis itu diminta supaya membantu rakyat yang lain dari segi nasihat dan tips. Pemerintah akan memberi upah oleh atas khidmat mereka itu.

8. Permohonan dianggap tertolak jika tidak memenuhi syarat 1 hingga 3.

Secara logik dalam sistem pentadbiran dunia pun kita sebagai rakyat wajib taat kepada pemerintah. Inikan pula jika pemerintah itu menetapkan sesuatu undang-undang yang adil atau ingin memberi sesuatu kebaikan, bantuan atau kebajikan kepada rakyatnya, sudah tentulah kita perlu ikut terma, syarat dan tatacara yang telah ditentukan secara sistematik.

OK. Itu baru keadilan dan kebaikan pemerintah negeri Gula Gerek. Bagaimana pula pemerintah alam sejagat ini, sudah tentulah syarat dan kaedah beribadat yang Dia tentukan lebih berhak untuk kita ikut.

Sudah hadam anologi ini?

 Semoga Allah memimpin kita ke arah taufik dan menetapkan hidayah dalam sanubari.

- Ra1m1


Tiada ulasan:

Catat Ulasan