Rabu, 7 Julai 2021

WUDUK DENGAN MENYAPU ATAS KHUF

Saya sering memakai khuf dan sandal bila bekerja pada hari Jumaat. Mudah urusan!

Apabila seluruh negara menjadi gawat akibat serangan virus Covid-19, rutin harian kita berubah, kita terpaksa menjalani kehidupan dengan norma baharu seperti larangan bersolat di masjid, larangan solat berjemaah, dan tidak dibenarkan mengambil wuduk di tempat awam. Saya sendiri pernah menunaikan solat di tepi kereta, di kawasan parkir supermarket kerana surau ditutup. Di sesetengah tempat rakyat masih dibenarkan pergi membeli belah namun tidak dibenarkan bersembahyang di rumah ibadat. Kita wajib mentaati arahan pemerintah dan perlu akur bahawa tindakan tersebut dikeluarkan sebagai salah satu usaha untuk mengekang penularan wabak dan memutuskan rantaian jangkitan. Itulah saranan pakar-pakar perubatan yang digunakpakai buat masa ini. Bagaimanapun solat wajib ditunaikan, namun orang kita bagaikan sukar untuk membiasakan diri bersolat dimana-mana sahaja (asalkan bukan di tandas atau kuburan) biarpun tanpa sajadah, tanpa air, tanpa kopiah dan tempat tanpa penghawa dingin.

Jom kita biasakan diri dengan berwuduk dengan cara menyapu atas khuf. Tahukah anda, kebiasaan Nabi salallahu alaihi wasallam dan para sahabatnya bersolat dengan memakai kasut? Ini kerana sudah menjadi kebiasaan mereka memakai khuf. Lantai masjid dahulu kala bukanlah bersimen atau dipasang jubin mewah seperti masjid-masjid sekarang. Lantas memakai kasut ketika solat termasuk dalam sunnah Nabi, bahkan ia dianggap antara sunnah yang dilupakan hari ini. Jom kita hidupkan semula sunnah ini. Dengan mengambil ruksah ini (keringanan), ia akan memudahkan kita urusan kita untuk bersolat di pejabat, di tepi jalan, di dalam hutan, di atas bas, kapal, ketika sakit dan serangan wabak seperti sekarang.

Daripada Syaddad bin Aus R.A, Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Berbezalah dengan orang Yahudi. Sesungguhnya mereka tidak bersolat sambil memakai kasut atau khuf.” (Hadis riwayat Abi Dawud: # 652).

Lantas apakah khuf? 

Khuf ialah sejenis stokin kulit haiwan yang menutupi kaki hingga buku lali. Buku lali ialah tulang sendi yang timbul di antara kaki dengan betis. Di zaman moden ini, para ulama bersetuju bahawa khuf boleh disama ertikan dengan stokin dan kasut. 

Kaedah menyapu atas khuf ini terpakai setelah kita telah berwuduk sewaktu menyarungkan khuf, stokin, kasut. Kemudian jika wuduk tadi terbatal dalam permusafiran, wuduk itu boleh diperbaharui dengan kaedah menyapu khuf dalam tempoh 3 hari selama tidak dibuka stokin atau kasut itu. Bagi orang yang bermukim, macam saya pergi pejabat dengan memakai khuf, maka ia hanya laku untuk tempoh 1 hari sahaja.

Saidina Ali berkata; “Jika sekiranya agama itu boleh diputuskan dengan akal, nescaya menyapu di bawah khuf lebih logik dari menyapu di atasnya. Namun aku telah melihat Nabi s.a.w. menyapu bahagian atas dua khufnya”. (Sahih Abu Daud no. 162, Daruquthniy no. 73).

Adapun kadar yang wajib disapu, para ulamak berbeza pandangan tentangnya. Bagi mazhab Imam Syafi’ie; memadai dengan satu jari yang dibasahi air dan diletakkan di atasnya. Menurut mazhab Imam Ahmad; hendaklah disapu sebahagian besarnya. Menurut mazhab Imam Abu Hanifah pula; wajib menyapu sekurang-kurangnya seluas tiga jari.

Sila tonton video saya menyapu air  atas kasut sewaktu ingin menunaikan solat berdekat sebuah jambatan ketika bermusafir di Jakarta pada tahun 2017 lalu. Saya pilih kaedah kaedah Hanafi dalam video ni. Dengan mengunakan 3 jari.


Kaedah global berwuduk basuhan 3 kali setiap anggota terlibat itu adalah yang paling popular. Namun tidak semestinya basuhan kurang dari itu menjadi salah. Ini dalilnya:

Ibnu Abbas menceritakan, maksudnya "Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berwudhu sekali-sekali". (Hadis riwayat al-Bukhari #157)

Kemudian daripada Abdullah bin Zaid, dia menceritakan, maksudnya "Bahawa Nabi salallahu alaihi wa sallam berwudhu dua kali-dua kali". (Hadis riwayat al-Bukhari #158).

Anas bin Malik menceritakan Nabi hanya mengunakan satu mangkuk air untuk berwuduk (rujuk hadis Muslim 325). Ini menunjukkan hanya sedikit air sudah cukup untuk menyempurnakan wuduk. Kata Ibn Taimiyyah "Antara petanda kefahaman agama seseorang itu adalah apabila ia makin mengurangi jumlah air untuk berwuduk" (al-Majmo' 21/298).


-Rammy, 7/7/2021
Kemaskini jumlah mangsa Covid-19 seluruh Malaysia pada hari ini adalah 7,097 kes.

2 ulasan:

  1. ilmu yang berguna, terima kasih tuan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Minta sebarkan kat kawan-kawan, moga kita semua dapat manfaat atas ruksah ini, kerana kata Nabi ruksah adalah hadiah daripada Allah kepada kita.

      Padam