Sabtu, 25 September 2021

RIDE PANAS ENJIN 2021: TRAVEL BUBBLE "HIDUP BERSAMA VIRUS"


Pulau Langkawi mula dibuka kepada pelancong dari seluruh negara kecuali mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula 16 September lalu. Meskipun begitu, para pelancong mestilah memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri ke Langkawi.

Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka ke Langkawi dari negeri Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan.

Ride Panas Enjin ini sebenarnya disuarakan oleh Pak Long Am, katanya dia bosan sangat kerana sudah hampir setahun tak keluar ke mana-mana. Memandangkan Pak Long Am pun sedang heartbreak (putus cinta), eloklah dia keluar cari ketenangan di Pulau Langkawi. Saya beritahu awal-awal lagi saya tidak dapat pergi lama kerana isteri sedang sarat mengandung, setakat 2 hari 1 malam itu, OK lah? Dia tak kisah, janji dapat ride panaskan enjin motor pun sudah OK. Kami malas hendak serbu pada 16hb lalu kerana nampak macam sangap sangat. Kami tangguh ke 24hb (Jumaat), jadi boleh tengok perkembangan di Langkawi dahulu namun tiket feri Langkawi Auto Ekspress (feri bawa kenderaan) sudah kami tempah awal melalui web mereka. Harganya ikut kapasiti enjin, bagi motorsikal 250CC ke bawah, tiket pergi balik RM127.00 sahaja termasuk tuannya sekali. Saya cadangkan anda pilih Langkawi Auto Ekspress berbanding syarikat lain, walaupun masa perjalanannya menjangkau 3 jam. Keselesaannya berbaloi. Kami turut menempah siap penginapan hotel di Pantai Cenang dengan harga yang begitu murah. Mungkin semua ini untuk menyokong projek rintis Gelembung Perlancongan Domestik.

Tibalah hari yang dirancang, Pak Long Am mengajak saya untuk melakukan ujian Covid-19 pada awal pagi kerana dia tidak mahu kalut dan ingin bersarapan di jeti, pada jam 8.30 pagi saya pun bergerak ke jeti bersama isteri kerana saya ingin membeli beberapa kelengkapan berkhemah di Mr. DIY untuk dibawa bersama. Tiket feri kami jam 11.30 pagi, maka dapatlah kami bersarapan bersama Pak Long. Tiba di jeti kami lega kerana apa yang ditularkan media sosial ternyata berbeza, keadaan tidaklah sesibuk mana pun. Namun malang sekali, petugas-petugas di area ujian Covid-19 nampaknya tidak begitu cekap dan sistematik. Ada pelancong yang hampir bertumbuk dengan petugas di situ kerana tertekan dengan pengurusan yang lembab dan lemah. Mereka tidak membahagikan pelancong yang datang mengikut keutamaan jadual feri sehingga ditegur oleh Pak Long Am. Keadaan menjadi lebih tegang bagi kami apabila tahu permit dari Balai Polis perlu dimohon untuk perjalanan ini, kami pun bergegas ke Balai Polis Kuala Perlis pula. Alhamdulilah urusannya tak sampai 10 minit. Saya sedikit geram apabila bertanya kepada petugas, kenapa lambat kerana kami perlu selesaikan urusan dokumen lain lagi. Dia menjawab “Hang ada wifi? Wifi ada?”. Maksudnya mereka sedang ada masalah internetlah tu. Tapi punyalah kerek dia punya ayat. Benarlah seperti yang dikata seorang rakan kami, JKN Perlis selalunya buat sampling 500 orang sehari, tiba-tiba kena buat 3000 sehari, begitulah jadinya. Ralit. Sedangkan negeri lain setakat hendak urus klien sebanyak itu memang perkara biasa sahaja. Saya hendak kata lebih-lebih pun Jabatan saya pun begitu, kami di Perlis secara umumnya begitulah... Perlis: Damai lagi Mempersona!

Bagi mereka yang ingin ke Langkawi atas urusan perlancongan perkara yang anda perlu tahu dan sediakan ialah:

- Bukti pengambilan 2 dos vaksin. (sijil MySejahtera).

- Permit Balai Polis (jika urusan kerja hanya perlu tunjuk surat berkaitan kerja)

- Harga test kit RM19.90. Kakitangan KKM akan guide cara untuk buat ujian dan mereka akan cop lulus/gagal di resit bayaran. Bagi yang sudah buat ujian di klinik/pusat kesihatan, anda terpaksa membeli Laporan di situ dengan harga RM15.00. Jadi seeloknya buat di situ aja.

- Anda akan diarahkan isi berbagai e-form lagi. Perlu screenshot dan ditunjukkan bila diminta.

- Check-in di kaunter feri. (Cetak tiket di rumah)

- Surat pengistiharan kastam (akan disediakan oleh syarikat feri, sila email geran kenderaan dan KP kepada mereka awal 3 hari).

- Jangan lupa bawa, Dettol spray (saya guna FamilyGuard)

Keadaan di dalam feri selesa sekali walaupun ada penjarakan. Kami berehat di café sebentar kemudian bergerak ke deck kerana pemandangan lebih cantik di situ. Kebanyakan penumpang berbual tentang kelemahan urusan KKM di jeti tadi. Semoga mereka memperbaiki perkhidmatan mereka. Rasanya urusan di pintu sempadan Thailand pun tidak celaru seperti ini.



Kami berlabuh di Dermaga Tanjung Lembung pada jam 2.00 petang, dan terus memecut ke Air Terjun Temurun, di pertengahan jalan kami singgah makan tengahari di Pak Long Sup Kedah berdekatan Beras Terbakar, Kampung Raja. Sebaik perut kenyang kami sambung perjalanan sejauh 36 KM menyusur Jalan Datai dan tiba pada jam 3.15 petang. Keadaan kenderaan tidaklah banyak namun jumlah pengunjung yang sedang berendam di jeram boleh dikatakan ramai juga. Tiada siapa yang memakai penutup muka di sini. Ya lah! Macam mana hendak mandi jika memakainya. Haha! Pemandangan Air Terjun Temurun memang mahal. Rugi Pak Long Am tidak mahu berjalan sejauh 200 meter sahaja lagi dari tempat parkir motorsikal untuk menikmati keindahan alam biarpun bukan untuk membasahkan diri dengan mandi manda, sekurang-kurangnya dapat membasahkan lidah dengan menyebut “masya Allah” atas keindahan ini. Kata penjaja di situ sudah 2 minggu hujan tidak turun di Langkawi. Jika tidak, Air Terjun Temurun pasti lebih indah jadinya.




Kami solat di situ dan atas cadangan penjaja itu, kami memecut ke Pantai Tanjung Rhu pula walaupun asalnya kami hanya mahu camping di Pantai Pasir Tengkorak yang terletak 2 KM sahaja dari Temurun. Kata Pak Long Am pun dia sudah selalu sangat berkelah di Pasir Tengkorak. Melalui petua penjaja itu, kami pergi penghujung Pantai Tanjung Rhu yang katanya lebih sunyi, tenang dan permai. 25 KM terasa dekat sahaja kerana cuaca yang mendung dan dingin, walaupun memakai jaket kulit, tidak terasa bahang panas. Kami memilih tempat yang agak menarik untuk mendirikan khemah, mengadap Pulau Chabang dan Pulau Ketam Baya. Pasirnya putih, halus dan sesuai untuk berbaring. Ombaknya tenang dengan air hijau kebiruan bagaikan terapi yang diperlukan oleh Pak Long Am. Namun ternyata saya sudah silap kerana menyangka dia patah hati, sebaliknya dia jatuh cinta lagi! Maka tak habis-habislah dia bermain mesej dan mengetik foto untuk si dia. Takpalah… saya berdoa agar Pak Long bahagia. Sudah lama dia menyendiri, moga kali ini menjadi.



Apabila mentari mula menyinsing, langit menjadi merah dan romantis sekali, kami berkemas dan memecut pula ke Pantai Cenang untuk mendaftar masuk di Best Star Hotel. Cadangnya kami ingin buka khemah di Pantai Cenang pula kerana hotel itu bersebelahan pantai, tetapi setelah kena penghawa dingin dan mandi, masing-masing terbaring keletihan. Pukul jam 9.00 malam kami bingkas bangun ke warung berdekatan untuk makan malam, sementara Raffiq dan isterinya dalam perjalanan untuk lepak bersama. Kesian Man VPBK yang demam teruk selepas menerima vaksin ke-2, jadi dia tidak dapat hadir malam ini. Begitu juga Jazli yang bertugas mengasuh anak kecilnya malam ini. Kami berempat terus ke The Edge untuk berbual-bual. Raffiq, nampaknya Raffiq juga akan menjadi ayah dua bulan lagi. Man VPBK, Jazli, Joe Deathgrezor, Izat Isa, sudah macam saudara saya di sini, kalau datang tak dapat jumpa mereka rasa macam tak lengkap. Namun apa boleh buat, kira hanya merancang, Tuhan menentukan. 


Esoknya kami bangun awal pagi dan terus memecut pula ke Gunung Raya, sempat juga kami membeli bekalan nasi lemak di Kedawang untuk makan di atas puncak nanti. Pengalaman pertama menaiki Gunung Raya ini lebih kurang seperti menaiki Gunung Jerai juga walaupun Gunung Raya setinggi 881 meter berbanding Jerai yang mencecah 1,207 meter. Tetapi pemandangan Gunung Raya bagi saya jauh lebih menakjubkan. Kami bersarapan di Tangga Helang Seribu Kenangan sebelum naik ke puncak untuk meninjau.



Kemudian kami memecut ke Makam Mahsuri kerana Pak Long Am ingin membeli buah tangan kepada si dia dan seterusnya kami kembali ke Cenang untuk membeli cokelat di The Zon. Kami lepak dengan Raffiq sekali lagi, dia tak lupa memberi hadiah minyak angin kepada saya tiap kami berjumpa. Produk perubatan tradisional Warisan Tok Saju sememangnya khazanah Langkawi. Sementara menantikan feri bergerak pada pukul 2.00 petang, kami camping di Pantai Cenang pula, sempat juga melelapkan mata untuk 1 jam. Rakan Perlis Zine Fest kami, Hakimah yang bertugas dalam bidang kulinari di Pulau Rebak Besar menjemput kami ke sana namun terpaksa kami tolak kerana kesuntukan masa.


Kami tiba di Dermaga Tanjung Lembung pada pukul 1.30 petang, tiada ujian covid-19, tidak perlu isi sebarang boring selain check in di kaunter Langkawi Auto Ekspress. Maka tamatlah kembara kami di Langkawi selama 24 jam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan