Sabtu, 12 Februari 2022

MALAIKAT MENDOAKAN PEMINUM KOPI?

 "Barangsiapa yang meninggal dunia sedang dalam perutnya ada kopi. Maka dia masuk syurga" 

Beberapa tahun lalu tular kenyataan tersebut daripada seorang tokoh Sufi Indonesia. Hari ini ada dakwaan baharu pula daripada seorang guru Sufi di Indonesia mengatakan selagimana ada bau kopi di mulut seseorang itu, selama itulah para malaikat akan mendoakannya.

PERTAMA sekali, kata-kata ini bukan hadith, melainkan kata-kata ahli Sufi yang gemar minum kopi lalu mula mereka-reka fadhilat minum kopi untuk tujuan-tujuan tertentu. Bahkan semua hadith tentang kopi atau "qahwah" atau disebut juga sebagai "al-Bunnu" adalah PALSU dan DUSTA kerana minuman ini belum ditemui di zaman Nabi Salallahu alaihi wassalam.

Qahwah atau kopi muncul kira-kira pada kurun ke-10 hijrah, tersebar luas dalam kalangan umat Islam, minuman aneh ini dibahas dan menimbulkan perbezaan pendapat tentang halal atau haram kerana ia memberikan kecergasan terutamanya bagi yang gemar bersolat tahajud pada lewat malam. Bagaimanapun, akhirnya semua ulama bersetuju kopi termasuk dalam minuman yang halal.

Dikatakan warung kopi pertama dibuka di Yaman pada kurun ke-15 Masihi, kemudian pedagang Turki membawa pulang pakej perniagaan minuman kopi ke Turki. Ketika itu bangsa Eropah sangat membenci kopi yang sinonim dengan masyarakat Muslim dan mengharamkannya dengan panggilan "Wine of Arab" dan "Minuman untuk Syaitan". Namun kini kopi digilai semua orang dan diubahsuai menjadi minuman manis yang tidak lagi sihat.

Berita tentang malaikat melakukan itu ini kerana sebab itu dan ini adalah termasuk dalam hal ghaib yang kita tidak ketahui melainkan dari wahyu (Quran) atau khabar daripada Nabi (hadith sahih). Oleh itu tinggalkan karut marut yang dibawa oleh penglipur lara bertopeng ulama.

2 ulasan: