Ahad, 16 Julai 2023

SELAMAT TINGGAL MOHD AZIZI @ CIWI BIN ABU BAKAR

Foto Azizi @ Ciwi paling lama yang ada dalam arkib. Kami berhenti tunggu hujan reda di Simpang Empat, Sanglang sewaktu dalam perjalanan naik motorsikal Honda C70
ke Shahab Perdana, Alor Setar untuk ke gig di Penang. Mungkin tahun 1999  atau 2000?

Dalam minggu ini aku kehilangan 2 orang sahabat baik iaitu Bain dan Ciwi, tak banyak yang aku dapat himpunkan tentang Bain (37 tahun) kerana perbezaan jarak umur kami namun kalau dikenangkan banyak juga kisah suka duka Bain yang dikongsikan kepada aku kerana sudah menjadi kelaziman beliau suka bertanya itu dan ini tak kira tentang agama atau kehidupan. Bain apabila kedai makan dan perusahaan kambing bakarnya mula laris dan berkembang, dia menjadi sangat dermawan. Dia menyokong acara Perlis Zine Fest yang aku anjurkan melalui sumbangan kudrat dan wang ringgit, dia aturkan majlis iftar untuk pusat pemulihan kanak-kanak OKU di bawah penyelarasan aku selama 2 tahun berturut-turut, dia juga memberi sokongan apabila isteri aku berjinak-jinak dalam perniagaan nasi lemak dan roti. Teringat pula suatu malam, Zamri Vinoth minta cadangan untuk bawa Mufti Perlis, Dr. MAZA makan malam, aku cadangkan Ehem-Ehem, bila sampai aja terus Dr. MAZA tanya Bain, "Ehem-Ehem? Apa dia Ehem-Ehem?". Bain gelak tanpa jawapan, tapi sejak malam itu Dr. Maza sering datang makan malam di situ, maknanya sedaplah tu..

Namun Ciwi (44 tahun) ini lain, kami sebaya, yang membesar dengan minat yang hampir sama biarpun dari kasta yang berbeza. Ciwi bukanlah orang susah, dia tidak pernah mengalami masalah kewangan, jika dia kata takda duit itu bukanlah bermakna dalam poket tinggal 3 kupang macam aku, tapi takda duit Ciwi tu bermaksud duit belum diterima aja, tunggu sekejap! Tetapi imej dia memang crusty, dan dahulu dia memang jalan kaki sahaja untuk mana-mana. Aku ingat lagi, tahun 90an dahulu nama dia memang top di balai Kangar kerana sering kena tangkap melilau jalan kaki jam 3:00 -4:00 pagi, zaman itu hanya penyamun sahaja yang hidup nocturnal macam beliau. Akhirnya polis pun tak kacau lagi kalau jumpa dia sebab sudah rutin dia macam itu, polis pun dah kenal dengan arwah mak dia. Zaman itu kami tak kerja, mengaji pun sangkut, kami reckless masa itu, ada sahaja yang tak kena. Ciwi dia fighter… dia tak takut apa pun, siapa pun. Kalau dia beritahu dia takut, itu bermakna dia menipulah tu untuk layan kawan-kawan pengecut ni. Dia punya brotherhood memang tak boleh lawan, dia sanggup mati kerana kawan tapi belum tentu kawan sanggup mati untuk dia. Dia ini pesilatlah, namun bila tengok aku main muay, dia tak kisah ikut kami berlatih muay. Dan dia orang paling teruja bila aku set up gym muay thai bawah pokok putat di Kampung Repoh dahulu. Biarpun kami hanya guna pelita minyak tanah, dia dan Diken giat turun berlatih 2 kali seminggu. Aku penah tengok dia lawan dalam ring dan jalanan, bagi aku, dia bukan fighter yang lincah. Tetapi dia punya lasak dan azam tu yang buat lawan gerun dekat dia. Dia ini jenis tak akan undur punya orang. Kalau 10 orang nak belasah dia, biar pun dia tahu dia akan kena lanyak, dia pasti pergi punya! Dia peduli apa. Ciwi gelak bila dengar orang cerita fasal sakti, makrifat dan hantu. Karut belaka tu. Dia orang yang faham tauhid.

Selain seni beladiri, Ciwi meminati muzik, dahulu asalnya dia minat Nirvana, masa itu dia memang kacak orangnya, baju, seluar, rambut memang macam Kurt Cobain. Apabila dia mula rapat dengan kami citarasa dia mula menjadi berat, Ciwi punya tabiat dia akan mendengar Walkman dengan kekuatan maksima tanpa henti hingga bateri habis. Penah satu ketika, dia dengar kaset Slayer hingga telinga sakit dan bernanah sampai doktor nasihat dia supaya jangan dera telinga begitu. Sejak itu dia tak dengar Walkman lagi. Citarasa Ciwi unik, dia meminati Meshuggah, Machine Head, Soulfly, Carcass, Skid Row, Within Temptation manakala kalau band tempatan dia meminati Koffin Kanser, Nemesis, Athotorgh, Spermblast, Mandatory, Ossuary, Demisor dan Braindead. Oleh kerana ekonomi Ciwi yang kukuh, dulu kami akan cadangkan kepada dia untuk beli kaset itu dan ini jika teringin hendak dengar album baharu kugiran underground, jadi bolehlah kami pinjam.

Ciwi, dia kawan susah akulah, tetapi bila aku dah mula berkerjaya, dah berkeluarga, kami semakin renggang. Dahulu dialah satu-satunya kawan yang akan sokong apa sahaja yang aku buat, aku lukis hodoh, dia kata cantik! Aku kata hendak sunting zine, dia beli sebelum terbit pun lagi! Aku hendak buat band, dia kata lagu aku tulis sedap walaupun tak dengar pun lagi. Aku ingat lagi dia bayar studio untuk aku dan Chot jamming, semata-mata untuk tengok kami main. Dia akan duduk di barisan paling hadapan jika kami main gig. Dia akan benci, siapa yang aku benci. Aku tak pernah jumpa lagi seorang pun sahabat yang ada kualiti macam dia.

Ciwi, dia produk keluarga yang bercerai berai, dia takda seorang lelaki untuk jadi mentor untuk membimbing haluan hidupnya, seperti kebanyakan kami yang hidup dijalanan ketika itu, kami takda mentor. Hebatnya dia, walaupun kami masih solat tak menentu, puasa tak terjaga waktu itu, namun dia sejak dari dahulu lagi telah menjaga solat 5 waktu, dia berpuasa penuh di bulan Ramadan kecuali ada keuzuran. Dia tak terjebak dengan karut-marut ilmu batin persilatan, selamat dari khurafat dan syirik serta berkemampuan saring maklumat-maklumat usul dalam agama yang aku percaya hasil daripada didikan ibunya. Dia tak suka mengata orang dan tak pula ambil pusing hal siapa rumah besar, pangkat besar, kereta besar, makan mewah, baju mahal. Dia kira dia sahaja.

Ketika aku tinggal bersama Syed dan Tarabaz di Wangsa Maju, sewaktu kali pertama berhijrah ke ibu kota. Dia sering mengunjungi kami, bermalam di rumah kami. Lucunya dia seorang yang hidup tanpa dokumen pengenalan diri dan tak penah takut. Menjadi satu kenangan yang tak dapat aku lupa bila dia mencabar seorang polis menangkapnya dalam satu sekatan jalanraya kerana tiada kad pengenalan. Jenuh kami kawan-kawan pula merayu agar polis itu tidak menangkapnya atas budi bicara. Kadang-kadang aku rasa hiba bila mengenangkan ibu aku memberitahu Ciwi ada datang melawatnya sewaktu aku berhijrah ke ibu kota dan jarang-jarang balik ke kampung. Manalah hendak cari kawan yang tetap ziarah ibu rakannya biarpun rakannya takda di kampung? Ibu antara orang paling sedih bila dapat tahu pemergiannya. Dia, satu dalam seribu.

Kalau hendak kira kebaikan dia terhadap aku banyaklah. Dahulu sewaktu tinggal di Repoh, rumah akulah yang pertama akan tenggelam jika Perlis dilanda banjir. Rasanya tahun 2005, antara banjir terburuk pernah berlaku di Perlis masa itu rumah aku tenggelam terus, hingga aku terpaksa tidur di pondok bas di hadapan Masjid Alwi, Ciwilah yang datang berjalan kaki pukul 1:00 pagi ajak aku tidur di rumahnya setelah ada orang beritahu dia nampak aku merempat di pondok bas itu. Masa itu aku guna Honda C70, kerja takda. Ciwilah yang baiki motor tu kalau rosak, kata dia, "aku pun selalu tumpang motor tu". Jasa baik Ciwi aku tak akan sesekali lupa.

Aku sentiasa menganggap dia kawan baik aku di dunia dan akhirat. Semoga kita dapat bertemu nanti. Aku harap Allah mengampuni segala dosa-dosa Ciwi, merahmati rohnya dan menempatkannya bersama roh orang-orang soleh.

1 ulasan: