Ahad, 6 Ogos 2023

FOLLOW THE STEP OF THE PROPHET


Saya masuk 3 jam terakhir seminar Syeikh Assim al-Hakeem pagi kelmarin, namun masya Allah banyak sungguh manafaat yang diperolehi dari ceramah beliau “Follow the Step of the Prophet” yang disampaikan dalam slot-slot mengikut tajuk kecil; bagaimana Nabi salallahu alaihi wasallam berinteraksi dengan perempuan/isteri, rakan, kanak-kanak, orang kafir, dan pelbagai situasi. Bolehlah saya katakan, hampir semua hadis dan riwayat yang dikemukakan telah saya dengari sebelum ini, namun dengan perincian dan kefaqihan Syeikh Assim dipadukan dengan kefasihannya dalam bahasa Inggeris serta diselaraskan supaya kedengaran santai dan berhikmah ia bagaikan suatu santapan jiwa yang segar dan indah untuk dihayati. Saya percaya rakan saya yang hadir bersama pagi ini, Pitri Al-Fateh dan para penuntut ilmu yang lain juga rasa sedemikian. Ingin saya catat secara ringkas beberapa perkara yang berbekas dalam hati saya dari majlis kelmarin:

- Syeikh Assim walaupun nampak seperti hemoi beliau dalam masa yang sama tegas dan teliti. Saya lihat bagaimana dia langsung tidak terhegeh-hegeh bila tetamu VIP tiba dan beliau tidak menyapa biarpun pengacara memperkenalkan mereka, hatta beliau tak mengerling mata pun melainkan meneruskan ceramahnya. Ini bukan guru biasa, dia tak meremehkan ilmunya, dia dijemput ke sini, bukan dia yang tergedik hendak ke sini dan semestinya semua yang hadir itu wajar dilayan sebagai murid. Apabila dia menegur seorang pemuda yang memberi salam kepadanya agar menukar kepada ucapan yang umum, yakni kepada semua orang di dalam dewan, bukan ditujukan khas kepadanya sahaja. Saya kata fuh… ini betul-betul syeikh!

- Saya setuju apabila dia mengutarakan bahawa kadang kala, sentuhan (kata nasihat) ibu bapa, saudara terdekat tidak memberi impak kepada anak-anak, kadang kala benda yang sama diucapkan orang lain dapat menyentuh perasaan si anak. Ini terjadi kepada Syeikh sendiri pun. Kata-kata Syeikh mengingatkan saya kata-kata waden Asrama Akhlak tempat saya bertugas 14 tahun lalu, dia kata “kita kena sentiasa nasihat para pesalah juvana tu, kadang-kadang kata-kata kita lebih mudah mereka terima daripada ibu bapa sendiri. Nasihatlah”. Syeikh membuat tamsilannya, tetapi saya ingin ceritakan yang saya punya….Saya asalnya seorang yang tak suka makan ikan gulai kerana isinya lembik, rasa macam tak masak, dan satu-satu gulai ikan yang saya pernah cuba sejak kanak-kanak semestinya yang dimasak ibu saya. Jadi saya memang tak makanlah selepas pertama kali cuba dahulu. Tak kiralah ikan apa pun! Memang saya tak makan, hinggalah suatu hari 4 tahun yang lalu boss saya bawa ke Restoran Mak Teh Gulai Temenung, dia paksa saya makan kerana rasanya ‘heavenly’, OK saya cuba! Saya memang terkejut sangat sebab memang sedap sangat dan sesuai dengan citarasa. Bila balik ke rumah ibu saya, dengan harapan untuk bawa dia makan di situ nanti, saya pun tanpa segan silu ceritalah betapa sedapnya gulai ikan di Restoran Mak Teh. Ibu saya dengar sahaja dengan muka ketat, habis saya cerita dia pun tanya “Habis selama ini gulai aku yang hang tak pernah makan tu tak sedaplah?”. Noh! Jem!

- Tindakan yang perlu dilakukan ke atas setiap orang yang melakukan kesalahan perlu dinilai mengikut kadarnya. Dan jangan melampau. Syeikh memberi contoh mudah, jika seekor nyamuk membuat onar, perlukah kamu membunuhnya dengan meriam? Ya boleh! Nyamuk itu akan mati termasuk juga seluruh isi rumah yang ada. Syeikh memberi contoh, kisah Arab Badawi yang membuang air kecil dalam masjid Nabi, kisah wanita yang berzina yang dihukum rejam dan lelaki yang bercumbu dengan seorang wanita namun diampunkan kerana taubat. Bagi seorang saintis mungkin pendekatan hujah Quran dan hadis berkaitan kajian alam sesuai untuknya, bagi seorang sufi mungkin pendekatan hujah Quran dan hadis berkaitan amalan hati sesuai untuknya, bagi seorang ahli akedemik mungkin pendekatan sistem syariah dan hukum fiqh sesuai untuknya, begitulah seterusnya…

- Apabila seorang pemuda bertanyakan kepada syeikh tentang keinginannya untuk memenuhi tuntutan Sunnah iaitu berkahwin tetapi terhalang kerana ibunya menyuruhnya untuk belajar hingga memperolehi PhD terlebih dahulu amat menarik. Jawab Syeikh Assim yang pertama sekali “You have to be a man to get married!” Menjadi lelaki bermaksudnya bersedia untuk menyara isteri, menyediakan rumah dan memikul tanggujawab sebagai suami, kedua tidak lagi menjadi “anak mak” kerana anak mak bermaksud semua keputusan di tangan emak. Yang sepatutnya diikut dalam hal perkahwinan pendapat ayah kerana si ayah lebih mengetahui tentang mudarat seorang remaja lelaki yang tidak berkahwin. Syeikh meminta dia mengunakan diplomasi yang hikmah terhadap ibunya untuk menjelaskan hal ini, mahu atau tidak, dia perlu berkahwin kerana itu yang utama. Syeikh membacakan Quran surah An-Nuur: 32 “Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

- Begitu gitu juga pertanyaan seorang gadis yang mengatakan dia seorang perempuan berkerjaya namun terlalu sibuk untuk memikirkan soal berumah tangga. Syeikh menjawab pertanyaannya dengan menjelaskan keutamaan berkahwin termasuk dalam ibadah. Ia Sunnah Nabi salallahu alaihi wasallam. Ini berdasarkan hadis “Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki”. Riwayat al-Baihaqi 5486. Manakala dalam hadis Bukhari Nabi bersabda “… aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku juga tidur dan aku juga mengahwini perempuan. Maka barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka dia tidak termasuk golonganku.”

- Dan satu lagi yang menarik pertanyaan seorang pemuda, Bagaimana hendak menjawab jika golongan kafir menuduh kita menindas mereka?”. Syeikh menjawab slamber “To hell with them, who cares?”. Terkejut kawan tu. Sebelum itu Syeikh mensyarahkan hadis-hadis tentang definasi kafir dan bagaimana Rasulullah berinteraksi dengan golongan Yahudi dan Nasrani. Islam mengiktiraf kewujudan orang lain dan bersifat damai. Bagaimanapun Islam tegas dan bertindak balas bila perlu dan diceroboh. Malah islam melindungi kaum kafir yang bernaung di bawah pemerintahan mereka, Syeikh menyindir mereka hanya perlu duduk rumah elok-elok sambil minum capuchino jika mereka diserang, biar kita yang mati kerana melindungi mereka kerana mereka membayar jizyah kepada kita. Orang hari ini terlalu takut untuk memanggil seorang yang bukan Muslim dengan gelaran kafir sedangkan definasi kafir sesiapa sahaja yang tidak beriman dengan apa yang kita Imani! Namun bukanlah bermakna kita pergi sana sini panggil orang itu, orang ini kafir! kafir! Cukup sekadar kita tahu mereka juga manusia namun dalam agama telah jelas mereka seorang kafir. Jadi Syeikh menjawab, jika orang kafir menuduh kita menindas mereka, biarkan.. inikan negara kita? Jika mereka tuduh kita menindas secara ekonomi? Biar pakar ekonomi yang jawab. Jika mereka tuduh kita tindas mereka secara politik? Biar orang pemimpin yang jawab. Jika mereka menuduh kita menindas dalam kebebasan agama? Biar ulama-ulama kita yang jawab. Lalu bagi orang awam macam kamu? Kamu tanya diri kamu sendiri, kamu ada tindas sesiapa tak? Jika tak ada. Diam dan abaikan. Syeikh memberi penutup yang cukup kemas, “Jika kamu lalu sesuatu jalan dan ada anjing menyalak kepada kamu? Adakah kamu pun menyalak balik kepada anjing itu?”

- Sesetengah orang kuantiti ilmu dan iman menjadi satu ujian besar bagi dirinya. Dalam satu keadaan orang alim akan merasa dia tidak sebanding dan setaraf dengan orang lain yang jahil dan kurang beribadah. Dia sudah merasakan dirinya bagaikan ahli syurga. Namun dalam hadis Muslim, Nabi bersabda “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong”. Dalam keadaan lain pula orang alim ini melampau pula dalam zuhud, merasakan orang lain seluruhnya jauh lebih baik daripada dirinya lalu membiarkan maksiat dan kemungkaran berleluasa dek kerana merasakan ilmu dan keimanannya belum cukup untuk mencegah kebatilan. Banyak ayat Quran dan hadis menceritakan tentang ini, antaranya “… Orang-orang yang jika Kami beri kedudukan di muka bumi, mereka menegakkan solat, menunaikan zakat, memerintahkan kepada kebajikan dan mencegah dari yang munkar, dan kepada Allah lah kembali segala urusan.” [Quran, al-Hajj: 40-41]. Maka kedua-dua keadaan tadi bukan ciri-ciri orang alim.

Saya rasa cukup setakat itu catatan yang dapat di-excersice-kan semula dari ingatkan yang kian lemah ini. TQ kerana sudi membaca moga bermanafaat.

-Rammy,
6/8/2023, Gua Sami.

1 ulasan: