Ahad, 3 September 2023

PENUNGGANG AGAMA

Sewaktu Rakap Besi berkayuh ke Ban Pakbara minggu lepas aku sebenarnya duk tergelak sorang-sorang jugalah apabila melintas satu ke satu restoran dan warung di sepanjang perjalanan kami. Nah! Cuba anda hadam nama-nama kedai makan ini;

- Kopi Muslim
- Dapor Islam
- Sofia Islamic
- Som Halal
- Alhamdulilah
Dan macam-macam lagilah.

Jika ditanya kepada pemilik kedai, jawapan mereka pasti sama, sebagai daya penarik dan tanda bahawa masakan mereka boleh dipercayai oleh pelancong Malaysia yang beragama Islam. Namun bukankah mereka semua berada di kawasan majoriti Muslim? Bukankah kedai mereka semua telah zahirnya Islam? Kita boleh tengok walaupun taukeynya berseluar legging tera mana pun, baju sendat sarung nangka setara mana pun mereka, tudung mereka tak tinggal, bukan? Bingkai Allah – Muhammad, ayat Kursi, tulisan halal mesti ada punya di dinding, bukan?



Ini membuatkan aku terfikir juga apa definisi tepat bagi seorang penunggang agama? Menurut aku, secara peribadilah; penunggang agama ialah seorang yang memanipulasi istilah dan imej bagi menunjukkan dirinya atau keluarganya atau tokohnya, atau gaya dan jenamanya, atau kumpulannya, atau alirannya berada ditahap yang SEBENAR-BENAR dan TERPALING Islam terhadap sesuatu yang telah sedia Islam secara zahirnya. Alat yang digunakan mereka merupakan sentimen seperti cinta rasul, makan babi doa terhalang, anak derhaka, anak soleh, jampi syar'ie, sedekah subuh, dan sebagainya. Sentimen-sentimen ini begitu mudah untuk digunapakai oleh scammer agama kepada masyarakat kita yang rata-ratanya leka (nak kata jahil marah pulak!). Contoh mudah; memakai jubah bolehlah dikira sunnah Nabi, namun seorang penunggang agama mampu membuatkan masyarakat dalam tak sedar menjadi taksub membeli jubah jenama yang dia keluarkan kerana lebih ‘menepati sunnah’ bermodalkan kisah takjub atau pun sedih berkaitan jubahnya. Padahal kisah-kisah itu karut belaka.


Dah karut macam mana orang percaya? Itulah yang dipanggil penunggang tu.. agama dari sumber wahyu, yang sudah lengkap dan berdalil pun dia boleh tunggang untuk dapat pelanggan dan pengikut! Tak ke terrer gitu?

Bagaimanapun, apabila melihat keadaan pengusaha-pengusaha kedai makan itu, aku juga terfikir mungkin ada penunggang agama yang dimaafkan oleh Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang? Biar pun mereka mengunakan istilah-istilah agama untuk kaut untung namun mungkin mereka sebenarnya ikhlas untuk menyediakan masakan halal lagi terbaik bagi saudara-saudara Muslim dari Malaysia?

Aku teringat catatan Pendita Za’ba dalam Majalah Guru ketika dia melawat pondok-pondok di Kedah pada 1920an, menurutnya orang tua-tua yang mengaji di pondok kebanyakan yang mereka hanya dapat mendengar dan ikut huraian tok guru sahaja kerana mereka tidak tahu membaca dan menulis, jauh lagi hendak faham kitab-kitab, jauh lagi hendak berfikir sendiri (ijtihad), tetapi mereka ikhlas mahukan pahala dan kebajikan bagi persediaan untuk mati. Mudah-mudahan Allah menerima amalan menerusi niat mereka.

Teringat brand Pekasam Haji…
-Rammy, 3/9/2023

2 ulasan: