Betul tak setiap kali tiba Ramadan, kita akan terfikir
sejenak apabila melihat kelakuan dan gelagat daripada kalangan kaum Muslimin
sendiri yang begitu aneh? Mereka bermaksiat, tidak amanah, sering hilang pertimbangan,
melakukan jenayah seolah-olah bulan ini tiada keistimewaan dan kemuliaan. Ia
bagaikan kontra terhadap hadis;
إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ
أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ
Maksudnya: “Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu rahmat
dibuka, pintu-pintu Jahannam ditutup dan kepala-kepala syaitan pun
dibelenggu.”[Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim].
Maka kenapa masih kita lihat ada sahaja manusia yang
terjebak dalam maksiat dan dosa, malah ada yang kerasukan sedangkan bulan
Ramadan adalah masanya untuk mendidik dan melatih jiwa untuk menjalankan
ketaatan kepada Allah tanpa gangguan syaitan? Madrasah Ramadan selama 1 bulan
dalam setahun sepatutnya memberi kesan positif kepada setiap Mukmin dan
Mukminat.
Jawapannya?
Menurut ulama besar seperti ibn Hajar al-Asqalani, Ibn
Khuzaimah dan Imam al-Qurtubi, syaitan-syaitan yang dibelenggu itu bukan
kesemuanya. Mereka terdiri daripada kepala-kepala jin yang ganas dan menentang,
bukan kesemuanya. Maka ada sebahagian lagi yang masih menganggu dari aspek lain
seperti sihir dan sebagainya. Wallahu’alam.
Tetapi perlu kita tahu seseorang yang mengikuti regim madrasah
syaitan selama 11 bulan dalam setahun tentunya tidak akan terkesan dengan silibus
madrasah Ramadan selama 1 bulan kecuali dengan kehendak Allah. Seorang manusia
yang diasuh syaitan sepanjang hidupnya, telah pun menjadi syaitan dari kalangan
manusia dalam sedar atau tidak. Maka tanpa kehadiran syaitan dari kalangan jin untuk
mempengaruhinya pun, dia tetap melakukan kemungkaran dan dosa kerana itulah
kemahuannya sendiri. Ini sebagaimana dalam firman Allah tabaraka wa taala:
ومَنْ يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ
“Barang siapa mengikuti langkah-langkah syaitan, maka
sesungguhnya dia (syaitan) menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan
mungkar.” [QS. An-Nuur: 21].
شَيَٰطِينَ ٱلْإِنسِ وَٱلْجِنِّ يُوحِى بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍۢ
زُخْرُفَ ٱلْقَوْلِ غُرُورًا
Maksudnya: "syaitan-syaitan dari jenis manusia dan dan
jenis jin sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain
perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu manusia" (al-An'am: 112).
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ ١ مَلِكِ ٱلنَّاسِ ٢ إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ
٣ مِن شَرِّ ٱلْوَسْوَاسِ ٱلْخَنَّاسِ ٤ ٱلَّذِى يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ ٥
مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ
Maksudnya: “Katakanlah wahai Muhammad, “Aku berlindung dengan Tuhan manusia.” “Pemilik dan Raja manusia.” “Tuhan yang disembah manusia.” “Daripada kejahatan was-was bisikan syaitan.”“Syaitan yang mencampakkan bisikan was-wasnya dalam dada-dada manusia.” “Syaitan dalam kalangan jin dan manusia.” (Surah al-Nas: 1-6).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan