Aku tak pernah terfikir benda ini akan berlaku? Ya lah,
walaupun di Eropah dan Barat, muzik ekstrim telah diterima meluas dan sudah
boleh masuk pasaran arus perdana. Kegelapannya masih tersisa.
Suatu ketika dahulu muzik black metal dirintis oleh pemuzik
yang tidak mengikut haluan kanan, mereka yang menyimpang, mereka yang
memberontak, mereka yang mendahulukan kegelapan melebihi kesenian, atau mereka
yang berpegang pada prinsip bawah tanah, karya mandiri dan anti-establishment.
Kini sudah berganti dengan pemuzik mesra pendengar, bimbang digelar sesat,
takut dilabel jahat atau kutu, lebih memilih kesenian dari kegelapan, atau
mereka yang berpegang apa sahaja muzik sama, alat untuk cari makan, glamor dan
pengaruh. Bagi mereka main muzik ringan tadah bakul duit di restoran hipster yang
ramai awek, sama sahaja dengan main muzik berat tadah darah di gig yang
ditonton ramai kutu haprak.
Teringat dulu tahun 90-an satu zine xerox yang aku baca wawancara kalau tak silap, bersama Ancient Rites (Belgium) depa cerita boleh main dalam satu youth hall milik kerajaan dan ada pegawai Jabatan Kebudayaan dan Belia datang pantau. Itu pun dah kira habis pelik dan sudah macam satu penaklukan syaitan ke atas tempat suci dah ketika itu. Aku yang baca kisah ni, dah sorak dan canang kat kawan-kawan abis dah! Bukan sebab jadi popular, Ancient Rites tak glamor pun sampai sekarang ini. Tetapi kira macam UG band berjaya bawa ancaman awam-lah!
Masih terngiang-ngiang juga di telinga aku, kata-kata Allahyarham Azmi
Bahari “Kita dahulu main muzik black metal sebab kita sudah muak, sudah tak
boleh pi dengan lagu-lagu glam rock dan hard rock ni. Tapi budak—budak sekarang
main black metal tapi terhegeh-hegeh nak ikut glam rock dan hard rock pulak.
Pelik!”.
Kita lihat sendiri sekarang ini ramai yang cuba putihkan
black metal. Dengan cara mendamaikan ideologi dan kebingitannya agar kedengaran
jinak falsafah dan merdu audionya. Tetapi Pak Pandir pun tak terfikir suatu
hari kerajaan Malaysia akan menyalurkan geran kepada kugiran genre ini! Kan?.
Mungkin hangpa tak percaya, ada band death metal yang sudah terima
geran rakaman, ada band black metal yang terima geran rakaman, ada band black metal
yang terima geran untuk rakaman dan persembahan sekaligus! Apa kesannya?
Dari satu sisi baguslah ada penaja. Dari sisi lain, yang
death metal jadi death metal cak lempong, yang black metal jadi hadrah! Jadi band kebudayaan habis! Aku rasa MAY atau KRISTAL pun tak minta geran kot? Kalau depa minta pun sesuailah bagi depa. Kenapa? Kerana geran kerajaan pasti ada terma dan syarat yang
hang perlu akur. Dan hang perlu iktiraf pemberian bantuan daripada kerajaan.
Kenapa aku ambil pusing sangat hal ini? Aku dengki ka?
Sebabnya adalah satu band black metal ni, aku adalah kasi satu lirik kepada mereka
yang sedang giat merakam mini-album dan merancang siri jelajah tak lama lagi.
Mereka sudah hampir selesai proses rakaman, hari ini aku dapat panggilan dari
frontman mereka. Aku dimaklumkan depa ambil geran kerajaan. Dia merayu dan minta aku ubah tajuk lagu yang aku karang,
katanya pihak kerajaan tak setuju dengan tajuk itu kerana bikin kontroversi dan
gawat?!
Aku dengar punyalah terbakar. Aku minta depa rilis 4 lagu
tanpa lagu aku tu, tapi mereka minta juga aku cari tajuk lain untuk terbitkan
juga lagu itu.
Inilah bahana bila kita bukan lagi leaders… tapi hanya followers.
- R, 5/8/2025 @22:30pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan