Sabtu, 10 April 2021

KUTIP SAMPAH BERSAMA TRASH HERO PERLIS DI BUKIT JERNIH

Ini merupakan kali kedua aku sertai program kutip sampah anjuran Trash Hero, isteri aku dah tiga kali. Bagi yang belum tahu Trash Hero diilhamkan oleh Roman Peter pada tahun 2013 ketika melihat krisis pencemaran sampah yang teruk di Thailand, sasarannya adalah untuk mengalakan komuniti setempat itu menguruskan sampah dengan berhemah dan mendidik mereka agar bertanggungjawab dan menghargai pada alam sekitar. Kebetulan pada 2015 aku menjejakkan kaki ke Koh Lipe untuk cari ketenangan di sana, ia sebuah pulau yang sangat indah dan kebetulan aku berkenalan dengan Manang (orang kuat Trash Hero Koh Lipe) dan setiap malam aku lepak di bar mereka. Jadi dari situ aku mula kagum dengan aktiviti mereka (boleh baca di sini). Kiranya Trash Hero bermula di situlah. 


Membersih alam sambil mengasap serangga? 

Tak disangka-sangka pula beberapa tahun selepas itu, aku perasan di FB ada Trash Hero Perlis, terkejut juga aku masa itu sebab ada orang Perlis yang berminat dengan aktiviti takpa keuntungan sebegini. Setelah jadi kawan, barulah tahu Madam Nanie, pengasas Trash Hero Perlis yang juga seorang Pensyarah Kanan Teknologi Marin dari UiTM Perlis juga mendapat ilham setelah dia pergi melancong ke Thailand. 

Memang kenalah dengan jurusan yang dia ajar, kekuatan sokongan anak-anak murid dia dan kecintaannya pada lautan. Trash Hero Perlis mula menjalankan aktiviti pembersihan dan pendidikan di sekitar Kuala Perlis. Usaha mereka mula mendapat sambutan. Namun unsung trash hero yang berkerja penuh ikhlas seorang diri tentunya En. Umat. Baca sini bagi yang belum kenal.

Aku sebenarnya dah lama tak datang menjengah Bukit Jernih, kalau dahulu lewat 90-an hingga tahun 2005 aku memang akan lalu jalan Bukit Jernih untuk pergi bekerja di Kilang Gula Felda Chuping. Kawan-kawan kilang pun selalu ajak mendaki Bukit Jernih tu. Apabila berpindah ke KL, balik pula ke sini kemudian kembali berpindah ke KL dan kembali pula ke sini, aku jarang sekali ke sini. Kali terakhir aku mendaki bukit ini ketika berlangsungnya Perkampungan Sunnah Siri 6 di Masjid Alwi pada tahun 2019. Kiranya sebagai aktiviti riadah Faiz Atomicdeath dan Pitri Marhaen Litera setelah 2 hari 2 malam mereka berkampung di masjid.

Denai untuk mendaki ke puncak Bukit Jernih ini bermula di belakang dapur madrasah Dar Al-Quran Wal Hadeeth Perlis, sebuah insitusi pendidikan (pondok) yang berteraskan manhaj Salaf ( mengikut metodologi golongan 3 kurun terawal yang digelar salafussoleh). Mereka pernah terpalit kontroversi suatu ketika dahulu (baca sini) kerana displin pemahaman agama mereka yang tegas. Namun ternyata semua tuduhan yang dileparkan adalah fitnah oleh golongan yang tidak sependapat dan cuba untuk memburukkan nama Perlis sebagai sarang pengganas. Jika benar mereka ekstrimis, kenapa madrasah ini masih beroperasi hingga hari ini? 




Trash Hero Perlis hari ini bergabung dengan PEMOS & Persatuan Rekreasi Bukit Jernih (Komuniti BJ) telah berkubu di Keramat Base Camp Bukit Jernih untuk aktiviti pembersian. Rakan-rakan dari Hooligan Camp, OSBMX Perlis, Hikers Perlis telah bermalam di Keramat Base Camp, aku pula datang pagi ini sahaja bersama isteri dan mak mentua untuk berkelah sambil kutip sampah bersama mereka.

Sebelum kutip sampah, masak koetiaw dan tanak kopi untuk mak mentua dulu!

Dari zaman dahulu hingga sekarang gua ini sentiasa berpenghuni 

Banyak perubahan telah dilakukan di Bukit Jernih, banyak hutan telah dijarahkan, sudah ada kawasan BBQ, sudah ada tandas awam, sudah ada kawasan parking, dan banyak warung-warung masakan kampung. Ketika kami melawat kawasan gua, rupanya masih ada orang bertapa di situ. Sejak dari zaman aku kanak-kanak lagi Bukit Jernih dijadikan tempat bersuluk oleh kumpulan-kumpulan tarekat dan puak tabligh. Tak sangka dari generasi ke generasi masih ada yang setia dengan gua-gua di sini.

33 orang hadir menyertai program kutip sampah kali ke 62 ini. Sebanyak 50KG sampah (kebanyakannya beg plastik dan pembungkus makanan) telah dikumpulkan.

Jom sertai mereka!
SETIAP MINGGU - KAMI BERSIH, KAMI DIDIK, KAMI UBAH!
No Cost. No Sign-Up. Just Show Up.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan