Ahad, 28 November 2021

TAZKIATUN NUFUS: KENAPA ANAK MUDA MINAT TASAWWUF KESUFIAN?

 

Sebelum kita terus rodong kepada kajian dan pandangan peribadi saya mengenai kenapa anak muda khususnya Melayu sangat berminat dengan tasawwuf kesufian adalah lebih baik kita berkenalan dahulu dengan apa itu sufi?

Ramai di kalangan kita yang sudah sering mendengar istilah sufi, malah hari ini ia begitu popular sekali di nusantara. Apakah doktrin ini baru sampai di Malaysia? Tidak. Tidak. Sewaktu era pemerintahan Uthmaniyah dahulu, aliran Sufi pernah menjulang naik di nusantara kerana Sufi begitu sinonim dengan aliran kesusasteraan, tarekat dan tasawwuf. Ia telah mempengaruhi ramai ulama-ulama kepulauan Melayu yang keluar merantau mencari ilmu fiqah di Tanah Arab, Andalus dan India, mereka bertemu mutiara baharu dalam cara mempraktikkan agama lalu membawa pulang dan menyebarkannya di nusantara.

Imam Al-Ghazālī berpendapat Sufi adalah mereka yang memahami dan mempunyai pengalaman-pengalaman ilmu dan amalan tasawwuf. Ada sejarawan cuba mengaitkan istilah sufi dengan gelaran ahl al-suffah iaitu para murid Nabi yang terdiri daripada kalangan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang tidak mempunyai waris dan kaum kerabat serta miskin, mereka mendiami Masjid Nabawi dan belajar sepenuh masa. Dan ada pengkaji menyatakan istilah Sufi ini berasal dari nama pakaian yang dihasilkan dari bulu dan murah bernama suf. Ia sekian lama menjadi identiti kepada kaum sufi yang pertama kali muncul di Iraq. Ibn Taimiyyah menyatakan mereka ialah golongan zuhud dan gemar beribadat dengan cara yang tidak pernah dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w.

Menurut ahli sufi fenomena Inayat Khan dalam bukunya The Sufi Message of Hazrat Inayat Khan (Jilid. 5, 1973), Sufi ialah sesiapa sahaja yang mempercayai Tuhan sebagai Yang Maha Mutlak dan juga percaya bahawa semua ciptaan alam ini adalah daripada Diri Tuhan sendiri, sesiapa sahaja yang mencari kebenaran sejati, sesiapa sahaja yang cuba memahami hakikat kehidupan dan sesiapa sahaja yang rela untuk mempercayai bahawa setiap manusia di dunia ini mencari dan mampu mencapai kebenaran yang sama sebagaimana dirinya, walaupun melangkau sebarang agama dan kepercayaan, dan ini tidak menjadikannya kafir atau murtad, bahkan kedudukan ahli Sufi itu pada hakikatnya melangkaui semua sempadan itu.

Ini juga ajaran yang diajarkan oleh seorang ustaz yang sedang tular di Kelantan ketika ini, dia membawakan ajaran-ajaran pelik lagi khurafat bagi membenarkan tindakan misalnya yang dilakukan Walisongo, kononnya seorang dari mereka mengeluarkan fatwa larangan sembelih lembu kepada umat Islam kerana menghormati kaum Hindu ketika itu dan membenarkan berhala disimpan di rumah asalkan hati mengaku Allah sebagai Tuhan. Ustaz itu juga mempromosikan mandi tolak bala, membenarkan umat Islam mendapat pertolongan sami Buddha, zikir menari dan bermacam aneka amalan rentas agama kerana kesufian sememangnya satu kefahaman mistik silang agama. Sesiapa yang ikhlas mencari Tuhan diperbolehkan menyuci jiwa dengan apa sahaja kaedah-kaedah yang diyakini atau diperakui syeikh-syeikh sufi, bagi mereka akhirnya jalan itu pasti menuju kepada Tuhan juga.

Google dan kamus Oxford memberi definasi sufi sebagai ‘Islamic Mysticism’, ianya tepat kerana ajaran Sufi sememangnya tidak lain dan tidak bukan ialah ajaran mistik dan batiniyyah. Bukan saya menafikan dalam Quran dan hadis Nabi yang sahih juga terdapat kisah ghaib dan amalan ibadah yang mempunyai fadhilat (ganjaran) ghaib untuk kita imani. Tetapi bagi Sufi itu belum cukup! Mereka lebih tahu. Mereka lebih mistik!

Untuk lebih jelas, bagi mereka yang masih tidak tahu menilai sesuatu ajaran sufi itu sebagai sesat atau tidak? Mudah sahaja kerana apa yang batil dan apa yang haq telah pun jelas dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran dan diperincikan pula dengan lisan dan amali oleh Nabi salallahu alaihi wasalam. Amalan-amalan penyucian jiwa yang diajarkan Nabi dikenali sebagai tazkiatun nafs. Istilah-istilah lain yang datang selepas era Muhammad jika ia dalam kerangka dalil tazkiatun nafs maka ia benar dan selamat untuk dipraktikkan. Namun jika ia ilmu extravaganza selain dari apa yang dibawakan oleh Muhammad, malah hingga meletakkan authoriti pir, hazrat, wali, habib sufi mereka jauh meninggi daripada Rasulullah salallahu alaihi wasallam, sudah pasti ajaran tersebut rosak lagi merosakkan. Namun kaum Sufi tentu tidak akan mengucapkannya dengan jelas, malah akan menafikan bahawa ajaran mereka menyelisih daripada Rasulullah. Kita sebagai penuntut ilmu perlulah mendengar dengan berhati-hati tentang apa yang mereka tuturkan, amalkan, imani dan desak ke atas orang ramai.

Lalu kenapa mereka mendapat tempat di hati anak muda?

1. HIJRAH

Fitrah manusia inginkan kebaikan terutamanya di kala dunia semakin hari semakin meresahkan akibat konflik, wabak dan bencana. Ramai golongan muda ingin berhijrah untuk menjadi baik. Masalahnya setinggi mana pun semangat untuk berubah, kejahilan dan nafsu menjadi dua elemen jahat yang bergabungan untuk menghalangnya. Semangat sudah ada, namun disebabkan cara berfikir yang salah, kecetekan ilmu dan bercampur pula dengan jiwa yang rindu pada tabiat buruk akan membentuk satu karektor baharu yang lebih rosak. Tetapi bagi dirinya, dia merasakan itulah rahmat. Jika dahulu dia seorang pemuzik rock, kini dia bahagia menjadi pemukul gendang qasidah di kubur-kubur wali atau menjadi pemetik gambus di konsert selawat muzikal. Atau pun jika dahulu dia suka menilik nombor ekor dan mengamal sihir kini dia menjadi pengumpul wafak-wafak kekayaan dan kesihatan, amal zikir-zikir kebal dan perisai daripada petua ustaz dan wali. Mereka bersemangat serta berani untuk berubah namun enggan atau tidak mencari teman atau guru yang boleh membimbing.

Seorang ulama salaf dipercayai Umar Abd Aziz mengatakan “Barangsiapa yang beribadah kepada Allah tanpa ilmu, maka kerosakan yang ditimbulkannya lebih banyak daripada kebaikan yang diharapkan.”

Allah berfirman maksudnya “Ada seorang yang beramal bersusah payah tetapi kemudian dia masuk neraka yang menyala-nyala.” (QS. Al-Ghasiyah: 3-4).

“Bertanyalah kepada ahli ilmu, jika kalian tidak mengetahuinya” (QS. Al-Anbiya: 7)


2. INGIN JADI LEBIH COOL.

Usah berdalih lagi, dengar sahaja ceramah dan seruan ulama-ulama sufi, ahli-ahli sufi, ahli suluk apabila membicarakan ajaran mereka pasti mereka secara langsung atau berkias akan mengatakan orang lain hanya orang awam. Orang yang tidak faham, orang yang kritik dan orang yang mempertikai seruan mereka akan dilabel sebagai orang awam sahaja yakni bagi mereka, orang itu hanya tahu tentang zahir, luaran dan kulit, mereka pula orang yang arif ilmu batin, dalaman dan isi. Bahkan mufti, alim, ustaz yang membongkar fahaman mereka akan turut dilabel orang awam dan jahil. Jika guru mereka begitu, tak mustahil murid-murid mereka juga ingin jadi orang istimewa, jadi orang suci, ahli zikir, ahli dalam hal-hal mistik, dan tahu rahsia alam. Hazrat mereka akan memperturunkan amalan-amalan khas buat mereka, diberi gelaran khas, dijanjikan dengan karomah, dapat mengayakan seragam tertentu, dianggap orang seni, orang tajam mata hati, segala-galanya melebihi orang lain yang dianggap hanya puak bodoh dan jahil. Manakala apa sahaja yang dilakukan oleh guru-guru mereka dianggap hebat dan mempunyai hikmah tersembunyi biarpun terang-terangan berdosa dan jahat. 

Betapa banyak ucapan batil, gila yang meremehkan azab Allah namun bermati-matian dipertahankan oleh pengikut-pengikut Sufi kerana ia dianggap makam yang tinggi dan bahasa yang dalam. Contoh, Abu Yazid Al-Busthami yang mendapat gelaran "Raja Sufi" berkata: "Aku ingin Hari Kiamat terjadi agar aku boleh memasang khemah di PINTU JAHANNAM", Kemudian seseorang berkata kepada Abu Yazid Bustami, "Kenapa begitu Wahai Abu Yazid?". Abu Yazid Bustami menjawab, "Kerana aku tahu bahawa jika JAHANNAM melihatku, Ia pasti akan padam". (An-Nuru Fi Kalimati Abu Thaifur, hal.147). 

Contoh seterusnya Abu Hasan Bin Al Muwaffiq (Imam Sufi) wafat 265H berkata: "Ya Allah jika engkau mengetahui aku menyembahmu kerana takut kepada nerakaMu, SEKSALAH AKU DENGAN NERAKA TERSEBUT, Dan jika Engkau mengetahui aku menyembahmu kerana mencintai SyurgaMu, MAKA HARAMKAN SYURGA BAGIKU". (Thabaqatu Al-Quliyai, Ibnu Mulqin, Hal.342). 

Begitu banyak lagi ucapan, puisi dan lirik lagu Sufi yang melampau dalam tasawwuf. Kononnya mereka larut dalam cinta kepada Allah. Ini semua adalah kalam batil dan tak layak diucapkan oleh seorang hamba Allah yang mendakwa mengikut jejak langkah Rasul utusanNYa. 

Para pengikut Sufi rasa sangat bangga menggelarkan diri mereka sebagai ahli Sufi yang mana mereka sifatkan diri mereka sebagai pencari kebenaran dan pencinta kepada keharmonian serta perpaduan antara manusia. Maka hal ini juga sebenarnya berkait dengan ilmu.

“Kesombongan adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia”. [Hadis riwayat Muslim, no. 2749, dari ‘Abdullah bin Mas’ûd]





3. TERPESONA

Kebanyakan warga emas yang terpengaruh dengan aliran tasawwuf kesufian bermula apabila merasakan mereka sudah khatam ilmu fiqah sedangkan ibadah mereka dirasakan kurang intinya. Mereka mudah kagum dengan kaedah kependitaan tokoh-tokoh yang dianggap bermaqam tinggi dan mula mengambil petua dan fatwa tokoh tersebut, sedangkan apa yang mereka amalkan dan pelajari sebelum itu sudah menepati syariat cumanya kurang atau tiada keikhlasan. Maka tiada roh dan kemanisan dalam ibadat. Bagi anak muda, kadang-kadang latarbelakang keluarga mempengaruhi mereka, berapa ramai ibu bapa yang mempercayai bomoh-bomoh dan petua-petua khurafat akhirnya memperturunkan pula kepercayaan itu dan mewariskan keyakinan itu kepada anak cucu mereka, hal yang sama berlaku kepada mereka yang terpesona dengan watak sufi yang dianggap suci lagi ajaib. (Moga Allah lindungi kita semua dari kesesatan!) Terpersona dan keliru dengan dogeng yang ditanam bahawa seseorang yang suci dan hampir dengan Tuhan mempunyai watak aneh, gila atau karismatik. Wali sufi itu selalunya dapat mengetahui hal ghaib, hebat bersilat, dan menguasai ilmu batin. Pada zaman dahulu betapa ramai yang ingin menuntut ilmu batin dan hormat kepada orang yang menuntut ilmu batin? Sedangkan ilmu itu ialah ilmu batiniyyah, songsang, sihir dan mistik yang terhasil dari tipu daya syaitan. Aliran Sufi dengan mudah menarik minat golongan nasionalis, yang semangat perkaumannya begitu tinggi melebihi dari semangat persaudaraan Islam yang tiada sempadan bangsa. Dari kebanggaan terhadap mitos dan lagenda hikmat dan sakti tokoh itu dan ini, mereka akan menjadi pentaksub dan mula menerima ajaran batiniyyah kerana terpesona dengan watak orang kudus yang dipamerkan melalui seragam agama seperti serban besar, jubah kapas, logo capal, tasbih ajaib, keris, tanjak dan manis tutur kata. Mereka rasa ilmu batin itu sebahagian dari khazanah Islam nusantara.

Allah berfirman “Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” "Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal “ (Qs. az-Zumar : 9).

Allah mengajar kita agar memohon kepadaNya “Berilah kami petunjuk ke jalan yang lurus, yaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat, Bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat.” (QS. Al-Fatihah: 5 – 7).



4. KELIRU

Jalan menyucikan jiwa bukanlah jalan kesamian, kedukunan dan kepahlawanan dewa dewi. Bagi sufi, mimpi syeikh sudah cukup untuk dijadikan hujah agama. Segala-galanya mimpi dan mistik.

Kini anak-anak muda ramai yang begitu mengkagumi jalan Sufi yang dilihat mesra terhadap seni, muzik dan terapi kerohanian. Islam versi salafussoleh dilihat syadid @ keras, tidak sesuai zaman dan kolot, manakala menurut Sufi, Tuhan Maha Penyayang lagi Maha Pengampun. Segala dosa dan maksiat akan dimaafkan Allah kerana apa sahaja kesilapan, tidak berat bagi Tuhan untuk diampunkan kerana pintu taubat sentiasa terbuka. Padahal amanat Rasul tidak setakat itu, mereka gagal faham, Islam versi Nabi dan golongan terawal menerima Islam sentiasa relevan sepanjang zaman hinggalah ke akhirat. Nas dari Quran dan hadis-hadis sahih tidak akan berubah dan kekal melainkan tafsiran ulama-ulama yang berbeza bergantung kepada kefahaman bahasa Arab, keadaan, masa dan tempat. Allah Maha adil lagi keras seksaan dalam sistem hukumanNya. Mustahil Allah menilai sama sahaja kaum yang beribadat menurut nafsu dan reka cipta sendiri dengan kaum yang displin mempertahankan sunnah RasulNya? Mustahil Allah menurunkan agama yang kurang sesuai menurut fitrah manusia sedangkan Nabi Muhammad adalah rahmat buat sekelian alam? Mustahil Islam versi yang asal perlu ditambah baik agar selari dengan ajaran lain dan mustahil ada ajaran-ajaran lain yang perlu diserapkan dalam Islam supaya lebih sempurna? Mustahil Allah menilai sama sahaja ahli ibadah dan ahli ilmu?

Nabi salallahu alaihi wasallam datang membawa rahmat dan berita gembira, Nabi juga turut datang membawa larangan dan ancaman daripada Allah.

“Keutamaan ilmu (syar’i) lebih aku sukai dari keutamaan ibadah.” (Hadis riwayat Al-Hakim, Al-Bazzar, At-Thoyalisi, dari jalan Hudzaifah bin al-Yaman radhiallahu ‘anhu. Satus: Sahih.

Dalam riwayat lain Rasulullah salallahu alaihi wasallam bersabda “Sesungguhnya keutamaan seorang yang berilmu dibanding ahli ibadah, seperti keutamaan bulan purnama di waktu malam berbanding seluruh bintang-bintang.” (Hadis riwayat Abu Dawud no.3641, Ibnu Majah no.223, dari jalan Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu).

Hayati firman Allah yang agung ini: “Ia membawa berita yang menggembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak mahu mendengar. (Qs, Fussilat: 4).

"Wahai Nabi! Sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai penyaksi dan pembawa berita gembira dan pengancam, dan sebagai penyeru kepada Allah dengan keizinannya dan sebagai cahaya yang menerangi” (Al-Ahzab: 45-46).


- Ra1m1 @ 4.21 pm

2 ulasan:

  1. teringat dengan beberapa lirik lagu serta karya S. Amin Shahab yang cenderung ke arah ini seperti Umpamam Mimpi Dalam Mimpi, Sufi dan Suci Dalam Debu

    BalasPadam
  2. Itu contoh tepat lirik-lirik kesufian, yang tak mungkin kita jumpa lagi hari ini. Sya pun peminat lagu-lagunya, Damarsutra (Bahagia bin Daharun) memang pandai menjiwai karya itu. Teringat tingkatan 3 dahulu cikgu BM kami guna lirik lagu Mimpi Dalam Mimpi ajar asas kesusasteraan...

    BalasPadam