Pada malam ini, 6 tahun yang lalu, saya berpeluang bertemu Dr. Bilal Philips atau Abu Amenaah Bilal Phillips di Masjid Syed Putra Jamalulail, Kangar atas izin Allah. Jika sebelum itu saya hanya dapat melihat video ceramah, poster kata-kata hikmah dan membaca buku-bukunya, malam ini dapat mendengar kuliahnya secara langsung di depan mata. Saya masih ingat lagi apabila ditanya tentang pandangan mazhab mana yang tepat untuk dipilih, dia menjawab: (terjemahan ke loghat utara): "hang bukan nak shopping fatwas, duk kira nak cari pendapat mazhab mana yang membenarkan perbuatan hang. Kita nak cari perbuatan yang sohih asal dari nabi. Jangan tolak hadis yang tulen hanya kerana ia tidak datang dari guru hang".
Bagi yang tidak mengenali Dr. Bilal, beliau lahir pada 17 Julai 1947 di Jamaica sebagai Dennis Bradley Philips yang beragama Kristian kemudian memeluk Komunism ketika berhijrah ke Kanada pada tahun 60-an. Setelah merantau ke serata dunia, beliau akhirnya memeluk Islam pada tahun 1972 dan kini dikenali sebagai Abu Ameenah Bilal Philips, seorang tokoh pendakwah, penulis, pelopor dan canselor Islamic Online University yang berpusat di Qatar.
TRIVIA
Rentetan kedatangan Dr. Bilal Philips ke Perlis pada malam itu, seorang pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah membuat kenyataan terhadap Dr. Bilal sebagai “penyokong terorisme antarabangsa”. Dr. Bilal dengan pantas bertindak balas dengan memfailkan saman fitnah berjumlah RM1 juta ke atas pegawai tersebut.
LAPORAN MALAYSIAKINI.COM:
Kes saman fitnah pendakwah Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips ke atas pendakwah kontroversi tempatan Zamihan Mat Zin selesai selepas pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu bersetuju untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataannya di Facebook, yang mendakwa dirinya terlibat dalam kegiatan pengganas.
Penghakiman persetujuan itu dirakamkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.
Peguam Bilal Philips, Meor Amir Meor Omar Baki, berkata Zamihan mengaku bertanggungjawab dan akan memohon maaf secara terbuka di Facebook selama dua hari bermula hari ini.
"Kita tidak boleh mendedahkan terma penyelesaian termasuk jumlah ganti rugi yang perlu dibayar, dan juga tidak ada perintah mengenai kos," katanya.
"Deposit yang dibayar oleh Bilal Philips sebanyak RM30,000 akan dipulangkan," kata Meor Amir.
Bilal Philips terpaksa membayar jumlah tersebut sebagai sebagai jaminan kos dalam kes saman RM1 juta terhadap Zamihan.
Peguam itu juga berkata mahkamah turut memberikan perintah injunksi menghalang Zamihan baik secara lisan atau menerbitkan kenyataan fitnah yang sama terhadap Bilal Philips.
Bilal Philips memfailkan saman fitnah itu berikutan posting laman Facebook Zamihan pada November 2016 yang memaparkan gambarnya dengan iringan kenyataan yang menggelarkannya sebagai pengganas antarabangsa.
Posting itu dibuat sebaik sebelum sebuah acara keagamaan di Perlis, yang menampilkan Bilal Philips sebagai salah seorang penceramah.
Pendakwah kelahiran Jamaica itu berkata tuduhan Zamihan bahawa beliau adalah penyokong keganasan adalah palsu, fitnah dan tidak berasas, memandangkan beliau sentiasa mempromosikan keamanan dan pemahaman Islam dan menolak keganasan yang dibuat atas nama agama.
Beliau juga berkata, tuduhan Zamihan bermaksud beliau secara aktif terlibat dalam keganasan dan menjadi matlamat ceramahnya, sedangkan beliau telah menulis lebih 50 buku tentang Islam dan terlibat dengan pelbagai program televisyen Islamik seperti "Peace TV", "Huda TV" dan "The Deen Show, Chicago".
Penceramah popular itu memegang ijazah sarjana muda dari Universiti Islam Madinah, ijazah sarjana dari King Saud University dan doktor falsafah dari University of Wales, Trinity Saint David, dan tersenarai dalam 500 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia untuk tahun ini. - Malaysiakini, 31 Julai 2018.
Dr. Bilal sebenarnya tidak asing lagi di bumi Malaysia, dia pernah berkongsi satu foto kenangan yang sempat saya simpan dan mungkin tidak akan dikongsi lagi olehnya.
"A Blast from the Past: Kami bermain dan menyanyi bersama di atas pentas dalam kugiran bernama "Xperience" di Malaysia Timur kira-kira 40 tahun yang lalu sebagai non-Muslims. Kemudian seorang demi seorang daripada kami menemui Islam di merata cerok dunia. Aku di Kanada, John Toft di Australia dan Gordon Gregory di Malaysia" - Dr. Abu Ameenah Bilal Philips.
beruntung dapat jumpa Dr. bilal philips
BalasPadamAlhamdulilah. Hebat orangnya.
Padam