Rabu, 23 Mac 2022

PENGENALAN QIYAS BUAT SI JAHIL

Tular baru-baru ini satu pautan berita “Video Sayu Bocah Mengazankan Jenazah Ibunya” dari Kalimantan Selatan yang turut menjadi bualan hangat di Malaysia. Saya tidak hairan melihat betapa banyak rakyat Indonesia kagum, memuji dan menganggap tindakan budak kecil itu sebagai satu yang syariatkan agama. Saya tidak marahkan budak itu, mungkin dia didorong oleh sesiapa atau adat untuk melaungkan azan ketika jenazah ibunya sedang diuruskan. Jika ia bukan adat di sana, masakan orang ramai membiarkan budak itu mengazankan jenazah, sedangkan solat jenazah pun kita tidak laungkan azan! Tetapi apa yang peliknya, begitu ramai netizen Malaysia bersetuju dan kagum melihat video tersebut biar pun pemikiran rakyat Malaysia boleh dikatakan lebih akademik daripada kebanyakan rakyat negara jiran.

Lebih pelik dan tersangat pelik lagi, bila ada ustaz selebriti dari Malaysia yang membenarkan hal seperti itu seolah-olah dangkal sangat pemahaman agamannya biar pun kini akses terhadap dalil dan percambahan ilmu agama begitu luas tersebar di dunia siber. Jom dengar apa kata ustaz berkenaan:

“ Bid’ah apa yang takda nas, itu bid’ah. Terbina hukum dengan 5, pertama: Al-Quran, kedua: hadis Nabi ataupun Sunnah, Ketiga: Fatwa sahabah, Keempat: Ijmak ulama, yang kelima: ialah qiyas. Terbina hukum dengan lima, sebab itu bila orang tanya saya ‘ustaz apabila orang mati diazankan boleh tak?’. Saya tak berani jawab saya tanya seorang ulamak, dia kata ‘ambil yang kelima: QIYAS. Kerana apa? Ketika lahir diazankan qiyas ketika mati diazankan untuk hantar dia bertemu dengan PenciptaNya’. Ada hukum tuan-tuan rupanya!...”

Sebelum menjawab qiyas ustaz berkenaan, elok kita ambil tahu sedikit tentang apa itu qiyas atau dalam bahasa Melayu dieja "kias"?

Seperti yang kita sedia maklum, sumber primer yang membentuk hukum dalam Islam ialah al-Quran dan Hadis sahih, bagaimanapun terdapat kaedah lain yang digunapakai iaitu kesepakatan ulama dan qiyas yang dikenali sebagai masdar taba’i (dasar yang mengikut) dibawah cakupan Al-Quran dan As-Sunnah. Mudahnya, ia tidak terlepas untuk kembali pada masalah utama yang ada hukumnya dalam 2 sumber primer itu. Qiyâs atau analogi ialah suatu kaedah untuk menghasilkan hukum antara sesuatu yang disebutkan hukumnya secara jelas dalam agama (masalah utama) dengan suatu yang tidak dijelaskan atau belum ditemui dalam hukum agama.

Apakah qiyas ini satu kaedah baharu yang baharu dalam Islam yang direka oleh Imam As-Syafi'ey? Tidak. Bahkah ia diajarkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sendiri. Imam As-Syafi'ey dikenali sebagai penyusun ilmu usul figh secara sistematik yang pertama. Allah sering memberi analogi misalnya tentang bumi yang tandus kemudian disuburkan setelah hujan bagi memahamkan manusia tentang hari kebangkitan, Allah juga menerangkan tentang bagaimana sesuatu pahala dan ilmu itu dapat berkembang bagaikan benih pokok yang subur, dan Allah mengarahkan manusia untuk mempelajari tamsilan melalui berfirman:

هُوَ الَّذِيْٓ اَخْرَجَ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا مِنْ اَهْلِ الْكِتٰبِ مِنْ دِيَارِهِمْ لِاَوَّلِ الْحَشْرِۗ مَا ظَنَنْتُمْ اَنْ يَّخْرُجُوْا وَظَنُّوْٓا اَنَّهُمْ مَّانِعَتُهُمْ حُصُوْنُهُمْ مِّنَ اللّٰهِ فَاَتٰىهُمُ اللّٰهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُوْا وَقَذَفَ فِيْ قُلُوْبِهِمُ الرُّعْبَ يُخْرِبُوْنَ بُيُوْتَهُمْ بِاَيْدِيْهِمْ وَاَيْدِى الْمُؤْمِنِيْنَۙ فَاعْتَبِرُوْا يٰٓاُولِى الْاَبْصَارِ

"Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab dari kampung halaman mereka pada pengusiran pertama kali. Kamu tidak sangka bahawa mereka akan keluar dan mereka pun yakin bahawa benteng-benteng mereka akan dapat mempertahankan mereka dari (seksaan) Allah, akan tetapi Allah mendatangkan kepada mereka (siksaan) dari arah yang tidak mereka sangka. Dan Allah menanamkan ketakutan ke dalam sanubari mereka, dan mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan-tangan orang mukmin. Maka ambillah tamsil dan ibarat (dari kejadian itu) hai orang-orang yang mempunyai pandangan yang tajam". [Quran, al-Hasyr: 2].

Pada suatu hari Umar bin al-Khattab radhiallahu anhu mengadu kepada Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam dan berkata, “Pada hari ini aku telah melakukan kesalahan besar, iaitu aku mencium (isteriku), padahal aku sedang berpuasa". Menanggapi pengaduan sahabatnya itu, Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda :
 أَرَأَيْتَ لَوْ تَمَضْمَضْتَ بِمَاءٍ وَأَنْتَ صَائِمٌ ؟ فَقُلْتُ: لَا بَأْسَ بِذَلِكَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَفِيم 
Apa pendapatmu bila engkau berkumur-kumur dengan air, padahal engkau sedang berpuasa? Umar menjawab, “Tentu tiada masalah”. Mendengar jawapan itu, Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam membalas dengan bersabda, “Lalu mengapa engkau risau?" [Hadis riwayat Ahmad dan lainnya].

Terdapat satu peristiwa penting apabila Muadz ibn Jabal diutus menjadi qadhi (hakim agung) sekaligus gabenor di Yaman:

عَنْ مُعَاذِ بن جَبَلٍ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا بَعَثَهُ إِلَى الْيَمَنِ، قَالَ لَهُ:"كَيْفَ تَقْضِي إِنْ عَرَضَ لَكَ قَضَاءٌ؟"، قَالَ: أَقْضِي بِكِتَابِ اللَّهِ، قَالَ:"فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي كِتَابِ اللَّهِ؟"قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ:"فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟"قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيِي وَلا آلُو، قَالَ: فَضَرَبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدْرَهُ، وَقَالَ:"الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمَا يُرْضِي رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ" “

Daripada Muadz ibn Jabal radhiallahu anhu bahawa Nabi sallahu alaihi wasallam ketika mengutusnya ke Yaman, Nabi bertanya: “Bagaimana kamu jika dihadapkan permasalahan hukum? Dia berkata: “Aku berhukum dengan kitab Allah”. Nabi berkata: “Jika tidak terdapat dalam kitab Allah?, dia berkata: “Aku berhukum dengan sunnah Rasulullah”. Nabi berkata: “Jika tidak terdapat dalam sunnah Rasulullah? Dia berkata: “Aku akan berijtihad (mengunakan akal dengan bersungguh-sungguh) dan tidak berlebih”. Maka Rasulullah menepuk-nepuk dada Muadz dan berkata: “Segala puji bagi Allah yang membimbing utusan Rasulullah dengan apa yang diredhai Rasulullah”. [Hadis riwayat Abu Daud, al-Bahaqi).

OK Jelas?

Dalam memahami Qiyas, terdapat dua kelompok manusia yang celaru dan keliru:

Pertama : Kelompok yang menolak qiyas secara total dan beranggapan syariat ini tidak memililiki illat, atau hikmah bahkan mengingkari bahawa dalam agama ini ada yang boleh dirasionalkan.

Kedua : Kelompok yang terlalu luas serta bermudah-mudah dalam penggunaan qiyas sehingga meremehkan nas-nas, bahkan mendahulukan qiyas mereka dari nas-nas (yang sudah jelas dalam sumber primer).

Banyak orang jadi keliru dengan masalah qiyas kerana ramai ustaz dan ulama berfatwa dengan semberono walaupun tidak berkelayakan. Padahal Imam As-Syafi’ey rahimahullah mengariskan syarat-syarat yang sangat ketat [rujuk Ar-Risalah] untuk melayakkan seorang itu berdalil dengan qiyas antaranya: menguasai ilmu hukum-hukum al-Quran yang wajib, yang sunnah, al-nasikh dan al-mansukh, yang bersifat umum, khusus dan berbagai petunjuknya. Selanjutnya dia mampu menguraikan ayat-ayat melalui multi-tafsir dengan bantuan hadis-hadis. Bila dia tidak menemukannya dalam hadis, maka dia mencari petunjuk dari ijmak ulama. Kemudian bila dia tidak menemukan kesepakatan ulama, maka dia berqiyas. Tidak boleh terburu-buru, otak cerdas dan berbagai-bagai lagi kriteria. Imam Ahmad ibn Hanbal lebih keras dalam hal qiyas hingga berkata “Di dalam as-Sunnah tidak ada qiyas”, namun menurut ulama apa yang dimaksudkan Imam Ahmad ialah bab akidah kerana para tabi’in sering merujuk perkataan sunnah bagi maksud akidah.

Lihat apa kata-kata Imam Syafi’ey untuk lebih faham “Kami menentukan suatu hukum dengan dasar kesepakatan hasil ijtihad ulama dan juga qiyas, dan ini adalah dalil yang jauh lebih lemah apabila dibandingkan dengan dalil al-Quran dan as-Sunnah. Akan tetapi pengambilan dalil dari kesepakatan hasil ijtihad dan qiyas ini kami lakukan ketika dalam keadaan darurat. Sejatinya TIDAK HALAL berdalil dengan qiyas selama ditemukan dalil dari al-Quran dan as-Sunnah. Sebagaimana tayammum, ia dianggap sebagai kesucian ketika dalam perjalanan dan kesulitan menemukan air. Tayammum tidak dianggap sebagai kesucian bila kau sudah mendapatkan air. Tayammum hanya dianggap sebagai kesucian bila sedang dalam kesulitan untuk mendapatkan air.” [ar-Risâlah, hlm. 509-600].

Demikianlah Imam Syafi’ey menyimpulkan hal ini dengan kuat dan kemas sekali. Qiyas yang sejatinya hanya menjadi dalil dalam kondisi darurat, iaitu ketika tidak ditemukan dalil al-Quran dan as-sunnah, dan hanya orang yang berkemampuan dari segi intelek dan jujur sahaja yang dapat mengeluarkan hukum qiyas.

Baiklah kita kembali pada isu melaungkan azan buat jenazah, adakah qiyas yang dinyatakan itu tepat?

Sudah tentu TIDAK. Pertama, kematian telah berlaku sejak zaman Nabi sallallahu alaihi wasallam, sebelum hayat Nabi, ketika hayat Nabi, isteri, anak, cucu, sahabat Nabi pakat mati belaka. Jadi tiada lagi isu kematian dan cara urus perkara baharu? tiada tontonan?

Kematian berlaku dan Nabi sudah ajarkan kita tatacara mengurus jenazah dengan lengkap. Baginda pesuruh Allah, wakil yang dilantik Tuhan untuk diikut dan diteladani, selesai? Faham? Allah telah redha dengan apa yang telah Nabi ajarkan kepada manusia sebelum baginda sendiri wafat. Selesai. Ada sesiapa azan kepada jenazah di zaman Nabi? Ada rekodnya? Takda.

Sepatutnya jawab ini sahaja sudah memadai, tetapi kita pergi kepada nas seterusnya iaitu azan secara khasnya ialah laungan menyeru umat untuk mendirikan solat berjemaah. Nabi SAW bersabda:

إِذَا حَضَرَتْ الصَّلاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ

“Apabila masuk waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah menjadi imam orang yang paling tua dalam kalangan kamu.”[Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Jom kita lihat apa pendapat para ulama muktabar, Ibn ‘Abidin yang merupakan salah seorang ulama mazhab Hanafi berkata: “Tidak dianjurkan mengumandangkan azan ketika memasukkan mayat ke dalam kuburnya sebagaimana yang biasa dilakukan sekarang. Bahkan Ibn Hajar menegaskan dalam himpunan fatwanya bahawa hal tersebut adalah bid’ah.”[ Radd al-Mukhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar, 2/235].

Ibn ‘Abd al-Bar yang merupakan salah seorang ulama mazhab Maliki menyatakan: “Tidak ada azan selain untuk solat fardhu lima waktu. Tidak juga dibolehkan mengumandangkan azan untuk solat sunat, begitu juga solat fardhu lima waktu yang luput atau berlalu dan diqadha’, bukan pada waktu yang telah ditentukan.”[ al-Kafi fi Fiqh Ahl al-Madinah, hlm. 37].

Al-Hattab al-Ru’aini, yang juga ulama mazhab Maliki menyatakan “Saya tidak mengetahui adanya hadis atau athar dalam perkara ini kecuali apa yang diceritakan daripada sebahagian ulama muta’akhir (belakangan). Barangkali dikiaskan dengan anjuran azan dan iqamah di telinga bayi yang baru lahir, kerana kelahiran adalah awal keluar ke dunia, sementara ini (kematian) adalah awal keluar dari dunia, namun ada yang lemah dalam hal ini. Kerana kes seperti ini (azan ketika mengebumikan jenazah), tidak boleh dijadikan pegangan kecuali jika ada dalil yang sahih.”[ Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Syaikh Khalil, 2/85].

Imam Ibnu Hajar al-Haitami yang merupakan salah seorang ulama mazhab Syafi’ey juga telah memberi penjelasan berhubung isu ini. “Perkara tersebut adalah bid’ah. Sesiapa yang meyakini hal itu disunatkan ketika menurunkan jenazah ke dalam kubur, kerana diqiyaskan dengan anjuran azan dan iqamah untuk bayi yang baru dilahirkan, menyamakan hujung akhir kehidupan manusia sebagaimana ketika awal dia dilahirkan adalah keyakinan yang salah. Adakah boleh disamakan dua keadaan ini? Semata-mata alasan, yang satu pada permulaan hidup, dan yang satu di hujungnya, hal ini tidaklah menunjukkan adanya kesamaan.”[ al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/371].

Ibnu Qudamah, ulama mazhab Hanbali berkata: “Umat Islam bersepakat bahawa azan dan iqamat disyariatkan untuk solat lima waktu dan keduanya tidak disyariatkan untuk selain solat lima waktu, kerana maksudnya adalah untuk pemberitahuan (masuknya) waktu solat fardhu kepada orang ramai. Dan ini tidak terdapat pada selainnya.[ al-Syarh al-Kabir, 1/388].

Dari sini saya kira kita sudah jelas tentang pensyariatan azan, maka qiyas bayi diazankan maka wajarlah jenazah juga diazankan tidak dapat diharmonikan. Perlu kita ketahui perbuatan mengazankan di telinga bayi lebih merupakan adat pada hari ini. Hadis mengenai azan ke telinga bayi merupakan khilaf dikalangan ulama. Hadis ini dihukumkan sebagai hadis da’if kerana dalam rantaian sanadnya terdapat seorang perawi yang da’if (lemah) bernama ʻAsim bin Ubaidillah (w. 132H). Imam Malik rahimahullah apabila beliau mendengar Syu’bah meriwayatkan hadis daripada ‘Asim bi Ubaidillah, Imam Malik segera mencelanya. [Rujuk Tarikh Ibn Maʻin Riwayah al-Duri, 3/170].

Imam Yahya bin Sa’id turut menda’ifkan ‘Asim bin Ubaidillah. Beliau berkata “Dia (‘Asim) disisiku sama seperti Ibn ‘Uqail (da’if)”. [Rujuk Tahdhib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal, 13/503].

Selain itu, Yahya bin Maʻin juga menda’ifkan ‘Asim bin Ubaidillah. [Rujuk al-Kamil fi Du’afa’ al-Rijal, 6/387].

Bahkan, keda’ifan ‘Asim bin Ubaidillah telah disepakati oleh ramai para kritik hadis yang lain seperti al-Bukhari, Abu Hatim al-Razi, Abu Zur’ah al-Razi, al-Nasa’i dan lain-lain. Meskipun begitu, Imam al-Tirmizi dan al-Hakim menghukumkan hadis ini sebagai hasan sahih dan membolehkan beramal dengan hadis ini. Tidak dipaksa seseorang untuk mengazankan anaknya jika dia tidak mahu beramal dengan hadis daif. Dari sudut pengamalan setempat, ia dibolehkan dengan alasan untuk memperdengarkan lafaz azan sebagai kata-kata mulia yang pertama didengari oleh bayi itu.

Maka dari dalil-dalil yang terhimpun di atas, dapatlah kita pelajari bahawa seseorang yang tidak menguasai ilmu Quran dan hadis yang mampan, tidak memiliki kecerdasan akal untuk memproses maklumat dan jujur dalam penilaian, tidak akan mampu membawa hukum qiyas dengan tepat. Malah akan bermudah-mudah dalam berfatwa hingga merosakkan ketulenan agama ini.

Ra1m1

Tiada ulasan:

Catat Ulasan