Kami menerima Timbalan Pengarah yang baharu setelah setahun kematian Timbalan Pengarah yang lama akibat serangan jantung. Timbalan Pengarah yang baharu ini datangnya dari negeri Pasir Dua Butir, negeri yang Sultannya bertarekat, zikir menari di dalam istana. Tapi takpalah, itu cerita negeri asalnya.
Seminggu berpindah ke Perlis, En. K ini biasa-biasa sahaja, tidak mempamerkan manhajnya dan ‘play safe’. Suatu hadir saya keluar sarapan pagi bersamanya, dia pun bertanya tentang seorang warga emas, kebetulan dia memang bertanggungjawab dalam isu warga emas di sini. Saya pun menjawab:
“Biasalah orang kampung umur 70 tahun lebih pun masih kuat, masih boleh buat kerja kampung, masih 6 packs!”.
En. K “Ehh! Betul ke? Kuat lagi tu!”
“Ya. OK lagi”.
En. K “Dia sibuk dengan masjid la kot di usia tu ya? Dia duk solat ke?”
“Biasalah orang kampung dulu-dulu honaq, sekarang ni mulalah hendak solat”.
En. K “Eh! Tapi dia solat tak?” Tiba-tiba semakin ghairah dia hendak tahu.
“Macam itulah, kalau dia hendak solat dia buatlah”.
En. K “Eh! Kau jangan fikir dia tak solat. Kadang-kadang itu kita yang tak tahu, orang-orang tua ini dia belajar tinggi, ilmu dia kita yang tak tahu. Orang yang belajar ilmu-ilmu tinggi ini, kau nampak aja dorang tak solat, padahal syariat dah terangkat daripada dorang. Tak solat sebab kedudukan dorang tu”.
……
Saya diam. BAAAM! Sah, dia pengikut tarekat. Kenapa saya benar-benar pasti? Kerana Nabi salallahu alaihi wasallam, utusan Allah, kekasih Allah, semulia-mulia manusia pun tetap terikat dengan syariat ini. Kenapa pula wali yang entah siapa yang lantik bahkan sangkaan semata-mata boleh pula dia meninggalkan solat kerana makam (kedudukan mulia) yang tinggi? Jika seseorang itu pernah meneliti tafsir Quran secara asas, atau membaca hadis-hadis sahih tentang kewajiban solat, tentu dia akan tahu bahawa solat ini wajib ke atas setiap Muslim.
Dahsyatnya arahan untuk mendirikan solat diperintahkan oleh Allah Ta'ala sendiri ke atas Nabi Muhammad salallahu alaihi wassalam tanpa perantaraan Jibril a.s sewaktu peristiwa Israk Mikraj. Tiba-tiba pengikut tarekat mengatakan perintah ini tercabut kepada wali-wali?
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى
“Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan balasan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertaqwa.” (Quran, Thaha: 132).
Daripada Abu Hurairah, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
” إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسَرَ فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيْضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ تَبَارَكَ وَتَعَالَى : انَظَرُوْا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ ؟ فَيُكْمَلُ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنَ الفَرِيْضَةِ ثُمَّ يَكُوْنُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ ” . وَفِي رِوَايَةٍ : ” ثُمَّ الزَّكَاةُ مِثْلُ ذَلِكَ ثُمَّ تُؤْخَذُ الأَعْمَالُ حَسَبَ ذَلِكَ ” .
“Sesungguhnya amal hamba yang pertama kali akan dihisab pada hari kiamat adalah solatnya. Apabila solatnya baik, dia akan mendapatkan keberuntungan dan keselamatan. Apabila solatnya rosak, dia akan menyesal dan rugi. Jika ada yang kurang dari solat wajibnya, Allah Tabaroka wa Ta’ala mengatakan, ’Lihatlah apakah hamba tersebut memiliki amalan solat sunnah?’ Maka solat sunnah tersebut akan menyempurnakan solat wajibnya yang kurang. Begitu juga amalan lainnya seperti itu.”
Dalam riwayat lainnya, ”Kemudian zakat akan (diperhitungkan) seperti itu. Kemudian amalan lainnya akan dihisab seperti itu pula.” (Hadis riwayat Abu Daud no. 864, Ahmad 2: 425, Hakim 1: 262, Baihaqi, 2: 386).
Dalam hadis yang popular:
العهدُ الذي بيننا وبَينهم الصَّلاة، فمن تَركها فَقد كَفَر
“Perjanjian antara kami dan mereka (orang kafir) adalah mengenai solat, barangsiapa meninggalkannya maka dia kafir.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, At Tirmidzi, An Nasa’i, Ibnu Majah dengan sanad yang shahih dari Buraidah Al Aslami).
Saya diamkan bantahan walaupun kefahaman ini ‘fatal’ kerana merasakan dia baru seminggu menjejakkan kaki ke Perlis, akan tiba saatnya dia harus bersedia untuk bertembung dengan sinar tauhid. Semenjak hari itu dia mula mendapat rakan-rakan sealiran dengannya, saban hari mereka berbual rancak di kantin mengenai keramat dan wali-wali Melayu. Sedikit sebanyak dia mula membuka hijabnya. Suatu hari Pengarah pernah mempersoalkan status Whattsapp beliau yang bertulis “Allah hu haq”,
“zikir apa ini?” Kata pengarah. Bukan kerana maknanya salah. Hu maknaya DIA, al-haq maknanya MAHA BENAR. Namun Pengarah dan kebanyakan kita tahu zikir ini sinonim bagi pengikut tarekat (makrifat) yang mengimani wahdatul wujud (penyatuan Tuhan dan makhluk).
Hari ini Tuan Timbalan Pengarah sudah mula berkuliah kepada kaum-kaum hawa, yang sememangnya para wanita mudah kagum dengan sang lelaki yang petah berbicara tentang agama tambahan dia berjawatan tinggi, semakin terpesonalah mereka. Itu belum ustaz muda bernada sebak, berserban besar dan berkalung tasbih datang memberi tazkirah!
Kebetulan saya ada berdekatan…
En. K “Roh-roh tahu apa kita buat di rumah, buat baik tak baik. Roh-roh ini balik ke rumah, dia tengok keluarga dia, anak-anak dia, dia sedihlah jika anak-anak tak solat, buat benda-benda tak elok…”
Kak M “Roh orang yang mati bertemu dengan roh orang yang mati sesama depa la ya?”
En. K “Tak.. tak. Depa balik rumah tengok kita semua..”
Kak T “Sedihlah naa, jika suami kahwin lain apa… dia balik tengok dah duduk dengan isteri baharu…”
En. K “ Yaa… dia tengok semua tu…” Semakin rancak. Kaum-kaum hawa semakin melopong kagum kerana sebelum ini mereka antara percaya dan tidak percaya tentang kembalinya roh ke rumah melainkan hanya diceritakan oleh bomoh dan tekong tahlilan kenduri arwah.
“Siapa yang kata roh kembali ke rumah? Siapa yang kata?” Saya masuk tanpa diundang, pura-pura tak tahu siapa yang sedang berkhutbah.
Kak T “Ni Tuan Timbalan Pengarah yang kata…”
“Timbalan Pengarah kata ka? Ustaz kata ka? Dia tahu mana? Ni semua cerita karut…”
En. K “Eh!! Roh memang baliklah, dia memang balik tengok semua di rumah…” Mukanya merah padam, dia terkejut geng ni masuk tanpa beri salam terus serang.
“Siapa yang kata, roh termasuk dalam hal-hal ghaib, kita tak tahu mengenainya, melainkan apa yang Quran kata atau Nabi kata?”
En. K “Nabi yang kata! Ni Nabi yang kata!”
“Di mana? Nabi tak tahu hal yang ghaib kecuali apa yang Tuhan beritahu kat dia sahaja”. Saya sendiri pun sudah mula berdebar ketika ini. Saya memang pantang orang bermudah-mudah memetik nama Nabi salallahu alaihi wasallam tetapi saya cuba kawal emosi.
En. K “Eh! Hang jangan rendahkan martabat Nabi yaa… Nabi tahu hal ghaib. Bukan ke roh-roh balik setiap malam Jumaat tu apa?!”. Nadanya semakin keras dan menekan.
“Pembesar dan pendita Yahudi pernah datang kepada Nabi, depa hendak berdebat dan uji Nabi dan tanya, apa itu roh? Nabi tak jawab, dia tak tahu sehingga Allah turunkan ayat ‘Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” [Quran, al-Isra’:85].
En. K “Aku tahulah, aku belajar macam itu. Orang-orang yang ada kasyaf dapat tengok roh-roh balik..”
Saya terus diam. Bila seseorang beri hujah begitu dengan menafikan ‘haq’ yang sepatutnya diterima iaitu nas Quran dan hadis, kita berlepas diri daripadanya. Dia sememangnya tak akan terima lagi apa-apa sahaja hujah-hujah Quran dan hadis berkaitan dengan hal ghaib melainkan pendapat dan ajaran gurunya. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa ilmu kasyaf tidak boleh ditulis di dalam kitab, disebabkan jelas bertentangan dengan hukum syarak. Manakala ulama-ulama tasawwuf terdahulu bertegas tidak menerima kasyaf ilmi atau dzauqi atau wujdani kecuali menepati Kitab dan Sunnah.
Mana boleh dengan adanya bukti ayat-ayat Quran dan hadis mengenai keterbatasan roh yang meninggal di alam barzakh tiba-tiba kita memilih dogengan orang yang kononnya mempunyai kasyaf?
“Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta”. [Quran, Surah al-Syu’ara’ :221-223]
Bagi yang masih ingat, tokoh pengamal perubatan Islam terkenal dari Perlis suatu ketika, Tuan Guru Harun Din menafikan dengan keras kembalinya roh ke dunia bersertakan hujah “Daripada pengalaman saya, ada juga yang mendakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kononnya diambil daripada orang yang telah mati. Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam. Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan roh, dalam istilah Arabnya disebut tanasuthil arwah - reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini”.
Saya berpendapat fahaman begini parah pada akidah kerana beranggapan Allah tidak berkuasa membendung roh-roh orang mati dari berkeliaran di dunia seperti firmanNya di dalam Al-Quran. Lebih fatal jika ada yang percaya roh-roh itu dapat memberi pertolongan dan mudarat kepada orang hidup.
اَللّٰهُ يَتَوَفَّى الْاَنْفُسَ حِيْنَ مَوْتِهَا وَالَّتِيْ لَمْ تَمُتْ فِيْ مَنَامِهَا ۚ فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضٰى عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الْاُخْرٰىٓ اِلٰٓى اَجَلٍ مُّسَمًّىۗ اِنَّ فِيْ ذٰلِكَ لَاٰيٰتٍ لِّقَوْمٍ يَّتَفَكَّرُوْنَ
Maksudnya: Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).[ Quran, Al-Zumar: 42]
Ayat di atas juga menjadi dalil yang menunjukkan bahawa roh orang yang mati tidak akan kembali, bahkan Allah subhana wa ta’ala yang berkuasa menahannya dari kembali ke dunia. Roh orang yang telah meninggal dunia boleh bertemu semula roh ahli keluarga yang telah lama mati. Namun perlu diingat hanya roh orang yang beriman sahaja boleh bertemu antara satu sama lain berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:
فَيَأْتٌونَ بِهِ أَرْواَحَ المُؤْمِنِينَ فَلَهُمْ أَشُّد فَرْحاً مِنْ أَحَدِكُمْ بِغَائِبِكُم يَقْدَمُ عَليه فَيَسْأَلُونَهٌ ما فَعَلَ فُلانٌ مَا فَعَلَتْ فُلاَنَةٌ
Maksudnya: ”Mereka didatangkan dengan roh-roh orang mukmin. Mereka lebih gembira dengan kedatangan ruh tersebut berbanding kalian yang bersedih kerana pemergiannya. Maka mereka bertanya:apa yang dilakukan oleh orang lelaki ini,apa yang dilakukan oleh orang perempuan ini?” [Hadis riwayat An-Nasaie].
Sebuah hadis riwayat Jabir RA turut membuktikan bahawa roh tidak akan kembali:
قَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” يَا جَابِرُ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَحْيَا أَبَاكَ، فَقَالَ لَهُ: تَمَنَّ عَلَيَّ، فَقَالَ: أُرَدُّ إِلَى الدُّنْيَا، فَأُقْتَلُ مَرَّةً أُخْرَى، فَقَالَ: إِنِّي قَضَيْتُ، أَنَّهُمْ إِلَيْهَا لَا يُرْجَعُونَ
Maksudnya: Telah berkata kepadaku Rasulullah salallahu alaihi wasallam: Wahai Jabir! Adakah kamu tidak mengetahui bahawa Allah ‘azza wa jal telah menghidupkan ayahmu dan berfirman kepadanya: “Mohonlah kepada-Ku”. Lantas ayahmu berkata: “Kembalikanlah diriku ke dunia hingga aku terbunuh (dalam jihad fi sabilillah) sekali lagi. Maka Allah berfirman: “Aku telah memutuskan bahawa mereka (yang telah mati) tidak akan kembali lagi ke dunia.”[ Riwayat Ahmad (14881].
Saya sering berfikir tentang rakan-rakan yang tinggal di negeri yang mengamalkan fahaman nusantara dan terpesona dengan tasawwuf kesufian, apabila Allah subhana wa ta’ala takdirkan mereka berhijrah ke Perlis, mereka tidak hadir ke masjid, atau ambil peluang sekali dua untuk mendengar kuliah/fatwa daripada penguasa agama di sini. Sekurang-kurangnya mereka dapat dengar dan kenal format perbahasan agama di sini. Mereka pulang ke kampung setelah tamat tempoh pemusafiran tanpa apa-apa manfaat darinya.
Saya juga terfikir bagaimana seorang yang hidup dalam dunia gajet canggih dan infomasi tanpa batasan hari ini masih tidak boleh bertemu dengan nas-nas agama biarpun tiada sempadan dan halangan lagi untuk mencapai sumber-sumber ilmu yang muktabar?
Mungkin jika hati tidak ikhlas dan tidak mahu pada kebenaran, maka terhalang baginya segala yang terang.
-Ra1m1
1.05 am, 20 April 2022
Susah betul Mr. K ni
BalasPadamSedih juga bila usia sudah separuh abad tetapi hati masih tidak mahu tunduk pada nas dan dalil yang murni.
Padam