Bilakah masa terbaik untuk kita menghulurkan duit raya?
Pertama sekali ada beberapa pihak mengaitkan pemberian duit di Hari Raya menyerupai perayaan kaum Cina yang memberi ang pow lantas hukumnya menjadi haram kerana tasyabbuh. Ulama kita telah membahaskan isu duit raya ini dengan berdalilkan hadis dua orang kanak-kanak perempuan menyanyi di rumah Aisyah r.a sambil didengari Rasulullah salallahu alaihi wasalam, baginda memberi kebenaran untuk berhibur agar terzahir kegembiraan pada Hari Raya (rujuk hadis riwayat Muslim). Lalu para ulama menyimpulkan selama mana sesuatu perbuatan yang dapat menzahirkan kegembiraan pada hari perayaan itu tidak bercanggah dengan syariat, selain tidak terdapat dosa padanya maka perkara ini adalah dibolehkan. Konsep memberi duit raya kepada ibu bapa, kaum kerabat, serta kanak-kanak pada 1 Syawal adalah menepati perbuatan sedekah di dalam Islam.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
إنَّما الدنيا لأربعة نفر: عبد رزقه الله مالاً وعلماً فهو يتقي فيه ربه ويصل فيه رحمه، ويعلم لله فيه حقاً فهذا بأفضل المنازل
“Dunia itu untuk 4 jenis hamba: Yang pertama, hamba yang diberikan rezeki oleh Allah serta kefahaman terhadap ilmu agama. Dia bertaqwa kepada Allah dalam menggunakan hartanya dan dia gunakannya untuk menyambung silaturahim. Dan dia menyedari terdapat hak Allah pada hartanya. Maka inilah kedudukan hamba yang paling baik.” (Hadis riwayat Tirmidzi, no.2325).
Namun ini kebiasaan masyarakat, saya memilih sedikit perbezaan dan ia telah menjadi tradisi sejak saya belum berumah tangga lagi iaitu dengan memberi duit raya pada minggu terakhir Ramadan kerana:
1. Keutamaan bersedekah pada bulan Ramadan. Bayangkan ganjaran bersedekah ketika berpuasa kerana setiap amalan baik itu dilipat gandakan:
كل عمل ابن آدم له الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف قال عز و جل : إلا الصيام فإنه لي و أنا الذي أجزي به
“Setiap amal manusia akan diganjar kebaikan semisalnya sampai 700 kali lipat. Allah Azza Wa Jalla berfirman: ‘Kecuali puasa, kerana puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.'”
(Hadis riwayat Muslim no.1151).
Ibn Abbas radhiallahu’anhuma berkata:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ، وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل ، وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيُدارسه القرآن ، فالرسول الله صلى الله عليه وسلم أجودُ بالخير من الريح المرسَلة
“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam ialah orang yang paling dermawan. Dan baginda lebih dermawan lagi di bulan Ramadan saat baginda bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam
melebihi angin yang berhembus.” (Hadis riwayat Bukhari, no.6)
2. Menampung keperluan ibu bapa, isteri, sanak saudara untuk persiapan Hari Raya (beli pakaian baharu, beli bahan-bahan untuk jamuan hari raya atau kelengkapan rumah). Daripada Ibn ‘Umar, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Manusia yang paling dicintai oleh Allah ialah yang paling memberikan manfaat kepada manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, mengangkat kesusahan daripada orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang muslim untuk sebuah keperluan lebih aku cintai daripada beri’tikaf di masjid ini (masjid Nabawi) selama sebulan penuh.”
[Hadis riwayat Thabrani di dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280]
3. Memberi duit raya kepada ibu bapa dan mentua termasuk dalam amal soleh birul walidain. Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu”. [Riwayat Muslim (995)].
4. Memberi duit raya kepada isteri dan anak-anak termasuk sedekah yang paling afdal. Daripada Sa'd bin Abi Waqqas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
"Sesungguhnya kamu tidaklah membelanjakan nafkah yang kamu harapkan redha Allah dengannya (nafkah tersebut) melainkan kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya, sekalipun jua nafkah yang kamu jadikannya di dalam mulut isteri kamu".
[Riwayat Al-Bukhari no.56]
5. Seterusnya setelah mendahulukan ahli keluarga yang amat memerlukan bolehlah kita memberi sedekah kepada selainnya berdasarkan firman Allah SWT:
“Perbandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas kurniaan-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”.
[Quran, al-Baqarah:261].
Ini tradisi saya. Pandangan saya. Jika bersetuju dan merasakan ada kebaikan dari pendapat ini, bolehlah beramal pada Ramadan seterusnya jika diizinkan Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan