Kira-kira sebulan lalu masjid kami mendapat imam baharu, imam 1 dan imam 2, kedua-duanya muda belia, bacaan mereka lantang dan lancar. Rata-rata jemaah gembira dan terus bersemangat mendirikan solat fardu di masjid. Imam muda ini giat mengimarahkan masjid dengan majlis ilmu, difahamkan dia juga giat dalam aktiviti dakwah bersama NGO, kiranya dia seorang asatizah.. Antara perkara positi yang dihidupkannya semula selepas mereka menjadi imam ialah mentadabbur 2 ayat pilihan dari Al-Quran selepas solat fardhu Subuh. Dahulu imam jemputan ada sesekali membuat sesi tadabbur selepas solat Subuh. Sekarang ini setiap pagi!
Selepas mengikuti beberapa kali sesi tadabbur itu, saya mula
memahami kenapa begitu ramai penglipur lara mendapat tempat di hati masyarakat malah
diangkat sebagai mahaguru agama. Isi tadabbur imam muda itu benar, dia memetik
tafsiran-tafsiran dan takwil dari kitab-kitab muktabar namun penyampaiannya
hambar dan kaku. Kelemahan bicara dan pidato membuatkan semua yang mendengar menjadi
mengantuk, bosan, dan ada yang terkunang-kunang matanya kerana tak sampai mesej
di lubuk nuraninya sedangkan apa yang disampaikan itu wahyu. Widom! Lantas
kenapa jadi kuyu…
INTONASI
Walaupun pelik,
guru-guru dan ustaz-ustaz yang mengajarkan Quran dan Sunnah seharusnya
belajarlah daripada penglipur lara tentang bagaimana mereka menguasai ilmu
bicara untuk menawan hati pendengar/penonton biar pun hakikatnya mereka cetek
ilmu agama. Intonasi suara memainkan peranan besar untuk menekankan khabar sedih
dan sebak, untuk mengambarkan suasana dan peristiwa, untuk bermain dengan emosi
dan perasaan. Rujuk video seorang mutawwif popular bercerita dengan sendu
tangis kepada jemaah haji Malaysia tentang peristiwa kewafatan Nabi salallahu
alaihi wassalam dipangkuan Saidina Ali sambil menyebut ummati..ummati.. tengok
betapa ramai menangis terpedaya dan percaya! Sedangkan kisah itu palsu!
JANGAN GEMURUH
Ketenangan jiwa ialah sesuatu yang perlu dilatih dan diasuh sebelum
berhadapan dengan jemaah. Gemuruh membuatkan kita jadi kalut, bila sudah kalut
kita cakap tergagap-gagap, bila gagap mula tersilap cakap. Saya pernah kenal
seorang imam tua yang gemuruh bila dia tersilap baca teks khutbah Jumaat, dia
kurang arif perkataan-perkataan Bahasa Melayu yang baharu, maka bila dia
tersasul, dia jadi kalut dan baca perenggan yang lain atau terus terdiam.
Kemudian dia mula naik angin dan mula merapu. Tapi masalah ini kebanyakan
terjadi pada ustaz-ustaz junior laaa… jangan ustaz tua masih gabra!
TAMSILAN ATAU CONTOH YANG TAK TEPAT
Saya teringat nasihat Sheikh Hussain Yee kepada para
asatizah semasa kuliah Subuh di Perkampungan Sunnah siri 7yang lalu, iaitu tak
mengapa jika seorang ustaz itu hanya ada ilmu sedikit tetapi dia kuasai ilmu
itu dengan mantap, ajarkan orang yang itu dahulu, jangan cakap sesuatu yang
kita tidak ada ilmu dan tidak mahir nanti masalah bila orang bertanyakan dalil.
Ego seorang ustaz selalunya akan membuatkan dia tetap menjawab dan berfatwa
tanpa ilmu. Ini sangat betul, saya
dengar sendiri imam ini memberikan contoh amalan-amalan khurafat orang Melayu
yang kurang tepat untuk memberi penjelasan tentang syirik. Mengkritik amalan-amalan
lama dan kepercayaan-kepercayaan kuno secara semberono di hadapan para jemaah
yang rata-ratanya orang tua malah lebih arif tentangnya membuatkan imam ini
dipandang lekeh dan tidak matang. Contoh: “
haaa.. orang dulu buat syirik gantung kepala ikan puyu di rumah untuk tepis
sihir..” padahal yang sebenarnya bela ikan puyu dalam rumah sahaja, dia
melampau kata gantung kepala ikan pula?! Dan beberapa contoh lagi yang kami
masing-masing kuling kepala. Bukan kerana tak suka syirik, sebaliknya kerana
imam salah cerita.
ULANGKAJI RINGKAS SEBELUM BERUCAP
Tak kiralah sama ada kuliah magrib, forum khas, kuliah
tafsir? Seeloknya sang ustaz buatlah ulangkaji sedikit topik yang akan dibahas
atau dikaji. Contohnya seorang ustaz ini ingin tadabbur ayat-ayat pilihan dari
Al-Quran, dia mengunakan carian google untuk membuka tafsir Ibn Katsir.
Masalahnya kadangkala bukan semua yang keluar dari Google itu betul, tepat dan
boleh dipercayai! Bila kita cuai dan ambil mudah, selalunya kita akan terpilih
salah laman yang membawakan hujah yang merapu, terjemahan yang salah dan
menyeleweng, salah ejaan, salah titik perpuluhan, salah nama tokoh dan macam-macam
lagi. Tidakkah ini akan menyebabkan kekeliruan kepada para jemaah? Jangan main
baca aja…!
- Ra1m1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan