Selasa, 16 Disember 2025

SELEBRITI SUMUD FLOTILLA GUNA IPHONE


Ramai netizen melatah apabila melihat selebriti pujaan mereka yang merupakan ikon pro-Palestine menggunakkan iphone semasa acara hiburan mereka.

Dia yang mendapat liputan meluas, yang bersabung nyawa dalam misi Sumud Flotilla sebelum ini sehinggakan menimbulkan kontroversi tindakannya itu seolah-olah tidak ada hukum dan garis panduan sebagai muslimah untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan di Gaza. Namun sebagai orang Islam kita diminta untuk berbaik sangka dan menghargai apa sahaja misi membantu rakyat Palestine.

Isu Palestine telah dimanipulasi sejak sekian lama, kisah penderitaan saudara kita itu telah dijual bagi menjana keuntungan ramai pihak terutama NGO-NGO yang berselindung dengan berbagai-bagai warna baju sukarelawan. Patutkah kita terkejut jika seseorang sanggup menggunakan sentimen agama untuk popular? Bebaloikah?

Fenomena Sumud Flotilla mencerminkan trend lebih besar dalam budaya pop: aktivisme sebagai aksesori. Di era di mana “likes” dan “views” menjadi sumber kewangan utama, keikhlasan sering dikorbankan demi algoritma. Penglibatan selebriti seperti Sumud tidak lagi dilihat sebagai suara perubahan, tetapi sebagai pelakon yang menjadikan isu-isu serius sebagai pentas lakonan.

Bagi yang hairan atau terkejut. Cuba fikir dalam-dalam bagaimana ada orang bukan muslim boleh menyertai misi Sumud Flotilla dan berbagai-bagai misi lagi untuk membantu orang Islam? Sedangkan mereka TIDAK beriman pun, cukup dengan mereka percaya bahawa berbakti kepada sesama manusia merupakan satu perbuatan yang baik. Atau dorongan ingin mencipta nama, ingin menjadi lagenda pun sudah cukup membuatkan seseorang itu bertekad untuk misi dan visi yang dia julang. 

Anda ingat lagi Rachel Corrie, aktivis USA yang digilis jentolak Israel kerana menghalang pemusnahan rumah penduduk Gaza pada tahun 2023? Anda ingat lagi Aaron Bushnell, seorang tentera USA yang membakar dirinya sendiri di hadapan Kedutaan Israel bagi memprotes pembunuhan rakyat Palestine pada Februari tahun lalu? Ramai lagilah nama kalau nak kumpulkan.

Apa yang mereka perjuangkan hingga terbunuh? Islam? Tentulah tidak.
 

Isnin, 15 Disember 2025

DR. ASRI ZAINUL ABIDIN VS SYEIKH ZAINUL ASRI





Tiga hari lepas Dr. MAZA berkongsi foto kunjungan Syeikh Zainul Asri ke kediamannya di Kampung Bilal Uduh, Bukit Keteri Perlis. Rasanya ini kali kedua beliau ke rumah Mufti Negeri Perlis itu. Satu Malaysia tahu betapa kedua tokoh ini mempunyai manhaj yang berbeza. DR MAZA seringkali mengkritik petua-petua, kisah-kisah yang disampaikan oleh Syeikh Zainul Asri. Dr. MAZA tidak pernah sesekali menyebut nama tokoh yang dikritiknya, namun kita semua sedia maklum kenyataan siapa yang dibidas kerana maklumat hari ini boleh diakses di hujung jari sahaja. Hal ini membuatkan nama DR MAZA agak panas di Kedah dan di kem Sufi. Syeikh Zainul Asri pula sebagai ahli tasawwuf sentiasa 'cool' jarang sekali membalas kritikan terhadapnya membuatkan ramai orang sayang kepadanya.

Bila kawan-kawan bertanya hal ini tak perlulah saya ulas panjang melainkan dengan 3 potong hadis ini yang sepatutnya jadi prinsip kita semua.

1. Daripada Abu Dzaar, dia berkata "Baginda memerintahkan untuk mengatakan yang benar walau itu pahit" (Hadis riwayat Ahmad).

2. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda “Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mengasihi, mencintai, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga dan panas (turut merasakan sakitnya).” (HR. Bukhari no. 6011 dan Muslim no. 2586)

3. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda "Barangsiapa mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah, dan menolak kerana Allah, maka sungguh dia telah menyempurnakan iman" (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi). 

Selasa, 5 Ogos 2025

BLACK METAL MINTA GERAN KERAJAAN



Aku tak pernah terfikir benda ini akan berlaku? Ya-lah, walaupun di Eropah dan Barat, muzik ekstrim telah diterima meluas dan sudah boleh masuk pasaran arus perdana. Kegelapannya masih tersisa.

Suatu ketika dahulu muzik black metal dirintis oleh pemuzik yang tidak mengikut haluan kanan, mereka yang menyimpang, mereka yang memberontak, mereka yang mendahulukan kegelapan melebihi kesenian, atau mereka yang berpegang pada prinsip bawah tanah, karya mandiri dan anti-establishment. Kini sudah berganti dengan pemuzik mesra pendengar, bimbang digelar sesat, takut dilabel jahat atau kutu, lebih memilih kesenian dari kegelapan, atau mereka yang berpegang apa sahaja muzik itu sama; alat untuk cari makan, glamor dan pengaruh. Bagi mereka main muzik ringan tadah bakul duit di hadapan awek dalam restoran hipster, sama sahaja dengan main muzik berat tadah darah dalam gig yang ditonton ramai kutu haprak.

Teringat dulu tahun 90-an satu zine xerox yang aku baca wawancara kalau tak silap, bersama God Dethroned (Belanda) depa cerita boleh main dalam satu youth hall milik kerajaan dan ada pegawai Jabatan Belia datang pantau. Itu pun dah kira habis pelik dan sudah macam satu penaklukan syaitan ke atas tempat suci dah ketika itu. Aku yang baca kisah ni, dah sorak dan canang kat kawan-kawan abis dah! Bukan sebab jadi popular, God Dethroned tak glamor pun sampai sekarang ini. Tetapi kira macam UG band berjaya bawa ancaman kepada orang awam-lah!

Masih terngiang-ngiang juga di telinga aku, kata-kata Allahyarham Azmi Bahari “Kita dahulu main muzik black metal sebab kita sudah muak, sudah tak boleh pi dengan lagu-lagu glam rock dan hard rock ni. Tapi budak—budak sekarang main black metal tapi terhegeh-hegeh nak ikut glam rock dan hard rock pulak!”.

Kita lihat sendiri sekarang ini ramai yang cuba putihkan black metal. Dengan cara mendamaikan ideologi dan kebingitannya agar kedengaran jinak falsafah dan merdu audionya. Tetapi Pak Pandir pun tak terfikir suatu hari kerajaan Malaysia akan menyalurkan geran kepada kugiran genre ini! Kan?.

Mungkin hangpa tak percaya, ada band death metal yang sudah terima geran rakaman, ada band black metal yang terima geran rakaman, ada band black metal yang terima geran untuk rakaman dan persembahan sekaligus! Apa kesannya?

Dari satu sisi baguslah ada penaja. Dari sisi lain, yang death metal jadi metal cak lempong, yang black metal sudah jadi hadrah! Jadi band kebudayaan habis! Aku rasa MAY atau KRISTAL pun tak minta geran kot? Kalau depa minta pun sesuailah bagi depa. Kenapa? Kerana geran kerajaan pasti ada terma dan syarat yang hang perlu akur. Dan hang perlu iktiraf pemberian bantuan daripada kerajaan.

Kenapa aku ambil pusing sangat hal ini? Aku dengki ka? Sebabnya adalah satu band black metal ni, aku adalah kasi satu lirik kepada mereka yang sedang giat merakam mini-album dan merancang siri jelajah tak lama lagi. Mereka sudah hampir selesai proses rakaman, hari ini aku dapat panggilan dari frontman mereka. Aku dimaklumkan depa ambil geran kerajaan. Dia merayu dan minta aku ubah tajuk lagu yang aku karang, katanya pihak kerajaan tak setuju dengan tajuk itu kerana bikin kontroversi dan gawat?!

Aku dengar punyalah terbakar. Aku minta depa rilis 4 lagu tanpa lagu aku tu, tapi mereka minta juga aku cari tajuk lain untuk terbitkan juga lagu itu.

Inilah bahana bila kita bukan lagi leaders… tapi hanya followers. Mungkin sebab ni Darkthrone pun tukar main punk ya?

- R, 5/8/2025 @22:30pm

Sabtu, 8 Mac 2025

KENAPA ADA ORANG MASIH JAHAT PADAHAL SYAITAN DIBELENGGU KETIKA RAMADAN?

 

Betul tak setiap kali tiba Ramadan, kita akan terfikir sejenak apabila melihat kelakuan dan gelagat daripada kalangan kaum Muslimin sendiri yang begitu aneh? Mereka bermaksiat, tidak amanah, sering hilang pertimbangan, melakukan jenayah seolah-olah bulan ini tiada keistimewaan dan kemuliaan. Ia bagaikan kontra terhadap hadis;

إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu rahmat dibuka, pintu-pintu Jahannam ditutup dan kepala-kepala syaitan pun dibelenggu.”[Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Maka kenapa masih kita lihat ada sahaja manusia yang terjebak dalam maksiat dan dosa, malah ada yang kerasukan sedangkan bulan Ramadan adalah masanya untuk mendidik dan melatih jiwa untuk menjalankan ketaatan kepada Allah tanpa gangguan syaitan? Madrasah Ramadan selama 1 bulan dalam setahun sepatutnya memberi kesan positif kepada setiap Mukmin dan Mukminat.  

Jawapannya?

Menurut ulama besar seperti ibn Hajar al-Asqalani, Ibn Khuzaimah dan Imam al-Qurtubi, syaitan-syaitan yang dibelenggu itu bukan kesemuanya. Mereka terdiri daripada kepala-kepala jin yang ganas dan menentang, bukan kesemuanya. Maka ada sebahagian lagi yang masih menganggu dari aspek lain seperti sihir dan sebagainya. Wallahu’alam.

Tetapi perlu kita tahu seseorang yang mengikuti regim madrasah syaitan selama 11 bulan dalam setahun tentunya tidak akan terkesan dengan silibus madrasah Ramadan selama 1 bulan kecuali dengan kehendak Allah. Seorang manusia yang diasuh syaitan sepanjang hidupnya, telah pun menjadi syaitan dari kalangan manusia dalam sedar atau tidak. Maka tanpa kehadiran syaitan dari kalangan jin untuk mempengaruhinya pun, dia tetap melakukan kemungkaran dan dosa kerana itulah kemahuannya sendiri. Ini sebagaimana dalam firman Allah tabaraka wa taala:

ومَنْ يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ

“Barang siapa mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya dia (syaitan) menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar.” [QS. An-Nuur: 21].

 

شَيَٰطِينَ ٱلْإِنسِ وَٱلْجِنِّ يُوحِى بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍۢ زُخْرُفَ ٱلْقَوْلِ غُرُورًا

Maksudnya: "syaitan-syaitan dari jenis manusia dan dan jenis jin sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu manusia" (al-An'am: 112).

 

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ ١ مَلِكِ ٱلنَّاسِ ٢ إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ ٣ مِن شَرِّ ٱلْوَسْوَاسِ ٱلْخَنَّاسِ ٤ ٱلَّذِى يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ ٥ مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ

Maksudnya: “Katakanlah wahai Muhammad, “Aku berlindung dengan Tuhan manusia.” “Pemilik dan Raja manusia.” “Tuhan yang disembah manusia.” “Daripada kejahatan was-was bisikan syaitan.”“Syaitan yang mencampakkan bisikan was-wasnya dalam dada-dada manusia.” “Syaitan dalam  kalangan jin dan manusia.” (Surah al-Nas: 1-6).

Isnin, 17 Februari 2025

SUDAH JAUH TERLALU LAMA

 


Cubaan untuk menulis lirik lagu rasa buat sekian kalinya.
Jemputlah dengar apabila disiarkan nanti.

Ahad, 16 Februari 2025

HUKUM MENCURI DAN MEROSAKKAN ALAT MUZIK MENURUT MAZHAB AS-SYAFIEY

Akhirnya muncul juga kes dari senario sebenar tentang isu ini. Pengumuman ini melintas di dinding media sosial aku beberapa hari lalu. Sayu juga aku membacanya. Teringat juga masa aku menjual semua peralatan muzik apabila Faithcraft Studio gulung tikar. Ibuku paling bersedih kerana  teringatkan aku saban hari memekak di studio itu. Ada nostalgia di situ biarpun dialah yang paling terganggu ketika studio itu beroperasi dahulu.

Kita boleh lihat mana-mana sahaja di Malaysia rata-rata orang mengaku dia orang Islam yang bermazhab Syafi'ey. Uniknya dalam bab fiqh sahaja, bab akidah mereka tak mahu pula. Ilmu fiqh ini mudahnya tentang cerita 'doa qunut tak qunut', solat sebut 'usoli tak usoli', 'jual beli barang kena ada akad', hal-hal yang jadi polimek itulah.. Uniknya mazhab Syafi'ey di Malaysia ini cukup ligat buat upacara tahlilan arwah sedangkan fatwa Imam Syafi'ey menyelisih amalan tersebut.

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

“Tidaklah setiap manusia itu akan dibalas kecuali apa yang dia usahakan.” [An-Najm : 39]

"Pandangan masyhur mazhab Syafie menegaskan bahawa pahala bacaan Al-Quran tidak sampai kepada si mati, demikian turut dinukilkan daripada Imam Syafie sendiri." [Tafsir Ibnu Kathir, ayat al-Najm, 53:39]. 

Keduanya, hampir semua orang Malaysia yang kononnya bermazhab Syafi'ey mendengar, malah bermain muzik sedangkan Imam Syafi'ey mengharamkan muzik. Ini sesuatu yang sangat jelas;

"Dan telah diketahui - tanpa diragukan lagi bahawasanya Al-Imam As-Syafi'ey radhiallahu ‘anhu seluruh jenis alat muzik… dan tidaklah diharamkan perkara ini oleh kerana nama-namanya, akan tetapi kerana pada alat-alat muzik itu menghalangi dari mengingat Allah dan solat, serta pemisahan dari ketakwaan dan kecondongan kepada hawa nafsu serta tenggelam dalam kemaksiatan-kemaksiatan" (ibnu Hajar Al-Haitami rahimahullah,'an iqtiroofil kabaair: 2/907).

Berikut adalah fatwa Al-Imam As-Syafi’ey rahimahullah tentang hukum potong tangan bagi pencuri alat muzik-:

فَكُلُّ ما له ثَمَنٌ هَكَذَا يُقْطَعُ فيه إذَا بَلَغَ قِيمَتُهُ رُبُعَ دِينَارٍ مُصْحَفًا كان أو سَيْفًا أو غَيْرَهُ مِمَّا يَحِلُّ ثَمَنُهُ فَإِنْ سَرَقَ خَمْرًا أو خِنْزِيرًا لم يُقْطَعْ لِأَنَّ هذا حَرَامُ الثَّمَنِ وَلَا يُقْطَعُ في ثَمَنِ الطُّنْبُورِ وَلَا الْمِزْمَارِ

“Maka segala barang berharga yang menyebabkan dipotong tangan pencuri jika harga barang tersebut mencapai seperempat dinar. Barang tersebut baik mushaf (al-Qur’an) atau pedang atau yang lainnya yang hasil penjualannya halal. Jika dia mencuri arak atau babi maka tidaklah dipotong tangannya kerana hasil penjualan arak dan babi adalah haram. Dan juga tidak dipotong tangan pencuri jika mencuri tunbur (gitar/rebab) dan mizmar (seruling)” (Al-Umm 6/147).

Sangat jelas bagi Imam As-Syafi’ey hukum alat musik sama seperti hukum arak, keduanya haram, memilikinya dan hasil penjualannya, kerananya jika ada seseorang mencuri barang-barang haram ini maka tidaklah dipotong tangannya.

Imam As-Syafi’ey juga berkata (tentang hukum di antara orang-orang kafir ahli al-jizyah):

وَلَوْ كَسَرَ له طُنْبُورًا أو مِزْمَارًا أو كَبَرًا … وَإِنْ لم يَكُنْ يَصْلُحُ إلَّا لِلْمَلَاهِي فَلَا شَيْءَ عليه وَهَكَذَا لو كَسَرَهَا نَصْرَانِيٌّ لِمُسْلِمٍ أو نَصْرَانِيٌّ أو يَهُودِيٌّ أو مُسْتَأْمَنٌ أو كَسَرَهَا مُسْلِمٌ لِوَاحِدٍ من هَؤُلَاءِ أَبْطَلْت ذلك كُلَّهُ

“Kalau seandainya dia menghancurkan kecapi (gitar) atau seruling atau gendang maka…. jika benda-benda ini tidak boleh digunakan kecuali sebagai alat muzik maka tidak ada sesuatu yang harus dia ganti rugi. Dan demikian pula jika seorang Muslim yang merosakkan (gitar dan seruling) milik seorang Muslim atau yang merosakkannya adalah orang Kristian atau orang Yahudi atau orang kafir musta’man, atau orang Muslim yang lain telah merosakkan salah satu dari benda-benda tersebut maka aku anggap semuanya batil (tidak perlu diganti rugi-pen)”(Al-Umm 4/212).

Oleh kerana alat muzik dianggap tidak bernilai dalam konteks syarak kerana penggunaannya adalah haram, maka hukum hudud tidak dikenakan ke atas pencuri atau orang yang merosakkannya. Sebaliknya, hukuman ta’zir yang lebih ringan atau berbentuk denda boleh dikenakan oleh pemerintah.

Jumaat, 14 Februari 2025

HANG MENANGIS TAK APABILA MELIHAT KEPADA ANAK HANG?


Kami dari Perlis sudah bertekad, setiap tahun kami akan buat roadtrip ke KL untuk makan angin dan bertemu rakan-rakan lama. Dalam perjalanan roadtrip tahun ini, kami pun berkongsi cerita tentang keluarga masing-masing, tiba-tiba Chen bertanya "Hang menangis tak bila tengok kat anak hang?". Aku jawab, "Ya". Aku tak panjangkan kenapa, boleh jadi kami berdua pula menangis atas kereta jika dibahaskan masa itu. Chen menutup dengan berkata "Definitely worth crying for laaa."

Namun aku rasa hendak berkongsi di sini, setiap ibu bapa pasti pernah mengalami detik di mana hati mereka tiba-tiba sebak dan menitiskan air mata ketika melihat anak kecil mereka. Perasaan ini bukan sekadar emosi biasa, tetapi ia berakar daripada fitrah manusia, saat kita kenal inilah dia 'pure love', atau cinta yang paling tulus. Perasaan cinta itu bertambah, berkurang, hilang dan hadir. Tetapi saat menangis itulah kita dapat rasakan cinta yang paling agung, tercapai oleh naluri kita. Iya! Kita tahu ia hanya satu titis dari lautan cinta Allah yang jauh lebih agung tetapi kita tidak termampu menghitungnya. Dalam Islam, kasih sayang terhadap anak-anak dikaitkan dengan tanggungjawab, amanah, dan kenangan terhadap jasa ibu bapa sendiri. Salah satu ayat yang dapat dikaitkan dengan fenomena ini ialah firman Allah dalam Surah al-Isra: 24:


“Dan rendahkanlah sayapmu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: ‘Wahai Tuhanku! Sayangilah mereka sebagaimana mereka telah mendidikku semasa kecil.” (Surah Al-Isra: 24)

Ayat ini mengandungi tiga aspek utama yang boleh dikaitkan dengan perasaan sebak ketika melihat anak kecil: kenangan terhadap ibu bapa sendiri, rasa tanggungjawab terhadap amanah Allah, dan kasih sayang yang tulus dan suci.

Mengenang Jasa Ibu Bapa
Ketika melihat anak kecil, kita sering terbayang bagaimana suatu ketika dahulu kita juga berada dalam keadaan yang sama. Kita pernah menjadi bayi yang tidak berdaya, bergantung sepenuhnya kepada kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa kita. Melalui ayat ini Allah mengajar kita agar sentiasa menghormati dan berdoa untuk mereka, sebagaimana mereka telah menyayangi dan membesarkan kita dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Kesedaran ini boleh membuatkan kita sebak kerana kita menyedari betapa besar jasa mereka yang tidak mungkin dapat kita balas sepenuhnya. Bagaimanapun, dua hari lalu Dr. MAZA membahaskan, bagaimana jika doa ini (al-Isra': 24) diamalkan oleh seorang anak yang ibu atau bapanya melayan dirinya semasa kecil tanpa kasih sayang, bercakap dengan caci maki, berlebihan bila memukul? Awas, kita akan menuai apa yang kita semai...

Rasa Tanggungjawab dan Cinta Murni Sebagai Ibu Bapa
Anak-anak adalah amanah daripada Allah, dan melihat mereka dalam keadaan lemah serta memerlukan perlindungan sering kali mengingatkan kita kepada tanggungjawab besar yang dipikul. Namun, lebih daripada itu, ia membangkitkan perasaan cinta murni yang suci dan tidak bersyarat. Melihat wajah mereka yang polos, mendengar tawa mereka yang tulus, dan menyaksikan pertumbuhan mereka dari hari ke hari menghadirkan perasaan kasih sayang yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ini adalah cinta yang tidak mengharapkan balasan, tetapi lahir daripada fitrah semula jadi seorang ibu atau ayah. Ayat dalam Surah Al-Isra: 24 mengajar kita tentang kelembutan dalam mendidik, sama seperti ibu bapa kita dahulu bersikap lembut terhadap kita. Perasaan ingin menangis ini muncul kerana kita sedar bahawa suatu hari nanti mereka akan membesar, dan kita akan diuji sama ada kita telah mendidik mereka dengan sebaiknya atau tidak.

Keinsafan Terhadap Masa yang Berlalu
Melihat anak kecil juga sering kali mengingatkan kita tentang betapa cepatnya masa berlalu. Hari ini mereka masih kecil, tetapi dalam sekelip mata mereka akan membesar dan meninggalkan zaman kanak-kanak mereka. Sebagaimana kita dahulu membesar dan mungkin pernah mengabaikan jasa ibu bapa kita, kita juga takut jika suatu hari nanti anak-anak kita akan jauh daripada kita. Ini menjadikan kita lebih menghargai setiap detik bersama mereka dan mendorong kita untuk menjadi ibu bapa yang lebih penyayang serta bertanggungjawab. Perasaan sebak ini juga timbul kerana kita menyedari bahawa fasa ini tidak akan berulang, dan kita ingin memastikan bahawa kasih sayang serta perhatian yang diberikan cukup untuk membentuk mereka menjadi insan yang baik dan berakhlak mulia.

Guru kami selalu berpesan, jika kalian menangis kerana bahagia atau menangis kerana sengsara, cuba sentuh dan rasa air mata yang mengalir pipi... Kalian pasti akan takjub kerana ada bezanya!