Ahad, 16 Februari 2025

HUKUM MENCURI DAN MEROSAKKAN ALAT MUZIK MENURUT MAZHAB AS-SYAFIEY

Akhirnya muncul juga kes dari senario sebenar tentang isu ini. Pengumuman ini melintas di dinding media sosial aku beberapa hari lalu. Sayu juga aku membacanya. Teringat juga masa aku menjual semua peralatan muzik apabila Faithcraft Studio gulung tikar. Ibuku paling bersedih kerana  teringatkan aku saban hari memekak di studio itu. Ada nostalgia di situ biarpun dialah yang paling terganggu ketika studio itu beroperasi dahulu.

Kita boleh lihat mana-mana sahaja di Malaysia rata-rata orang mengaku dia orang Islam yang bermazhab Syafi'ey. Uniknya dalam bab fiqh sahaja, bab akidah mereka tak mahu pula. Ilmu fiqh ini mudahnya tentang cerita 'doa qunut tak qunut', solat sebut 'usoli tak usoli', 'jual beli barang kena ada akad', hal-hal yang jadi polimek itulah.. Uniknya mazhab Syafi'ey di Malaysia ini cukup ligat buat upacara tahlilan arwah sedangkan fatwa Imam Syafi'ey menyelisih amalan tersebut.

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

“Tidaklah setiap manusia itu akan dibalas kecuali apa yang dia usahakan.” [An-Najm : 39]

"Pandangan masyhur mazhab Syafie menegaskan bahawa pahala bacaan Al-Quran tidak sampai kepada si mati, demikian turut dinukilkan daripada Imam Syafie sendiri." [Tafsir Ibnu Kathir, ayat al-Najm, 53:39]. 

Keduanya, hampir semua orang Malaysia yang kononnya bermazhab Syafi'ey mendengar, malah bermain muzik sedangkan Imam Syafi'ey mengharamkan muzik. Ini sesuatu yang sangat jelas;

"Dan telah diketahui - tanpa diragukan lagi bahawasanya Al-Imam As-Syafi'ey radhiallahu ‘anhu seluruh jenis alat muzik… dan tidaklah diharamkan perkara ini oleh kerana nama-namanya, akan tetapi kerana pada alat-alat muzik itu menghalangi dari mengingat Allah dan solat, serta pemisahan dari ketakwaan dan kecondongan kepada hawa nafsu serta tenggelam dalam kemaksiatan-kemaksiatan" (ibnu Hajar Al-Haitami rahimahullah,'an iqtiroofil kabaair: 2/907).

Berikut adalah fatwa Al-Imam As-Syafi’ey rahimahullah tentang hukum potong tangan bagi pencuri alat muzik-:

فَكُلُّ ما له ثَمَنٌ هَكَذَا يُقْطَعُ فيه إذَا بَلَغَ قِيمَتُهُ رُبُعَ دِينَارٍ مُصْحَفًا كان أو سَيْفًا أو غَيْرَهُ مِمَّا يَحِلُّ ثَمَنُهُ فَإِنْ سَرَقَ خَمْرًا أو خِنْزِيرًا لم يُقْطَعْ لِأَنَّ هذا حَرَامُ الثَّمَنِ وَلَا يُقْطَعُ في ثَمَنِ الطُّنْبُورِ وَلَا الْمِزْمَارِ

“Maka segala barang berharga yang menyebabkan dipotong tangan pencuri jika harga barang tersebut mencapai seperempat dinar. Barang tersebut baik mushaf (al-Qur’an) atau pedang atau yang lainnya yang hasil penjualannya halal. Jika dia mencuri arak atau babi maka tidaklah dipotong tangannya kerana hasil penjualan arak dan babi adalah haram. Dan juga tidak dipotong tangan pencuri jika mencuri tunbur (gitar/rebab) dan mizmar (seruling)” (Al-Umm 6/147).

Sangat jelas bagi Imam As-Syafi’ey hukum alat musik sama seperti hukum arak, keduanya haram, memilikinya dan hasil penjualannya, kerananya jika ada seseorang mencuri barang-barang haram ini maka tidaklah dipotong tangannya.

Imam As-Syafi’ey juga berkata (tentang hukum di antara orang-orang kafir ahli al-jizyah):

وَلَوْ كَسَرَ له طُنْبُورًا أو مِزْمَارًا أو كَبَرًا … وَإِنْ لم يَكُنْ يَصْلُحُ إلَّا لِلْمَلَاهِي فَلَا شَيْءَ عليه وَهَكَذَا لو كَسَرَهَا نَصْرَانِيٌّ لِمُسْلِمٍ أو نَصْرَانِيٌّ أو يَهُودِيٌّ أو مُسْتَأْمَنٌ أو كَسَرَهَا مُسْلِمٌ لِوَاحِدٍ من هَؤُلَاءِ أَبْطَلْت ذلك كُلَّهُ

“Kalau seandainya dia menghancurkan kecapi (gitar) atau seruling atau gendang maka…. jika benda-benda ini tidak boleh digunakan kecuali sebagai alat muzik maka tidak ada sesuatu yang harus dia ganti rugi. Dan demikian pula jika seorang Muslim yang merosakkan (gitar dan seruling) milik seorang Muslim atau yang merosakkannya adalah orang Kristian atau orang Yahudi atau orang kafir musta’man, atau orang Muslim yang lain telah merosakkan salah satu dari benda-benda tersebut maka aku anggap semuanya batil (tidak perlu diganti rugi-pen)”(Al-Umm 4/212).

Oleh kerana alat muzik dianggap tidak bernilai dalam konteks syarak kerana penggunaannya adalah haram, maka hukum hudud tidak dikenakan ke atas pencuri atau orang yang merosakkannya. Sebaliknya, hukuman ta’zir yang lebih ringan atau berbentuk denda boleh dikenakan oleh pemerintah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan