Selasa, 6 Oktober 2009

LIGA LELAKI METAL DARI UTARA


Hari ini Azmi pulang ke kampung untuk menziarahi kubur arwah ibu dan ayahnya. Jadi kami sempat meluangkan masa untuk berbual-bual mengenai kehidupan dan muzik. Kami berjumpa di pasar ( atau panggilan orang perlis ‘market’) untuk makan nasi ganja yang menjadi kemestian jika berkunjung ke market. Ingat lagi zaman dahulu, ketika sekolah mahupun selepas berkerja. Tidak pernah aku makan nasi market ni, sebab harganya yang mahal dan ini merupakan tempat lepak bagi mereka yang berkerjaya. Jadi sekarang dah ada duit sikit, barulah berani datang makan sini setiap hari minggu.


Market ini bukanlah tempat berprestij pun, ianya lambakan gerai dibawah pokok dan terletak besebelahan sungai korok sahaja. Namun bagi kami orang-orang kampung tidak berduit ni, makan dekat market ini boleh dikatakan ‘sempoi’ habis lah. Kami menyokong perjuangan nasi kandar Jalal hari itu.

Azmi bersama anaknya di Faithcraft Studio

Keesokan malamnya tamat dari tugas, Azmi dan anaknya datang menziarahi Faithcraft. Seterusnya kami ke Taman Kemajuan untuk melantak char koeteaw ketam & udang. Menurut Azmi koteaw ini 15 kali lebih bagus dari char koeteaw NZ, Wangsa Maju yang kami makan dulu. Hari berikutnya kami ke market dan menyokong nasi ganja Jalal lagi. Hujan lebat yang turun merancakkan perbualan kami hari ini. Dari konfrontasi Indonesia hingga ke filem lakonan Al Pacino. Kami dikunjungi Pak Wan yang sering dinyatakan Azmi didalam temubual-temubualnya di dalam majalah muzik. Pak Wan datang memberikan cd rakaman lagunya kepada Azmi. Bagi Azmi, Pak Wan adalah seorang gutaris jazz lagenda dari Perlis dan merupakan antara individu paling penting di dalam perjalanan seni Blackfire. Setiap kali berbual, Azmi sering kali mengimbau jasa-jasa Pak Wan terhadap perjuangan Blackfire walaupun ternyata Blackfire dari arah yang bertentangan.
Antara cerita yang menarik pagi itu, Azmi bercerita bagaimana Pak Wan sering kali bertegang urat dengan jiran-jiran semata-mata untuk membenarkan Blackfire menjalani latihan di rumahnya. Betapa jiran-jiran mencemuh setiap kali melihat kehadiran Blackfire di rumah Pak Wan sudah pastinya aku amat maklum. Azmi turut mengimbau kenangan mencipta lagu-lagu Blackfire yang mana apabila terhasilnya lagu baru, Pak Wan lah orang pertama yang akan mendengar dan menilai lagu tersebut. Dan selalunya Pak Wan akan kritik dan tidak suka akan lagu tersebut. Akan tetapi jika setiap kali lagu tersebut dimainkan dan diperkemaskan susunannya. Sukalah juga Pak Wan akhirnya.

Azmi bersama godfather-nya Pak Wan

Satu cerita lagi yang timbul hari itu tentang Hadi yang begitu komited terhadap Blackfire sejak dari dahulu lagi. Diceritakan bagaimana Hadi ketika berehat dari satu sesi latihan di rumah Pak Wan, tidak bercakap sepatah pun. Manakala ahli yang lain sibuk bergurau senda, berbual-bual kosong. Tiba-tiba Hadi bersuara “ Jom main lain part ini..”, maka yang lain pun berhenti dari bersembang dan tergesa-gesa galas gitar & bass kembali untuk berlatih. Mereka tahu, Hadi tidak suka dengan perbualan luar dari muzik dan jika berlengah-lengah Hadi pasti radang. Aku tergelak dan amat arif dengan sikap Hadi setiap kali latihan. Beliau memang komited dengan muzik yang di minatinya. Tidak dinafikan beliau adalah satu karekter unik dalam Blackfire dan antara pemain dram terganas dizamannya.

Jika ingin mendengar alunan muzik old school jazz Pak Wan hubungi beliau untuk mendapatkan cd ini: 019-4546264

Kami beredar dari market dengan pergaduhan dengan awek pekerja kedai Jalal yang mengatakan kami tidak bayar lagi nasi ganja yang kami makan. Padahal kami dah bayar awal-awal sejak pilih lauk lagi. Siapa tidak marah jika dituduh makan tak bayar? Malu ooo...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan