Sebenarnya cetusan idea untuk inovasi ini terjadi semasa aku terkandas seorang diri di Immegresion Checkpoint Singapura beberapa bulan lalu. Hilang punca aku ke Masjid An Nur, di Terminal Bas Larkin untuk solat dan berehat sementara menanti rakan lama, En. Anthony menjemput aku.
Dalam masa yang sama, bateri telefon bimbit pula dah tenat. Pada fikiran aku mungkin boleh tumpang cas telefon buat beberapa minit sementara menantikan panggilan dari En. Anthony. Terlopong aku bila tengok papan tanda –ORANG AWAM DILARANG MENGUNAKAN POWER POINT MASJID INI. Aku toleh kiri dan kanan ada beberapa orang remaja mengunakan laptop. Aku perhatikan kabel elektrik tidak dihubungkan pada soketnya. Menghormati kehendak AJK masjid An Nur, ( kita faham tanggungan Masjid tersebut, jadi tiada masalah bagi aku dengan larangan tersebut) maka aku turun ke kedai alat komunikasi di kawasan bawah terminal Larkin. Aku mohon kedai tersebut untuk cas-kan telefon bimbit aku. Aku dikenakan RM3 bagi tempoh 1 jam untuk perkhidmatan tersebut. Aku memberitahu mereka, aku hanya perlu 30 minit disebabkan En. Anthony telah dalam perjalanan untuk menjemput aku. Namun pemilik kedai tersebut tetap berkeras mengenakan RM3 bagi tempoh tersebut.
Jadi dalam tempoh 30 minit tersebut, aku kembali ke surau dan termenung memikirkan RM3 itu adalah lebih baik aku sedekahkan pada masjid tersebut untuk menampung kos penyelenggaraannya. Aku lihat sekeliling, ada beberapa orang lain yang terkandas pengangkutan bas yang turut bermasalah seperti aku. Kita dapat rasa dari keluh resah wajah mereka disamping sering melihat skrin telefon bimbit dan mata yang meliar mencari soket-soket elektrik. Manakala begitu juga murung masam wajah kaki-kaki gajet yang lain, yang hidup mereka memerlukan akses internet dan laptop sentiasa. Pening kepala dibuatnya bila bateri laptop dah beri amaran!
Terlintas difikiran mengapa AJK masjid di tempat-tempat tumpuan musafir, dan pengunjung terkandas seperti ini tidak disediakan satu ruangan powerpoint yang mengunakan konsep vending machine. Seperti vending machine yang menjual air di tempat-tempat rekreasi atau mesin basuh di universiti-univerisiti, konsepnya tetap sama. Jika sebelum ini perkhidmatan yang diberikan adalah bergantung pada jenis mesin tersebut yang mengunakan kuasa elektrik. Mengapa tidak ditawarkan perkhidmatan memberi bekalan elektrik itu sendiri?
Buat sebuah peti selamat pada dinding masjid, hubungkan punca kuasa dengan coin box atau kini telah ada note box dan tetapkan jangka masanya mengunakan timer. Jangan biarkan jangka masa ditetapkan oleh pelanggan, sebaliknya tetapkan pelanggan hanya dapat mengunakan dalam tempoh sejam atau dua jam kemudian isi semula. Jika dibiarkan kebebasan tetapan masa oleh pelanggan dibimbangi akan disalahguna pula. Mungkin kadar RM2 sejam sudah cukup berbaloi dan praktikal.
Sebaiknya soket berada dibahagian luar masjid supaya pelanggan tidak menganggu jemaah. Sebaiknya disediakan sebuah bangku khas atau halaman khas. Disini aku lakarkan sedikit gambaran projek ini yang harapnya boleh direalisasikan oleh mana-mana masjid.
Aku namakan ia Soket Kuasa Barakah disebabkan mungkin dengan mengunakan perkhidmatan ini sumbangan kita mendapat berkat dalam menjana pendapatan masjid. Wallahualam…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan