Saya mempunyai seorang adik perempuan remaja, dan seperti kebanyakan remaja lain beliau semestinya mengikuti setiap perkembangan selebriti dan filem tempatan. Walaupun, saya tidak pernah merestui minatnya itu, saya sempat juga menonton beberapa dvd seram dan hantu yang dibelinya. Untuk mengkritik, adalah lebih baik kita lihat dahulu. Jangan hentam sahaja. Siasat dan kaji sedikit apa salahnya. Saya merupakan pengemar filem seram sejak tahun 80-an lagi. Sebagai metalhead dan pelukis, semestinya genre filem sebegini memberi inspirasi sedikit sebanyak dalam berkarya. Ini melayakkan saya untuk menyatakan kenapa filem seram Malaysia adalah najis;
PENGALAMAN
Tidak kira anda sebagai penulis skrip/jalan cerita, pengarah atau aktor, filem seram sebenarnya sebuah genre yang penuh emosi. Kalau kita lihat, di Malaysia filem ini diletakkan sebagai sebuah filem yang ringan. Jika penonton takut, sasaran berjaya! Itu sahaja. Ketakutan, trauma, penyesalan, kerisauan, itu bukan sesuatu yang boleh dizahirkan oleh semua aktor dengan sempurna. Saya berani cakap penulis filem seram tempatan hanya dipengaruhi oleh elemen syirik atau filem seram nusantara lain yang berjaya di skrin. Jika ada pun, pengaruh filem seram antarabangsa yang lain. Ia hanya tertumpu kepada yang popular sahaja. Mereka hanya terpengaruh dengan trend, dan gagal melalui perjalanan dunia filem seram. Filem mereka tidak mampu meninggalkan kesan dan mempengaruhi yang lain. Mereka sekadar followers not leaders.
ILMU
Ini fokus kepada penulisan dan pengarahan filem seram yang dilakukan seorang muslim. Apa ni? Berapa banyak fatwa, berapa banyak ustaz, mufti yang diperlukan untuk menegur akidah mereka ini? Jika dilihat hampir semua filem tempatan hingga lah yang terkini Sumpahan Kum Kum (saya tonton semalam), memaparkan roh si mati kembali dan membalas dendam. Sebagai seorang muslim, tidakkah anda faham-faham bahawa roh si mati telah kembali kepada Zat Yang Maha Kuasa, tidakkah anda beriman bahawa si mati telah ditempatkan di alam Barzakh dan menerima nikmat atau azab kubur sementara menanti datangnya Kiamat? Apa yang kembali menghantui adalah Qarin, syaitan yang mendampinginya sejak lahirnya seorang manusia itu dan meminjam identitinya setelah pemergiannya.
Mengapa kita dengan mudah dipengaruhi oleh fahaman bukan Islam, dalam masa yang sama menyebarkan perkara syirik dan khurafat tersebut? Apakah Tuhan tidak berkuasa lagi untuk menyekat roh manusia untuk kembali ke dunia, malah boleh membalas dendam untuk dirinya? Apa gunanya Hari kiamat sebagai hari pembalasan jika kita sendiri boleh bangun membalas perbuatan buruk jika sudah meninggal dunia? Apakah dengan menuntut ilmu hitam seseorang boleh menuntut kebenaran di atas sebarang pengainayaan yang telah diterimanya semasa hidup?
Ini semua kerja syaitan. Jika syaitan sebelum ini, muncul dikampung-kampung menyerupai si mati agar seluruh kampung menganggap si mati datang semula dari kubur atau memfitnahnya dengan berbagai-bagai sangkaan sehingga rosak akidah seluruh kampung. Kini kerja itu telah diambil alih oleh penerbit filem. Insya Allah, David Teo tidak tanggung dosa itu sebab dia tidak faham.
Jadi kalau benar roh kembali itu mengarut, tetapi kenapa orang ramai tidak marah pun? Orang tak cakap apa pun? Sebabnya, ia ditudung pula dengan plot-plot adanya seorang ustaz, kiyai, imam akan datang baca ayat-ayat suci bagi membenarkan kefahaman tersebut di dalam filem itu. Jadi anda terperdaya, sebab anda jahil dan anda menutup sendiri mata dan telinga anda, apabila ada keterangan dan kuliah-kuliah mengenai perkara ghaib.
Saya pernah terbaca Ibnu Qayyum berkata roh si mati boleh berhubung dengan mereka yang masih hidup melalui mimpi. Tetapi tiada hadis dari nabi atau nas yang menyokong pendapat beliau itu.
Perkara ini mungkin remeh sebab ia bukan penentu untuk melariskan filem kerana ia memainkan peranan memperbetulkan akidah sejagat melalui filem seram. Oleh itu, saya memuji sedikit bahagian dalam filem Khurafat arahan Shamsul walaupun idea-idea beliau tidak tulen, dia sekadar memantapkan lagi idea tersebut. Saya pernah menonton drama Melayu sedemikian rupa berbelas tahun yang lalu.
MAKE-UP DAN COSTUME
Ini gagal. Dan sentiasa gagal. Saya menonton Karak, saya tersenyum melihat hantu mereka seperti raksasa dalam siri Power Rangers. Itu termasuk kesan-kesan CGI yang dibuat di studio canggih milik KRU katanya. Ia memang seperti Power Rangers. Bagi saya ini adalah bahagian yang paling serius untuk filem seram. Biar ia memakan masa, menelan belanja, asalkan hantunya menjadi hantu. Itu yang penting. Kalau kita rujuk filem George Romero pun, jalan cerita Romero bukan hebat pun! Merapu habis. Tetapi bila kita lihat zombie beliau, cara acting, make-up memang hebat. Kaedah pembunuhan paling berdarah dan ngeri akan beliau skrinkan. Tetapi kita memang pandai meniru ini semua, akar pokok menjalar membelit mangsa ( Evil Dead dah buat 30 tahun lalu), hantu terbang hulur kaki dahulu ( cara Iblis datang dalam Constantin dulu), mayat berlumuran darah dalam beg mayat atau cacing keluar dari mulut ( alah, Nighmare On Elm’s Street 30 tahun dulu jugak), hantu pakai putih bersih, rambut cantik dan merangkak (alah, Ju-on), …hahaha! Macam-macam lagi la yang membuatkan kita tersenyum. Bukan seram!
Sam Raimi jalan cerita original. Dario Angento, lagi la tersangat original. Romero, raksasa original. Stephen King, terlampau kreatif, Clive Barker kreatif luar tabii – visi terhadap syaithan terlalu ekstrim. Anne Rice – pandai campur seram dan romantis, Tarantino – raksasa tiruan tetapi jalan cerita genius. Kita? Buntu…..
SUNTINGAN FILEM
Mengapa filem seram kita sentiasa cerah? Tengoklah filem apa pun, lari dari hantu dalam hutan belentara Grik, cerah bagai nak rak! Tu tengah malam tu!, Tengah malam di kubur, dibelakang rumah, addooiii!!!! Cerahnya.. dari mana entah datangnya spotlight tu? Sebab apa masih guna lighting macam filem seram 80-an ni?! Kenapa ini tidak dirujuk filem seram barat pula? Cuba rujuk filem apa-apa laa.. Friday The 13th remake, The Reaping, Planet Terror, ..tak pun filem-filem Tim Burton yang bukan seram pun boleh dibuat dalam gelap untuk menerapkan unsur gothic. Sebagai contoh filem Batman. Lighting harus ada. Apa salahnya edit semula untuk dapatkan mood suram dan kesunyian itu.
Mengapa kita perlu dub suara hingga kini? Adakah itu keperluan semua filem? Kalau benar kenapa filem Hollywood tidak jadi sedemikian? Cuba tengok Skop Productions punya filem, memang terkenal dengan suara-suara pelakon yang macam sketsa dalam radio zaman dahulu. Geli aaaa dengar!!! Adoi!
REALITI
Tiada penekanan dalam unsur realiti. Seperti yang saya bahaskan di atas, setiap kawasan terang benderang walaupun tengah malam. Kalau cerita Melayu, mesti ada plot mengamuk hendak selamatkan seseorang, lepas tu tertinggal pula yang seorang lagi. Lepas tu, yang ada peluang hendak selamatkan diri mesti panik yang dibuat-buat. Geli!..geli ooi!
Kalau rumah berhantu mesti rumah kampung yang cantik macam chalet. Kalau bunian mesti pakai pakaian tradisional. Kalau nenek mesti Ruminah Sidek? Hehehe. Realitinya semua rumah cantik atau tidak, berpenunggu. Jin hakikatnya lebih berteknologi dan bertamadun berjuta tahun melebihi manusia. Kita pun dah moden dan boleh naik kapal terbang ke mana-mana, inikan pula jin yang tersedia bergerak pantas. Pastu kita hairan lagi dengan UFO?
TARIKAN SEKS
Ini memang kita tahu menilainya. Jika yang ini, penerbit kita mahu ada Paris Hilton, Kate Beckinsale, Milla Jovovich, Salma Hayek, versi Malaysia. Negara paling teruk mengeksploitasi bab ini didalam industri filem seram adalah Indonesia. Kelak mungkin Malaysia akan turut serta disebabkan ketandusan karya yang benar-benar kreatif. Mereka tahu payudara dan pinggul aktres-aktres ini pasti memantapkan jualan-jualan tiket dan dvd filem seram acuan nusantara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan