Selasa, 9 April 2013

MUALAF DAN MUKALLAF

Ustaz Hashim Othman al-Hafiz mengajar syahadah kepada seorang saudara baru

Pada pagi yang dingin dan damai ini, terasa ingin pula bercerita tentang bagaimana prosedur menjadi muslim cara ‘Malaysia’. Jika beberapa tahun dahulu, aku hanya mendengar cerita-cerita dari Bro Shah Kirit. Kini aku sendiri laluinya dan siapa aku yang berhak bercakap? Bukankah kita semua dipertanggungjawabkan untuk berdakwah dan setelah 3 orang, 3 bangsa telah aku bawa utk berurusan dengan Jabatan Agama Islam. Biar aku kongsikan pengalaman.

Bagaimana perspeksi pertama kebiasaan orang kita, (tok imam kampung ka, pegawai kerajaan ka, doktor ka hampir sama aja pemahaman mereka) bila ada seseorang menyuarakan hajat untuk kembali (revert) kepada Islam?

- Selalu orang Melayu akan kata convert? Masuk Islam. Padahal dari semua kita tahu, semua manusia lahir sebagai Muslim, kemudian dicorakkan oleh keluarga masing-masing. Beruntunglah kita dilahirkan dengan hadiah hidayah. Jadi bagi saudara baru, mereka kembali ke fitrah manusia. Dan fitrah manusia, dilahirkan muslim.

- Orang Melayu akan pertikaikan ‘keikhlasan’ walaupun nabi sendiri tidak pernah pertikaikan ikhlas sesiapa pun yang kembali pada Islam. Kisah yang sering kita jumpa dalam kitab-kitab tauhid ;- Rasullulah SAW pernah mengarahkan para sahabat membebaskan seorang tawanan perang yang telah membunuh banyak tentera muslim setelah melafazkan syahadah takala kepalanya hampir dipenggal. Para sahabat menafikan keikhlasannya dan mengatakan orang itu hanya takut dibunuh. Namun, nabi menegur para sahabat akan hal keikhlasan tidak dapat siapa pun mengetahuinya kecuali Allah.

- Menghukum. Orang Melayu suka menghukum ke atas dosa orang lain. Sebagai contoh, apa yang aku sendiri kena ‘ Abang tengok apa jadi kat A*****w, dia tak mau posa, dia tak mau solat, dia tak mau pi kuliah. Nanti abang dosa besar’. Ok, jawapan aku. “ Mana fatwa atau hukum dalam Quran atau hadis yang mengatakan aku dosa besar jika berdakwah tetapi kalau mualaf itu berbuat dosa, maka aku pun turut tanggung dosa? Malah dosa besar? Aku bukan pemberi hidayah pun? Malah aku sendiri pun mendapat hidayah, dan mungkin Allah akan trak kembali. Aku mohon perlindungan dan rahmat Nya. Jadi mengapa aku perlu tanggung dosa yang orang lain buat? Aku memang berkerja di lapangan sosial, bila seseorang itu mengaku beriman, semua keinginan, laluan utk belajar telah aku usaha untuk berikan, belajar di PERKIM, kemudahan ke kuliah, buku-buku, rujukan kepada ustaz, tetapi bila dia sendiri tidak mahu akan semua itu. Dia mungkin jadi munafik, jadi fasik. Aku kah yang berdosa? Berapa ramai lagi orang Melayu yang mengaku diri Islam, tidak pernah solat, tidak puasa, minum arak dan sebagainya. Mengapa mereka lebih mulia dari saudara baru ini? Dan mengapa si mualaf A******w yang mungkar tetapi turut dihukum saudara baru ini yang belum kenal apa pun lagi?

- Orang melayu suka mengajar fardu ain. Bila seseorang ingin menjadi muslim. Mereka akan mula mengajar hal-hal yang meresahkan, merungsingkan, dan merumitkan. Padahal, dakwah yang utama kepada saudara baru adalah pengenalan kepada siapa itu Tuhan. Tauhid. Kenalkan dia kepada Allah. Bila sudah beriman, mudahlah beliau untuk menerima perkara-perkara lain. Sikap orang Melayu sebenarnya olahan dari sepanduk-sepanduk di luar masjid kampung-kampung kita “kalimah Allah milik orang Melayu”. Dok gitu? Hahahaha!

- Orang Melayu kurang senang dengan budaya masyarakat lain. Oleh itu apabila bangsa lain kembali pada Islam, mereka berharap orang itu akan solat dengan baju Melayu dan memakai songkok. Biarlah nama saudara itu ditukar menjadi Melayu, di-bin-kan dengan Abdullah. Walaupun dalam Islam, biarlah nama apa pun, dalam bahasa apa pun adalah tidak salah jika membawa makna yang baik. Orang Melayu percaya, budaya mereka sahaja yang terbaik. Budaya orang lain kelas kedua. Mengapa ditukar nama bapa seseorang itu? Padahal orang Melayu pantang sangat jika orang tidak menghormati ibu bapa mereka?!

Itulah antara situasi yang sering dilalui oleh saudara baru kita yang keadaan mereka dirumitkan oleh kita sendiri. Bagi mereka yang ingin mengetahui kaedah bila ada seseorang ingin kembali pada Islam, segerakan hajat mereka. Ajarkan syahadah dan ertinya. Saya sendiri pernah melihat seorang saudara baru telah mendapat hidayah dan menyampaikan hajatnya, pegawai yang ditugaskan untuk menguruskan hal ini membawa beliau 5 hari kemudiannya kerana lebih mementingkan hal-hal yang lain. Saudara ini dibiarkan tanpa syahadah, tanpa sebarang dokumen dari tempoh itu dan terkapai-kapai dengan akidahnya. Sedihkan?

Mengajar syahadah dan ertinya, tidak perlu dilakukan oleh seorang mufti.

Biarlah bila dibawa ke pejabat Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, beliau diajarkan syahadah sekali lagi. Bahkan kita sendiri perlu melafazkan syahadah berkali-kali setiap hari untuk memperbaharui iman kita yang entah telah terbatal akibat perkara syirik yang kita lakukan!

Jika di Perlis, seorang saudara baru perlu membawa 8 keping gambar berukuran passport, kad pengenalan, dan cadangan nama Islam (jika perlu) dan KINI tiada lagi bantahan dari Pejabat Agama Islam untuk mengunakan nama bapa sendiri. Sebelum ini semua di-bin-kan kepada Abdullah tanpa sebab musabab. Ia sekadar kebiasaan di nusantara ini.

Kemudian, akuan masuk Islam akan dikeluarkan, manakala kad pengenalan Islam akan diberikan dalam tempoh sebulan ( ini rungutan yang utama! Setelah mendapat penjelasan, pihak pejabat Agama Islam memaklumkan kad ini lambat untuk diperolehi kerana ia akan dikumpulkan dalam jumlah yang tertentu kemudian akan dibawa ke kedai untuk di-laminate. Barulah ia diedarkan kepada pemiliknya. Persolannya; disebabkan kad tersebut, urusan permohonan My Kad saudara baru ini tertangguh kerana syarat untuk menukarkan My Kad baru perlu dikemukakan kad pengenalan Islam itu!. Dan mengapa Pejabat Agama Islam yang canggih itu tiada mesin laminating sendiri?)

Sebagai makluman, satu kes sejak dari bulan Oktober tahun lalu hingga kini belum menerima kad pengenalan Islam beliau? Jadi mana tempoh sebulannya? Maka My Kad beliau pun kekal dengan nama dan agama asalnya hingga kini.

Seterusnya. Pejabat Agama Islam akan terus mendaftarkan beliau kepada PERKIM untuk kelas dan program dakwah dan islah. Dan Alhamdulillah, di Perlis, pihak Baitulmal memberi wang zakat bantuan kepada saudara baru sebanyak RM3K, jumlah paling tinggi diberikan di Malaysia.

Seterusnya, jika mendapat kad pengenalan Islam beliau boleh dibawa ke mahkamah untuk dibuat akaun menukar agama, dikenakan bayaran dokumen akuan sebanyak RM4. Dan terus ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk memohon My Kad baru.

Semoga penambahbaikkan dapat dilaksanakan dalam segala hal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan