Apabila gunung berapi Sinabung meletus dan memakan korbannya saya jadi runsing tetapi semangat mengembara sedikit sebanyak turut menyala. Mana tidaknya, jika sebelum ini hanya membaca Kota Medan kurang tarikan dari segi membeli-belah dan tempat menarik. Sekurang-kurangnya boleh mengalami panic, cemas dan rimas yang menghantui peduduk Sumatera Utara ini pun sesuatu yang bermakna buat saya. Sehingga hari ini, pihak berkuasa Indonesia meningkatkan status 19 lagi gunung berapi di negara itu ke tahap berjaga-jaga. Indonesia adalah di antara negara PALING AKTIF mengalami gegaran gempa di dunia kerana terletak di lingkaran gunung berapi Pasifik selain gegaran muzik metal mereka!
Pada awal Februari lalu, 16 orang terbunuh selepas terkena kepulan asap, debu serta gas yang dihamburkan gunung berapi Sinabung. Manakala sebelum itu, 31 orang penduduk mati akibat pelbagai penyakit seperti kemurungan, asma, hipertensi yang berkait dengan aktiviti gunung berapi tersebut.
Manakala seperkara yang menarik lagi berlaku di Medan akhir ini tentang kebangkitan warga Kota Medan menentang dan bertindak balas atas penyelewengan ajaran tarekat Summaniyah yang telah lama bertapak di sana. Ratusan orang ramai, termasuk anggota Laskar Mujahidin dan Forum Umat Islam serta Polis menyerbu maskas Ihya Ulumuddin yang dikesan menyebar doktrin sesat.
Penolakan warga juga berdasarkan pada fatwa MUI Sumatera Utara dan rasa terganggu oleh aktiviti peribadahan tarekat yang dianggap aneh serta menyimpang dari Islam. 11 orang murid pengajian tarekat Summaniyah telah membuat laporan polis mengenai penganiayaan terhadap mereka. Ada yang diperkosa dan dipaksa MINUM SPERMA!
Ringkasan mengenai tarekat Summaniyah,
Berpusat di Medan sejak tahun 1976 dipimpin Syekh Tuanku Muda Ahmad Arifin. Aliran ini merupakan pecahan dari tarekat Sidzliyah yang berasal dari Bonjol Sumatera Barat serta turut aktif di Padang, Palembang dan Surabaya.
Pengasas Tarekat Sammaniyah adalah Syaikh Muhammad bin Abdul Karim As-Samani Al-Hasani Al-Madani (1718-1775 M). Mempunyai jaringan yang besar sehingga ke Afrika Utara, Mesir dan terutamanya di Sudan. Mengikut sejarah perkembangan tarekat ini di Indonesia bermula aktif melalui Syeikh Hj. Ibrahim bin Abdullah. Dilahirkan pada tahun 1920-an di Padang dan menetap di Medan. Beliau lebih dikenali sebagai Ibrahim bin Bonjol dan meninggal dunia pada tahun 1991. Ibrahim Bonjol adalah seorang anggota Partai Komunis Indonesia, mempunyai anak perempuan bernama Azizah Hanum yang berkahwin dengan Syed Muhamad bin Syed Jaafar di Kampung Jeram Perdah, Pasir Mas, KELANTAN!
Ajaran tarekat Summaniyah telah difatwakan sesat dan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Malaysia pada tahun 1998. Baca disini >>>
HORAS! (lafaz popular disini yang tidak mempunyai sebarang makna khusus, ia boleh diertikan sebagai tanda syukur dan gembira). Saya sebenarnya menempah tiket penerbangan Firefly beberapa bulan lalu secara main-main kerana harganya agak murah RM160 (pergi-balik). Akhirnya berjaya juga saya menjejakkan kaki ke tanah Sumatera Utara ini.
Penerbangan dari Penang ke Kuala Namu International Airport ini hanya mengambil masa 45 minit. Dan saya sebenarnya telah celaru kerana membaca travelog-travelog yang out-dated ketika tiba di sini. Rupanya Bandara (lapangan terbang) Polonia yang bertempat di kawasan bandar telah ditutup. Bandara Kuala Namu ini baru beroperasi sekitar 7 bulan lalu dan masih belum dirasmikan. Jadi apa yang saya baca sebelum ini mengenai lapangan terbang di Medan yang sangat daif sekali seperti sebuah stesen bas dan berhampiran stesen minyak Petronas telah meleset sama sekali.
Tiada stesen Petronas, tiada beca motor, hanya teksi Blue Bird dan teksi sapu (Kijang Avanza) yang menjadi pengangkutan utama di sini. Bandara Kuala Namu adalah secanggih Penang International Airport, Cuma beberapa bahagian sahaja masih belum beroperasi. Setelah membeli kartu (sim card tempatan, SIMPATI) saya mengambil teksi sapu, saya mahu mendapatkan perkhidmatan Blue Bird tetapi setelah pak supir teksi sapu merayu dan merayu, kerana kasihan dan suka dengan sikap ramahnya. Saya ikut sahaja setelah setuju dengan rundingan RP120 000 (RM33) untuk ke Terminal Amplas. Pak supir ramah orangnya kami berbual semuanya mengenai tarekat Sumaniyah, mahzab Shafi’iy, politik, keluarganya, dan ternyata jauh juga perjalanan kami untuk ke terminal bas Amplas yang memakan masa kira kira 1 jam 30 minit. Sampai sahaja di Terminal Amplas, sebuah terminal bas domestik tidak berbumbung ( persis stesen bas Sungai Petani) pak supir sekali lagi menawarkan kepada saya untuk membawa saya ke Parapat dengan harga RP600 000 (RM166). Saya tolak kerana saya pengembara berbudget rendah. Jadi saya pilih bas Sejahtera ini, pak supir baik juga orangnya, dia membawa saya hingga ke pintu bas, membantu membeli tiket dan akhirnya meminta saguhati RP100 000 lagi. Saya hanya tersenyum dan mengelengkan kepala sambil menghulurkan sebagai sedekah. Waktu yang sama juga penjaja-penjaja menyerbu untuk menjual segala macam ‘junk food’. Saya tolak dengan baik.
Kondisi bas Sejahtera sangat uzur, rasanya tiada lagi bas sedemikian masih boleh berkhidmat di Malaysia. Tiada penghawa dingin, tingkapnya mati, hanya terdapat lubang udara di atas tingkap, kerusinya kaku, penumpangnya bebas menghisap rokok tidak kira masa, boleh meludah dalam bas, makan nasi, menyanyi dan menjaja. Kami bergerak dari Amplas ke Parapat melalui beberapa pekan dari jam 1.30 petang dan tiba di pekan Parapat jam 6.30 petang. Perjalanan yang sangat panjang dan menyeksakan. Jika anda mengembara bersama keluarga atau wanita yang kurang lasak. Anda tidak wajar naik bas Sejahtera walaupun tambangnya hanya RP32 000 seorang (RM8.80)!
Perjalanan 5 jam ini melalui beberapa pekan kecil dan jalan raya yang kecil. Benarlah apa yang sering dibaca dalam blog, pemandu-pemandu di sini mempunyai satu obsesi terhadap hon kenderaan. Saya tidak tahu berapa puluh ribu kali pemandu bas membunyikan hon sehingga sampai ke destinasi kami. Jumpa apa sahaja, cewek, beca motor, cowok, kereta, anjing, lembu, apa sahaja.. pasti dibunyikan hon! Tetapi anda pasti hairan mereka tidak pula naik angin?!
Sepanjang perjalanan kami dari Amplas, rasanya hanya satu lampu isyarat yang saya lalui. Bayangkan perjalanan seumpama dari Perlis ke Ipoh tanpa menempuhi lampu isyarat! Saya melalui pekan seperti Lubuk Pakam, terus saya teringat sebuah band dari Johor, Malaysia DEMORFORESSUS yang turut membuat persembahan di gig Metal tempatan berjudul HISTORY OF LUBUK PAKAM pada 10 Februari lalu. Jika saya tahu awal, pasti saya akan datang pada tarikh tersebut. Dapat juga beri sokongan pada kumpulan muzik dari Malaysia. Ya tak? Seterusnya kami melalui Kota Tebing Tinggi (jangan ingat di Perlis aja ada Tebing Tingga noh!), yang uniknya di sepanjang jalan Kota Tebing Tinggi ini, setiap 20 meter ada gerai jual lemang. Lemang Anda, Lemang Asli, Lemang Kita, Lemang Aya, Lemang Famili, Lemang Best, macam-macam lemang! Dan yang paling mengejutkan, tengah saya leka melihat gerai-gerai lemang. Tiba-tiba aja muncul penjaja lemang di dalam bas!! Padahal bas tengah bergerak laju! Bagaimana dia masuk?! Ngeri. Seterusnya saya melalui Kota Permatangsiantra, dan setiap kota pasti ada orang naik turun dan ada penjaja yang akan naik jual sate, bihun goreng, mee goreng, air mineral dan tisu.
Bila mula memasuki kawasan Pondok Bulu (Pondok Buluh), barulah cuacanya kembali sedikit nyaman kerana mula memasuki kawasan tanah tinggi dan hutan pokok pine. Kadang-kadang ternampak penduduk-penduduk Batak keluar dari celah-celah pokok dengan mengalas guni hasil hutan. Budak-budak sekolah katolik juga baru tamat waktu sekolah dan menaiki bas, kebanyakan mereka turut membawa barang-barang dapur. Kasihan saya melihat seorang murid perempuan yang dimarahi konduktor bas kerana plastik begnya yang bocor dan menumpahkan air ikan dilantai bas. Kenapa penumpang lain yang merokok dan meludah dalam bas tidak ditengkingnya?
Jalan Pondok Buluh adalah yang terindah dan terngeri penah saya lalui. Ia sebuah jalan lereng bukit yang sempit dan sangat hampir dengan jurang gunung yang sangat tinggi dan bawahnya adalah Danao Toba. Takjub saya dengan pemandangan yang sangat indah seperti lukisan. Ia pasti selamanya akan terpahat dalam jiwa saya! Dan kengerian cara pemanduan bas pula membuatkan jantung saya seolah-olah telah berhenti. Dilereng-lereng curam itu juga dipenuhi rumah-rumah makan (gerai makan) yang saya sangat menarik tetapi semuanya tidak halal. Begitu juga gereja-gereja yang cantik binaannya banyak terdapat di sini.
Bas menurunkan saya dalam pekan Parapat, saya menyusuri lorongnya ke perlabuhan Tigaraja. Sampai sahaja di jeti Tigaraja saya disapa oleh seorang lelaki yang mendakwa beliau agen hotel di Pulau Samosir. Saya tersilap kali ini kerana tidak menyelidiki sebarang nama hotel untuk dibahankan. Oleh itu, saya yang dibahankan oleh beliau, beliau mendakwa saya akan tiba gelap di Tuk-Tuk (kawasan hotel dan resort hanya di Tuk-Tuk) jadi saya pasti akan mengalami kesukaran untuk mencari hotel nanti. Dan beliau menambah, jika saya tempah terus darinya. Lebih mudah. Kerana setiap hotel yang agak mewah mempunyai jetinya sendiri. feri ini akan terus menghantar anda ke hotel yang anda tempah. Wow!
Termakan dengan kata-kata manis tersebut. Saya menempah Samosir Villa Resort yang didakwanya resort paling hebat di situ dengan harga RP500,000 (RM138) untuk satu malam, saya tahu dari travelog backpackers , mereka mencadangkan supaya menginap di hotel paling bagus di Tuk-Tuk kerana sewanya murah (sekitar RP150000-300000) dan secanggih mana pun hotel di Tuk-Tuk, mereka tidak mempunyai penghawa dingin, mahupun kipas angin! Saya tahu lelaki tadi telah mengambil tips sebanyak RP200000 (RM50) hanya atas angin. Brengset!
Sempat berbual-bual dengan pelancong dari Perancis, mereka tidak termakan pujuk rayu lelaki tersebut dan mengetahui kewujudan Danao Toba melalui internet. Saya kagum dengan pelancong Perancis ini yang mengutip sampah-sampah di atas feri disamping tidak lokek menderma wang kepada kanak-kanak Batak yang membuat persembahan menyanyi dan aksi akrobatik di tasik. Penat pelayaran kami selama 40 minit dan kemarahan kepada agen hotel tadi terus hilang serta merta apabila melihat Samosir Villa Resort yang sangat mempersonakan. Semua pelancong yang menempah hotel lain seperti cemburu dan rasa menyesal kerana tidak memilih resort ini. Seni bina yang exotic, gazebo-gazebo yang cantik, bar dan café yang hebat, beberapa kolam renang, lanskap yang menghijau dan kakitangan yang peramah. Saya sering berurusan dengan Mister Padi ( like a rock singer, kata saya!).
Setelah check in, mandi, saya rehat sebentar dan termenung. Bagaimanalah nak tidur? Bahang panas dan perit perjalanan 3 jenis kenderaan udara-darat-air tadi pun belum hilang. Saya ke kaunter reception dan menyewa motorsikal dari Mister Padi. Oleh kerana telah jam 9.30 malam dan esok saya akan menyewanya lagi hingga ke tengahari. Ia dikira sehari, maka sewanya RP100000 (RM27). Anda boleh juga menyewa basikal jika mahu.
Saya keluar mencari rumah makan halal yang terletak berhampiran Samosir Villa, saya terlupa namanya. Tetapi terdapat perkataan Islam pada nama rumah makannya. Nasi ayam penyet sejuk, pasti lauk pagi tadi. Tetapi kopi panas nya enak sekali. Dari segi kebersihan memang sangat kurang sekali, tetapi apa boleh buat inilah satu-satunya rumah makan halal yang dapat saya jumpa malam ini. Saya ke kedai runcit dan cuba mendapatkan roti buku kerana saya ada membawa tuna dan beberapa jenis jem dari Malaysia. Tetapi gagal. Potato chip dan air Nescafe juga akhirnya. Di Parapat juga tiada roti buku. Terdapat pondok dan hut Swiss Bakery, German Bakery disini. Tetapi saya was-was.
Seorang pemandu pelancong berbangsa Cina menasihati saya, di Pulau Samosir penduduk Bataknya beragama Kristian dan gemar makan babi. Jadi kamu pasti susah untuk mencari makanan halal. Saya hanya tersenyum.
Horas! Jom ambil tahu sikit fasal masyarakat Batak. Menurut sejarah silamnya sebelum kedatangan Belanda, semua etnik di Sumatera utara mengakui dirinya Batak. Pihak kolonial inilah yang memisahkan mereka kepada kelompok-kelompok agar mengoyahkan perpaduan bangsa ini. Ada mitos mengatakan nenek moyang orang Batak berasal dari Samosir. Marco Polo pernah sampai di pesisiran Sumatera Utara pada tahun 1292 dan melaporkan masyarakat Batak sebagai orang-orang ‘liar’ dan tidak pernah terpengaruh oleh agama-agama dari luar. Marco Polo juga menceritakan dengan terperinci mengenai adanya masyarakat pedalaman yang digelar ‘pemakan manusia’ meskipun beliau sendiri tidak pernah pergi ke pedalaman atau melihat sendiri ritual tersebut.
Niccolò Da Conti (1414-1439) menyebut tentang penduduk Batak ‘ Dalam bahagian pulau, disebut Batech pemakan manusia hidup berperang berterusan dengan tetangga mereka’. Manakala Thomas Stamford Raffles pada 1820 menceritakan ‘suatu hal yang biasa dimana orang-orang memakan orang tua mereka kerana terlalu tua untuk bekerja, dan untuk kejahatan tertentu pesalah akan dimakan hidup-hidup… daging dimakan mentah atau dipanggang dengan kapur, garam dan sedikit nasi’. Oscar von Kessel pada tahun 1844 adalah orang Eropah pertama yang menyaksikan ritual kanibal Batak ini dimana seorang penzina telah dihukum dan dimakan hidup-hidup. Dilaporkan juga, garam, cabai merah, limau harus diserahkan kepada keluarga korban sebagai tanda mereka redha dengan keputusan masyarakat dan tidak menyimpan dendam.
Pemerintahan kolonial Belanda telah melarang kanibalism pada 1890 dan ia semakin pupus apabila pengaruh agama pendatang mula menyerap dalam masyarakat Batak.
Pendakwah Kristian atau missionary pertama tiba di Danao Toba pada 1861 iaitu sebuah misi dari Jerman yang diketuai oleh Dr. Ludwig Ingwer Nommnsen. Mubaligh Kristian berjaya menjadikan Kristian sebagai identiti orang Batak dan penentangan gerilla juga tamat pada 1907 setelah pemimpin hebat Batak, Sisingamangaraja XII mangkat. Manakala masyarakat Kristian Protestan Batak dilihat lebih cemerlang dari segi pertanian, ekonomi, perubatan dan sosial.
Masyarakat Batak sering dipandang rendah oleh etnik-etnik lain, yang selalunya dikaitkan dengan perbezaan agama. Banyak diantara mereka malu digelar Batak, dan perpecahan mereka boleh dilihat ketara di Kota Medan. Dikatakan agenda pemerintah Hindia-Belanda memecahkan mereka supaya mengasingkan Batak Kristian yang berada di antara Kesultanan Acheh dan Kerajaan Minangkabau yang menyulitkan keadaan ini. Tindakan Belanda yang mengazetkan Bataklanden yang melarang penduduk Muslim bermukim diwilayah tersebut juga menjadikan keterasingan mereka semakin jelas.
Menariknya, Ibnu Battuta pernah sampai ke Sumatera Utara pada 1345 dan mengislamkan Sultan Al-Malik Al-Dhahir, namun keterangan dan risalah Islam tidak pernah sampai ke masyarakat Batak. Pedagang dan pahlawan Minangkabau lah yang berusaha sedaya upaya menyebarkan Islam di sini.
Kini anda dapat gambaran sedikit mengenai Danao Toba kan?
Saya tidur dalam keadaan panas walaupun membuka semua tingkap bilik, kata Mister Padi suasana akan mula dingin pada jam 10.00 malam. Namun bagi saya, ia biasa sahaja. Agak dingin tetapi suhu di Kangar lebih dingin pada malam hari, atau mungkin pembakaran hutan terbuka di daerah ini memberi kesan pada cuaca Toba?. Saya tidak dapat tidur hingga 3 pagi, bilik saya yang bersebelahan café masih bergegar dengan live-music. Pada jam 5.00 pagi rave party pula bermula mengegarkan suasana hening Subuh.
Saya bangun 6.00 pagi, memaklumkan kepada Mister Padi yang saya mahu terjun mandi di tasik. Bisa katanya! Dengan seorang diri saya terjun dan berenang-renang di pinggir jeti resort, air Toba berat, terasa seperti menjerut kita ke dasar tasik yang tidak dapat diukur ke dalamanya, matahari mula menyinsing, manakala feri pertama pagi itu berkemudi melintasi saya, beberapa orang pelancong Eropah duduk dijendela memerhatikan saya dan berbual mengenai keindahan Toba, walaupun beberapa kali saya menjemput mereka untuk terujun bersama, mereka seperti gayat. Tidak terlintas langsung pada masa itu ikan toman atau arapaima akan meragut kaki saya. Haha! Sekali lagi, ia adalah diantara saat paling tenang dan asyik di nurani saya. Saya kembali ke bilik dan solat Subuh. Ada tanda kiblatnya. Walaupun tiada surau rasanya di seluruh Tuk-Tuk.
Jam 9.30 pagi saya mula mengembara dengan motorsikal Honda Supra X bersama peta yang dibekalkan pihak Samosir Villa Resort. Jalannya kadang-kadang berturap tar dan kadang-kadang hanya denai tanah bukit mengikut kepentingan penduduk disitu, jika ia kawasan pelancongan atau kawasan kegiatan ekonomi, jalannya lebih baik. Namun, pemandangan seluruh pulau Samosir amat menakjubkan dan damai sekali. Anda tidak sesekali rasa tergangu dan penduduk Batak di sini sudah biasa dengan kehadiran pelancong-pelancong luar. Saya lihat kebanyakan, mungkin hampir semua pelancong Barat mengembara menaiki bas mini atau jika bermotorsikal mereka akan menyewa penunggang warga tempatan sekali. Mungkin mereka masih takut dengan lagenda masyarakat Batak?
Saya tiba di pekan Tomok (7-8 km dari Tuk-Tuk) yang merupakan kawasan perniagaan barang-barang cenderahati dan pasar basah di Samosir. Terdapat beberapa rumah makan Islam di sini, tetapi saya kurang yakin dengan status halalnya. Kedai-kedai kraftangan, fabrik dan sebagainya sudah mula beroperasi. Saya singgah di perlabuhan Tomok untuk meninjau, keadaannya agar kotor. Feri dari jeti ini juga berulang-alik dari Tigaraja. Jadi jika anda memilih untuk bermalam di Parapat. Anda gunakan feri ini sahaja untuk ke Tomok untuk membeli barang cenderahati. Dan harus diingat, peniaga disini manis mulutnya dan akan menyembelih anda semahunya jika anda tidak bijak membuat perbandingan harga patut. Saya menghabiskan RM30 sahaja disini dengan membeli 2 helai t-shirt Toba yang agak berkualiti. Seterusnya saya melawat Makam Raja Batak Sidabutar yang berada berdekatan. Peniaga-peniaga disitu biasanya akan memberi ruang untuk anda mengambil foto dan melihat kawasan sekeliling, sebaik sahaja anda selesai bergambar mereka akan menyerbu dan merayu kepada anda untuk membeli baju, keychains, freezer magnet atau blanket mereka. Jika anda mudah simpati. Kopak wang anda! Mereka akan mengucapkan harga “pecah telur”, bermakna anda adalah pembeli pertama hari tersebut dan ada diskaun istimewa!
Rasanya Tomok dihuni oleh kebanyakannya penganut Protestan berdasarkan banyak gereja-gereja Protestan dan sekolah serta klinik-klinik yang dikendali mereka.
Jam 10.30 pagi saya bergegas ke Ambarita yang terletak kira-kira 5 KM dari Tomok. Ambarita popular dengan kerusi batu tempat bersemayam Raja Batak bermesyuarat dan memenggal kepala pesalahlaku dalam masyarakatnya. Untuk sampai ke sana, saya menyusuri jalan kecil merentang sawah padi bukit dengan panaroma yang sangat indah seolah-olah babak filem Hobbit. Hehehe. Ambarita adalah sebuah pekan kecil tetapi meriah penduduknya dan segala kemudahan termasuk sebuah pejabat Pos turut ada di sini. Institusi gereja menguasai kawasan ini.
Dalam perjalanan kembali ke Tuk-Tuk, ketika sedang memecut motosikal, telefon bimbit saya tercampak jatuh dari poket seluar, berterabur dijalan dan terpelanting ke dalam sawah padi. Seorang penduduk tempatan turut membantu saya mengesan lokasi telefon saya. Yang akhirnya saya ketemui tercacak ditengah lumpur, saya pulang ke Tuk-Tuk dengan kaki seluar dan telefon yang penuh tanah lumpur. Hahaha.Tetapi Xperia Active memang power! Tiada langsung kerosakan. Tu dia!
Sampai di Tuk-Tuk, saya cuba mencari rumah makan halal, dan bertemu dengan rumah makan Islam yang kedua di Tuk-Tuk, Islam Murni. Juadahnya sama sahaja, nasi ayam, daging atau ikan. saya ambil ayam. Air suam terus disajikan tanpa perlu diminta, sama seperti rumah makan malam tadi. Lagu-lagu dangdut tetapi dengan mesej Islamik aneh kedengaran di radio. Lucu! Sedang saya makan, ayam ternakan masuk bersiar-siar di ruang makan tanpa dihalau. Dan ketika saya mahu beredar saya menjenguk dibelakang kedai. Kelihatan sang suami sedang memproses ayam dilantai dapur bersama anjing, kucing dan ayam-ayam ternakan. Hehe! Saya hanya tersenyum lagi. Bukan saya mahu menghina anjing atau tahap pemahaman Islam kaum Batak. Cuma jika bulu anjing tersebut melekat pada makanan atau pada bahagian tertentu. Pasti sukar untuk solat atau mengetahui status halal makanannya.
Kelab Jeep Station Indonesia baru sahaja tamat misi kemanusiaan di Sinabong |
Sekali lagi saya ingatkan pada muslim yang warak, jika ingin melancong di Pulau Samosir atau Parapat bawa makanan sendiri. Warak bukan bermaksud alim dan kuat ibadat. Warak bermaksud seseorang yang sangat peka pada hukum halal-haram.
Saya kembali ke resort jam 11.50 pagi, dan tidak sempat mengembara ke Sidihoni iaitu sebuah tasik kecil pula yang terletak ditengah-tengah pulau Samosir yang terletak di tengah tasik toba. Anehkan? Tasik atas tasik. Hehe. Dan juga saya tidak sempat mandi di hot spring berdekatan Panguruan yang merupakan pusat pentadbiran Pulau Samosir.
Saya check out dari Samosir Villa jam 12.30 tengahari dan sampai semula ke perlabuhan Tigaraja jam 1.30 petang. Oleh kerana mengenangkan kesengsaraan menaiki bas Sejahtera kelmarin, saya memilih untuk menaiki teksi Bagus. Sebuah syarikat pegangkutan awam yang mengunakan kenderaan Kijang Avanza untuk ke Medan atau Brastagi atau ke Bukit Lawang. Pada hemat saya, pasti ianya lebih selesa dan dingin kerana teksi Bagus tidak akan berhenti di mana-mana pekan dan terus menerus ke Medan. Malah tiketnya hanya RP75000 (RM20). Ternyata saya silap, teksi ini hanya akan bergerak setelah cukup 7 orang penumpang. Termasuk dengan bagasinya, kami semua dilenyek bagai ikan sardin dalam tin. 2 orang wanita dari Medan yang bersama kami pun mengeluh dan tidak habis-habis memaki hamun perkhidmatan teksi Bagus yang gagal memberi keselesaan pada penumpangnya. Rupanya sama sahaja, selain gemar membunyikan hon, muzik dangdutnya kuat dan merokok. pemanduan lagak ngeri memang tidak dapat dipisahkan.
Supir Bagus teksi hanya berhenti di suatu tempat sebelum memasuki daerah Lubuk Pakam. Itupun kerana dia mahu buang air kecil. Dan kami tiba di hotel Grand Sakura Hotel tepat jam 8.00 malam. Yang baiknya, Supir Bagus teksi menghantar semua penumpang ke pintu rumah. Yang tidak baiknya, bila tiba giliran saya Supir meminta extra tips!? Saya memang tiada langsung wang kecil waktu itu. Maka saya hulur wang Malaysia, RM2. Disapunya sepantas kilat!
Grand Sakura Hotel memang ok dari segi bilik, kebersihan, layanan, perkhidmatan dan harganya. Hanya RM220 untuk 2 hari 2 malam bagi bilik deluxe termasuk sarapan pagi yang ternyata berbeza dan lebih murah dari apa yang mereka iklankan di internet. Mujur saya tidak buat tempahan online. Cuma mereka menipu lokasi Grand Sakura terletak berdekatan kawasan tumpuan pelancong, padahal mereka terletak area surburban. Namun tidaklah terlalu jauh. Tetapi esoknya saya mendapat tahu dari supir Blue Bird bahawa Grand Sakura ini terkenal di Medan bagi pelancong yang mahu mendapatkan khidmat pelacur. Grand Sakura dikenali sebagai ‘Hotel Ayam’!
Yep! Ganyang Malaysia, Selamatkan Siti Nurhaliza! |
28/2/2014, Saya bangun seawal pagi, sarapan di café dan terus berangkat menaiki beca motor ke Sun Plaza atau Sogo. Ia merupakan shopping mall terbesar di Medan yang sedang menyambung ulang tahun ke-10 hari ini. Kepada yang ingin berjalan-jalan di sekitar Medan, saya nasihatkan anda menaiki teksi Blue Bird, satu-satunya pengangkutan awam yang boleh dipercayai, supirnya baik-baik belaka dan tambangnya mengunakan meter. Manakala, hampir semua beca motor mahu minum darah anda tanpa mengira kualiti perkhidmatan yang mereka berikan. Saya menaiki 3 beca motor sepanjang berada di Medan, mereka munafik, sukar dipercayai, dan meletakkan tambang setaraf Blue Bird. Saya bukan menuduh, dan saya telah mencubanya untuk merasai pengalaman ditipu.
Saya berjalan kaki menyusuri Merdeka Walk, kawasan urban di Kota Medan dan singgah di sebuah restoran di situ untuk makan tengahari. Restoran Mc Donald bersebelahan saya padat dengan pelanggan. Eh! Mereka masih jual prosperity burger! Prosperity dicipta oleh Mc Donald Malaysia tau!
Saya ke Pajak Ikan sekadar meninjau keadaan disana. Kebanyakan peniaga menjual kain-baju disini disamping kraftangan. Ada juga kedai lanun wangian. Kebanyakan haruman tidak melebihi RP10000 (RM3) sahaja. Manakala toko-toko t-shirt ketika ini sedang laris dengan tempahan baju-baju partai kerana pilihanraya Indonesia akan berlangsung bulan hadapan.
Seterusnya saya ke Istana Maimun, supir pak Kasmar orang yang berbudi bahasa dan baik orangnya. Dia membawa kami menyusuri jalan Sudirman yang menempatkan rumah pembesar-pembesar Medan seperti Gabenor, walikota, panglima dan ketua Polis Medan. Semua mereka menghuni di situ, pak Kasmar menceritakan suatu ketika dahulu terdapat patung Ahmad Dhani di kawasan riadah di situ tetapi ia telah dileraikan dan dimusnahkan. Saya bertanya mengenai siapakah pula Sudirman? Ujarnya Sudirman adalah seorang panglima semasa penentangan terhadap Belanda suatu masa dahulu. Dia digeruni oleh musuh kerana mempunyai kesaktian dan gagah. Ujar saya kepada pak supir, ‘jadi benarlah semua orang yang bernama Sudirman ini bisa jadi lagenda tak kira dimana ya?!”. Pak Supir menasihati saya agar tidak berjalan seorang diri di jalan Sudirman kerana banyak kumpulan-kumpulan motorsikal yang tidak jelas motif mereka.
Kami tiba di Istana Maimun jam 3.00 petang. Semasa ketibaan kami sebuah sekolah tempatan sedang menjalankan kajian tempatan di istana. Horas! Mari kita imbas sedikit mengenai Kesultanan Deli. Dikisahkan kesultanan Deli didirikan oleh Muhammad Delikhan yang berasal dari Hindustan dan sedang belayar ke China. Dalam perjalanan, kapalnya dipukul ombak dan karam, Muhammad Delikhan terdampar di Acheh dan meneruskan kehidupan di sana dengan mempelajari silat dan resam pahlawan. Kegagahan Muhammad Delikhan sampai ke telinga pemerintah Acheh, Sultan Iskandar Muda yang melantiknya menjadi pendekar dengan gelaran Laksamana Kodja Bintan.
Satu hari Sultan Iskandar Muda menguji kekuatan Laksamana dengan mengarahkannya untuk menumpaskan seekor gajah bernama ‘Gandasuli’ yang sedang mengamuk. Kagum dengan kekuatan Laksamana Kodja Bintan mengalahkan seekor gajah dengan mudah dan pantas. Sultan Acheh mengurniakan pangkat yang lebih tinggi bergelar Tuanku Panglima Gotjah Pahlawan. Selama bergelar panglima kerajaan Acheh, hampir seluruh negeri-negeri Melayu ditakluknya termasuk Siak, Kedah, Johor, Pahang, Terengganu, Perak, Melaka, Pattani, Kemboja dan Sambas.
Pada 1632 Panglima Gotjah Pahlawan telah dinobatkan sebagai Raja Deli oleh kepala-kepala urung (pembesar 4 wilayah) di sini. Seripaduka Tuanku Panglima Gotjah Pahlawan selaku Raja Deli pertama mangkat pada tahun 1669.
Istana Maimun memang indah namun oleh kerana kurang pemuliharaan dan penjagaan ia hanya dilihat sebagai rumah agam yang dihormati kerana nilai sejarahnya. Bayaran RP5000 (RM1.40) dikenakan sebagai tiket masuk dan anda bebas mengambil foto disebarang sudut. Jika anda berminat, terdapat sebuah ruang khas yang menempatkan kerusi pembesar dan sewaa pakaian bangsawan Melayu dengan harga RP10 000 (RM2.70) bagi setiap sesi fotografi. Manakala dibalairung ada kumpulan pemuzik asli yang menghiburkan para tetamu diraja secara percuma. Jangan tidak percaya, mereka memainkan banyak lagu-lagu Siti Nurhaliza.Kerabat Raja Deli masih menghuni di istana tersebut.
Saya seterusnya berjalan kaki ke Masjid Raya yang terletak kira-kira 500 meter dari Istana Maimun. Masjid yang merupakan mercu Islam Medan disamping Masjid Agung. Halaman depannya dipenuhi penjaja dan pengemis. Manakala sewaktu saya sampai, bacaan ayat al Quran disampaikan melalui pembesar suara azan yang mengegar kota Medan. Tiada siapa pedulikan dan hormati bacaan al Quran ditengah kota yang para penduduknya sedang sibuk dengan cara dan kaedah bagi meneruskan kelangsungan hidup. Revelankah bacaan yang dikuatkan sebegitu tanpa penghayatan?
Tidak mengapa. Hormati budaya setempat. :)
Sebaik sahaja saya menyeberang jalan untuk mendapatkan teksi. Saya terlihat sebuah papan ucapan selamat datang kepada sebuah delegasi politik dari Malaysia di sebuah hotel. Hehe! Apa hangpa buat sini?
Saya kemudiannya ke Medan Plaza yang terletak berhampiran sahaja. Tiada yang menarik. Saya kembali ke Sun Plaza setelah mendapat tempahan yang semakin banyak terhadap CD SERINGAI “Taring” yang saya beli di Disctarra, tingkat 4 Sun Plaza. Ia sebuah kedai muzik komersil namun ada terselit beberapa CD kumpulan bawah tanah antaranya BURGERKILL. Saya beli 5 keping CD Seringai, iaitu semua stok yang ada di kedai itu. Senyum lebar si towkay!
Jam menunjukan hampir 7.00 malam, saya ambil keputusan untuk pulang ke hotel dan berehat. Sepanjang perjalanan bersama supir Blue Bird, kami berbual-bual mengenai pekembangan sosial masyarakat Medan. Pak supir mencadangkan saya tinggal di Medan supaya mengenali dengan lebih dekat bagaimana sikap etnik Batak, Melayu Deli, Karo, Cina dan sebagainya. Katanya disini semua orang mementingkan diri sendiri, tekanan hidupnya hebat, malah semangat racism mereka aneh. Jika pada sesama etnik, padahal semuanya Melayu mereka boleh berhasat dan iri. Apatah lagi kepada kaum lain. Pak supir mengakui orang India tidak mendapat tempat di dalam masyarakat di Medan. Manakala orang-orang Cina kurang tidak banyak bergaul dengan orang Melayu. Manakala polisi pemerintah di Medan hanya membenarkan peribumi mempunyai jawatan dalam tentera, polis dan pentadbiran kerajaan. Ini merenggangkan lagi perpaduan diantara mereka. Kadang-kadang dia mengeluh dengan keadaan ini. Tiba-tiba pak supir berkata ‘berapa banyak lagi darah mahu ditumpahkan? Berjuang apa lagi jika yang diperangi saudara sendiri, kaum sendiri?’. Saya senyum. Saya setuju dengan katanya.
Pak Supir ingin membawa saya ke Rumah Makan Garuda yang katanya wajib disinggah jika telah ke kota Medan. Restoran itu dibuka 24 jam. Tetapi saya telah kenyang dan penat. Katanya jika awal tadi Kedai Makan Kampuang juga menyajikan juadah yang enak-enak.
Sempat saya bertanya mengenai Jud1ka (lagu-lagu beliau menjadi runut bunyi hampir semua drama TV3) kepada Pak Supir setelah melihat sepantuk show nya di Kota Medan. Katanya, Jud1ka berasal dari Berastagi dan saya turut bersimpati setelah mendapat tahu rumah keluarga Jud1ka rosak teruk akibat debu Sinabong.
Sempat saya bertanya mengenai Jud1ka (lagu-lagu beliau menjadi runut bunyi hampir semua drama TV3) kepada Pak Supir setelah melihat sepantuk show nya di Kota Medan. Katanya, Jud1ka berasal dari Berastagi dan saya turut bersimpati setelah mendapat tahu rumah keluarga Jud1ka rosak teruk akibat debu Sinabong.
Saya kembali ke hotel dan rehat. Selepas mandi saya ke Alfamart, membeli beberapa cenderahati seperti minyak aromatherapy dan keretek Gudang Garam kepada rakan-rakan di Malaysia. Pada jam 9.00 malam hanya ada rumah makan yang boleh dilawati di Kota Medan. Lainnya telah tutup. Saya tidur.
Esoknya saya bangun seawall 6.00 pagi, selepas solat, bersarapan pagi di café dan bertolak dengan menaiki kenderaan hotel yang saya tempah dengan bayaran RP150000 (RM41). Perjalanan mengambil masa hanya 40 minit walaupun dijangka 1 jam setengah kerana jam 8.00 pagi warga kota sudah mula sibuk keluar bekerja. Kabus dan asap menyelubungi Bandara Kuala Namu kerana pembakaran hutan. Saya sempat berbual dengan pak Supir mengenai Gunung Sinabong yang meletus bulan lepas. Katanya ia tidak menjejaskan sebarang atitiviti di kota Medan. Cumanya jika bapak mencuci dan menjemur baju pada waktu malam, esok paginya baju bapak sudah mengeras kerana debu gunungnya! Ujar pak Supir.
Aktiviti perlancongan semakin giat selepas meletusnya gunung tersebut tidak seperti yang dilaporkan. Pelancongan semakin galak untuk ke Sinabong yang terletak kira-kira hanya 2 jam memandu dari Medan.
Saya bertolak tanpa masalah dan sampai dengan selamat ke Penang walaupun hanya asap putih menyelubungi langit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan