Jumaat, 15 Ogos 2014

A MILLION WAYS TO DIE IN THE WEST (2014)


Saya membeli DVD ini hanya kerana Liam Nesson. Dan kali terakhir saya menonton filem yang dibintangi beliau adalah Non-Stop yang boleh dikatakan ‘hanya’ gabungan dan perkembangan kembara watak polis/agen super yang dilakonkan beliau sebelum ini. Dari watak-watak mahaguru dan dewa yang dilakonkan beliau dengan cemerlang (malah Micheal Bay meminta juru animasi beliau mengolah ‘bahasa tubuh’ Optimus Prime dalam Transformers meniru gaya Liam Nesson) beliau dibayar melakonkan watak Clinch Leatherwood dalam A Million Ways To Die In The West iaitu sebagai, penjenayah terkenal dan penembak paling tepat pada ketika itu.

Liam Nesson mendapat hidayah memeluk Islam setelah kembali dari Turki dari rakaman filem Taken # 2pada tahun 2012. Tetapi beliau memilih bersikap sederhana dan tidak terlalu membicarakan kepada media dalam akidahnya mungkin kerana sudah masak dengan propaganda Hollywood apabila bintang-bintang mereka memilih Islam berdasarkan karier beliau yang dibayangi taikun-taikun perfileman Yahudi.

Filem ini digarap dan diarahkan oleh Seth Macfarlane yang juga memegang watak utama sebagai Albert Stark, pengembala biri-biri dalam sebuah pekan di Arizona. Filem komedi aksi yang berlatarbelakangkan zaman Cowboys di tahun 1882 ini tidak sesuai untuk tontonan keluarga kerana dialog-dialog yang kurang sopan dan babak-babak yang tidak bermoral. Iyalah, zaman wild west. Albert Stark digambarkan satu-satunya manusia yang baik budi ketika itu, membenci keganasan, pencinta sejati, dalam erti kata lain naïve. Dalam satu pergaduhan yang berlaku di Saloon, Albert telah menyelamatkan Anna (Charlize Theron) dari dihempap dua lelaki yang jatuh ketika bergaduh, seterusnya mereka berkawan rapat. Albert yang ketika itu ditinggalkan kekasihnya kerana memilih jejaka kaya dan bermisai (misai adalah status ketika itu) banyak menghabiskan masa bersama Anna. Beliau tidak tahu bahawa Anna adalah isteri kepada Clinch Leatherwood yang diarahkan bersembunyi di situ. Sehinggalah kedua-duanya jatuh cinta da perkara itu dapat dihidu oleh Leatherwood yang sedang menjalankan aktiviti rompakannya di daerah lain. 


Jalan ceritanya mudah tetapi jenaka-jenaka kasar di dalamnya yang membuatkan ia tidak mesra keluarga. Edward lakonan Giovanni Ribsi, rakan baik kepada Albert misalnya seorang tukang kasut yang bercinta dengan seorang pelacur bernama Ruth di Saloon. Edward akan menunggu Ruth melayan 10-15 pelanggan sehari dengan hati yang terbuka setiap hari untuk keluar temujanji. Dalam satu babak, Edward berjanji untuk menghantar Ruth awal kepada tokey Saloon kerana ada pelanggan yang ingin meliwat Ruth. Peliknya, pasangan ini menganggap seks sebelum kawin adalah dosa besar kerana beranggapan mereka adalah penganut Kristian yang baik. Begitu juga Albert ketika berada dalam situasi cemas, memohon kata terakhir kepada Leatherwood dengan mengatakan beliau seorang Muslim dan memerlukan sebutan tertentu sebelum mati. Sebaliknya beliau menyanyikan sebuah lagu seperti azan. Ia mungkin lawak bagi mereka. Dan satu lagi lawak berkaitan agama apabila babak cemas berakhir, Anna menerkam Albert dan bertanya ‘betulkah kamu Arab? ‘. Albert menjawab ‘takdalah’. Kemudian Anna membalas ‘ saya seorang Yahudi.. jika tidak krikk!” (sambil menunjukkan isyarat potong leher).

Penampilan ‘bodoh sebentar’ tetapi istimewa dalam A Million Ways To Die In The West seperti kebanyakan filem komedi yang lain adalah penampilan Doc Brown yang sedang membaiki DeLorean dalam sebuah kandang kuda, kehadiran Ryan Reynolds sebagai cowboy dalam Saloon yang terbunuh dalam masa 4 saat dan yang terakhir Django (Jamie Foxx) membunuh tokey funfair yang menyediakan permainan target hamba kulit hitam.

Keseluruhan filem boleh dikatakan ok.

Bintang: 2.5/5

Tiada ulasan:

Catat Ulasan