Sabtu, 16 Ogos 2014

DIVERGENT (2014)


Filem dystopia ini sebuah karya yang ringkas namun mempunyai mesej yang kuat terhadap politik dunia ketika ini. Divergent sesuai bagi mereka yang berfikir luar dari konteks kerana aksi-aksi yang dipaparkan sebagai hiburan ringan sahaja. Divergent boleh dikatakan sebuah usaha memartabatkan liberalism yang memberi ruang kebebasan untuk berhak dalam segala perkara termasuk agama. Agama bukanlah sesuatu yang diperlukan lagi. Ia hanya sebuah nilai yang boleh dituruti juga suka atau ditolak jika bosan.

Mengisahkan sebuah kota di masa hadapan yang mana pemerintahnya menentukan segalanya bagi menjaga keharmonian sejagat. Malah terdapat sebuah tembok pemisah antara metropolitan itu dengan dunia luar yang mana rakyatnya tidak perlu ambil pusing apa yang berada diluar tembok itu. Rakyatnya pula terbahagi kepada 5 kelompok yang mempunyai tugas dan fungsi masing-masing. Mereka akan bertugas dan berkhidmat seperti yang diajar dan diarahkan setiap hari hingga ke akhir hayat. Mereka yang tidak serasi dengan mana-mana kumpulan akan disisihkan dan menjadi puak gelendangan.

Kisahnya bertukar cemas apabila seorang remaja perempuan Triss Prior tidak termasuk dalam mana-mana kumpulan tersebut yang dipanggil Divergent. Divergent merupakan mereka yang bijak, mempunyai kendiri yang tinggi dan dapat menentukan keputusan sendiri serta mampu berdikari. Inilah yang merisaukan kerajaan. Mereka ini berani bangkit mempersoalkan hak, mengkritik dan memberontak.


Seperti yang berlaku di Malaysia, kerajaan Barisan Nasional yang menguasai tapuk pemerintahan takut dengan kelompok begini, mereka akan cuba mengekalkan keadaan yang telah sedia ada, jika rakyat bodoh dan lembab tetapi keadaan tetap harmoni, biarlah berlaku korupsi dan kegawatan ekonomi, langkah untuk mengekalkan kuasa dan keadaan selesa buat pemerintah akan dilaksanakan. Mereka tidak mahu rakyat banyak tanya, banyak komplen, banyak permintaan. Namun, saya merasakan begitu juga jika parti pembangkang seperti PAS atau PKR yang menguasai negara, pasti keadaan yang selesa buat mereka akan turut diperjuangkan bagi mengekalkan kuasa biarpun rakyat menjadi tidak produktif dan menjadi mangsa.

Seperti kata Kate Wisnslet pada akhir babak pergelutan dengan Prior “seperti mana kamu sanggup mati memperjuangkan apa yang kamu rasa betul. Begitu juga saya”. 

Bintang: 3/5

Tiada ulasan:

Catat Ulasan