Sabtu, 20 Disember 2014

THE SALVATION (2014)



Nampak saja DVD ini di kedai tempoh hari saya terus sambar. Mana tidaknya, Eric Cantona jadi koboi cik oii!! Walaupun sebelum ini saya hampir insaf bila menonton lakonan Mads Mikkelsen sebagai Viking bisu bermata satu dalam Valhalla Rising. Mads sebagai watak utama hanya diam sepanjang cerita dan akhirnya bertemu dengan tentera Salib yang dalam perjalanan ke Jerusalem. Bosan tahap epik filem tu! Harap hiasan kulit saja lawa.

Filem Denmark ini (biasalah, bagi yang belum arif dalam genre ini, memang pengarah-pengarah dari Eropah lebih bijak buat kisah cowboys dari Amerika) mengisahkan seorang bekas tentera bernama Jon yang menyambut kedatangan isteri dan anaknya dari Denmark bagi memulakan kehidupan baru di Amerika. Malang buat Jon dan keluarga, dua orang koboi turut menaiki kereta kuda yang menjadi pengangkutan awam ketika itu untuk ke rumahnya. Jon dan adiknya, Peter yang juga bekas tentera baru sahaja membina rumah mereka di hulu kampung. Namun ketika dalam perjalanan, dua orang koboi tersebut telah mengugut untuk membunuh anak Jon dan memaksanya terjun dari kereta kuda. Mereka merogol dan membunuh isteri dan anak Jon di sebuah belukar yang mana Jon telah mengejar dengan hanya berlari dan berjaya membunuh koboi-koboi tersebut. Apa yang Jon tidak tahu koboi tersebut adalah adik kepada Delarue (lakonan Jeffrey Dean Morgan)yang merupakan taikun hartanah dan samseng di situ.

Kecewa dengan kejadian itu, Jon dan Peter mahu meninggalkan kampung tersebut. Manakala didalam pekan kekecohan telah berlaku oleh kerana pembunuhan tersebut. Delarue telah membunuh orang-orang yang tidak bersalah sebagai ganti dan menaikkan cukai perlindungan pekan tersebut disebabkan penguasa gagal mengesan pembunuh adiknya. Dia juga berjanji akan membunuh penduduk lagi sehingga pembunuh adiknya ditangkap.


Apabila penduduk melihat Jon dan Peter membawa barang-barang untuk berpindah dan menjual tanahnya. Mereka mula mengesyaki Jon dan melaporkan penghijrahannya kepada Sheriff Mallick. Jon diberkas dan diserahkan kepada Delarue. Mereka semua sedar Jon teraniaya namun mereka takut dibunuh Delarue oleh kerana Mayor Keane juga turut bersekongkol bersama pakatan Delarue.

Jon diseksa namun berjaya dilepaskan oleh adiknya Peter yang akhirnya terbunuh ketika melarikan Jon yang tidak mampu berlawan lagi. Sebaik pulih, Jon kembali dengan bantuan seorang remaja penjual senjata api yang turut berdendam pada Delarue kerana membunuh neneknya. Jon berperang dengan seluruh pasukan Delarue seorang diri. Eva Green melakonkan watak Madelaine, adik ipar Delarue, seorang wanita bisu yang dipotong lidahnya oleh red Indian, namun setelah kematian suaminya, Delarue menderanya secara seksual dan mental. Madelaine cuba melarikan diri namun tidak berjaya dan dijadikan hamba seks konco-konconya, Jon datang tepat pada masanya sebelum sempat Madelaine dibunuh.

Filem ini memang sangat tipikal cowboys seolah-olah anda pernah menontonya berkali-kali. Baik filem spaghetti western era 50-an, filem Samurai, Hindustan, P.Ramlee, ia jalan cerita yang sama cuba situasinya berbeza, dimana dalam The Salvation, digambarkan petroleum baru ditemui di Amerika maka kegiatan perlombongan minyak cuba disembunyikan dan didominasi oleh golongan tertentu sahaja.

Lagenda bola sepak MU, Eric Cantona melakonkan watak The Coriscan, orang kanan Delarue yang boleh tahan juga samsengnya. Mungkin rating yang tinggi diberikan pada filem ini oleh kebanyakan pengulas kerana adanya beliau dalam filem ini. Tetapi saya tetap mengatakan The Salvation hanya biasa-biasa sahaja.

2.5/5 Bintang

2 ulasan: