Sabtu, 20 Jun 2015

ANOTHER EARTH (2011)


Sewaktu menemubual Tiberius dan Morph dari kumpulan Industrial Death Metal, DECONSTRUCTING SEQUENCE (UK) mereka telah mencadangkan kepada saya filem Another Earth ini supaya saya lebih faham arah tuju dan konsep futuristik yang mereka pelopori. Tak sangka pula malam ke-3 Ramadan ini, TV2 menyiarkannya pada jam 2.30 pagi, walaupun mengantok saya tetap sabar menonton hingga ke waktu sahur.

Filem ini memang unik dan penuh persoalan pada diri dan alam. Kisahnya bermula apabila suatu malam seorang gadis muda, Rhoda Williams (lakonan jelitawan Brit Marling, tetapi wataknya serabai dalam filem ini, namun kuat juga wataknya) yang minat kepada astronomi pulang dari suatu keramaian. Dalam keadaan mabuk sambil memandu, kebetulan ketika itu dunia digemparkan dengan penemuan sebuah planet baru mirip bumi dan dipercayai ada habitat yang menghuninya. Sebaik mendengar laporan berita dari radio mengenai planet yang dipanggil Earth 2 itu. Rhoda mula memandu sambil memandang ke langit untuk meninjau planet berkenaan yang akhirnya terlibat dalam kemalangan ngeri. Rhoda telah melanggar sebuah kereta yang berhenti, membunuh isteri dan anak seorang pensyarah dan komposer bernama John Burroughs. Manakala John koma. Disebabkan Rhoda masih juvana maka identitinya dirahsiakan namun dipenjarakan selama 4 tahun atas kesalahan tersebut.

Sebaik bebas, Rhoda menjadi pessimist dan dihantui rasa bersalah. Dia memilih untuk berkerja sebagai pencuci di sebuah sekolah supaya tidak terlalu bersosial dengan ramai orang. Dalam masa yang sama, usaha untuk menjelajah Earth 2 semakin giat dijalankan. Malah mesej dari bumi turut mendapat balas audio dari Earth 2, peliknya Earth 2 seperti kembar kepada bumi, begitu juga andaian mengenai penduduknya yang mungkin seiras serta menjalankan kegiatan yang sama seperti penduduk bumi. Sebuah aerospace sedang disiapkan untuk ke Earth 2.

Suatu hari Rhoda mendapat tahu John Burroughs ( lakonan William Mapother) telah sedar dari koma, menjalani kehidupan yang penuh depresif dan daif, melepaskan semua jawatan hebat beliau selama ini. John hanya menghabiskan masa memabukkan diri sambil mengenang memori silam bersama keluarganya. Rhoda ke rumah John untuk memohon maaf atas kesilapannya. Namun kerana takut, dia menipu bahawa dia seorang pencuci dari syarikat Maid in Haven membuat promosi khidmat cucian. Disebabkan tawaran percuma, John setuju untuk membenarkan Rhoda mencuci rumahnya. Bermula dari situ setiap minggu Rhoda datang mencuci. Dalam masa yang sama minatnya terhadap penemuan planet baru itu tetap kuat.

Suatu hari Rhoda nekad menghantar essei kepada seorang jutawan yang menawarkan satu tempat percuma ke Earth 2 kepada orang awam yang menghantar karangan terbaik ‘kenapa saya layak ke Earth 2’. Manakala hubungan Rhoda dan John semakin intim. Pada Rhoda dia melakukannya demi melihat John kembali normal dan menghapuskan rasa bersalah dalam dirinya. Hinggalah suatu hari ternyata essei Rhoda itu benar-benar menarik hati jutawan tersebut. Maka dia dihadiahkan tempat ke Earth 2 dan perlu menjalani latihan angkasawan sebagai persediaan ke sana. Rhoda memaklumkan pada John mengenainya dan tercetuslah drama apabila John tidak membenarkan Rhoda pergi.

Babak romantis bila Rhoda bercerita tentang seorang angkawasan yang dihantui suatu bunyi diatas kapal angkasa hingga hampir gila dan babak John memainkan muzik mengunakan gergaji. Muzik tersebut asalnya dirakamkan oleh Natalia Paruz atau dikenali sebagai ‘Saw Lady’. Mike Cahill melihat persembahan Paruz di stesen keretapi dan terus menjejaki Paruz untuk berkolaborasi dalam filem ini.

Akhirnya Rhoda memberitahu hal sebenar, menyebabkan John sangat marah dan kecewa. Bagi Rhoda dia sangat berharap permulaan baru di Earth 2 buat dirinya nanti. Adakah Rhoda berjaya? Lihat sendiri….

Another Earth adalah filem indie sains fiksyen yang diarahkan oleh Mike Cahill. Manakala Brit Marling turut terlibat sebagai penulis bersama Cahill. Brit juga salah seorang penerbit filem ini ( Ya lah! Awek ni anak jutawan hartanah ). Another Earth mengondol beberapa anugerah berprestij walaupun menafikan hukum alam dan fizik apabila meletakkan Earth 2 berdekatan bulan dan bumi namun tiada tindak balas graviti, aras air lautan dan cuaca pada bumi.

¾ Bintang

4 ulasan:

  1. menarik!! pasti disedut untuk tatapan!

    BalasPadam
  2. jarang2 tgk tv2. cerita ni nampak menarik.

    BalasPadam
  3. "Told ya! :) great piece, you should also try Von Tries 'Melancholy" - mesej dari Tiberius, setelah diberitahu saya dah tengok cita ni.

    BalasPadam