Jumaat, 21 Ogos 2015

KHUTBAH JUMAAT NOUMAN ALI KHAN

Nouman Ali Khan
Lahir pada 4 Mei 1979, Kelahiran Berlin, Jerman
Warganegara: Amerika Syarikat (Dallas)
Pengasas dan CEO Institut Bayyinah
Anak murid kepada Dr. Abdus-Samie Pengasas dan pengetua Quran College,
Faisalabad, Pakistan
Professor di Nassau Community College hingga 2006
Kini aktif dalam aktiviti dakwah peringkat antarabangsa terutamanya berdebat dalam isu Islamophobia.

Saya merasa bertuah hari ini kerana diberi kesempatan untuk mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan Ustad Nouman Ali Khan, atau mesra dipanggil bro NAK di Masjid Negeri, Arau. Gembira juga apabila Mufti Perlis dan Tuanku Raja Muda sangat aktif dalam membawa tokoh-tokoh dakwah untuk diperkenalkan kepada rakyat Perlis dan menimba ilmu dari mereka. Alhamdulilah, semoga Allah memberkati usaha kedua mereka.

Kali pertama saya lihat khatib menyampaikan khutbah tanpa teks sebaliknya dengan membawa senaskah al-Quran sahaja dan memfokuskan hanya kepada 2 ayat dari al Baqarah;

Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim". (Al-Baqarah 2:35)

Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". (Al-Baqarah 2:36)

Benarlah apa yang saya baca mengenai kehebatan bro NAK dalam memberi penafsiran firman Allah SWT dengan begitu indah sekali. Sungguh mendalam dan mengkagumkan. Walaupun fokus utama adalah 2 ayat diatas, beliau turut mengaitkan beberapa lagi ayat dari al Baqarah juga untuk memberi kefahaman yang jelas kepada para jemaah.

Antara yang boleh saya kongsikan:

Manusia seringkali terlupa pada nikmat yang dipinjamkan, sehinggalah pada satu ketika manusia enggan menyerahkan semua apa yang dipinjamkan. Malah disebabkan kegigihan dan kesukaran untuk memperolehi nikmat itu, kita menganggap ia seperti sebahagian dari diri. Dan kita terikat padanya.

Manusia sentiasa terdorong untuk melanggar larangan Allah SWT walaupun pada hakikatnya Dia telah memberikan segala macam benda dan nikmat yang luas dan mengharamkan sedikit hal yang tidak baik untuk manusia. Namun manusia akan tetap menyukai yang haram itu. Kenapa? Lain tidak bukan, adalah tipu daya dan pengaruh dari syaitan. (Bro NAK menjelaskan bagaimana syurga yang luasnya seluruh langit dan bumi dan dipenuhi pohon-pohon berbuah, tidak terkira pokok-pokok, pernahkah anda bertanya dan bayangkan setelah Adam a.s merantau ke seluruh syurga dan menemukan bermacam-macam pokok, dia tetap kembali ke pohon larangan yang satu itu?

Cari harta dengan cara yang baik dan suci untuk beramal jariah. Bro NAK memberi contoh peruncit Muslim di USA yang menjual arak di kedai namun apabila tiba Ramdan mereka rajin bersedekah bagi ‘membersihkan’ duit mereka, begitu juga mereka-mereka yang menipu pelanggan dan mengamal rasuah yang berangkat ke Mekah untuk bertaubat di Kaabah kerana mendapatkan hasil dari jalan salah. Itu semua satu teori yang salah, kerana aturan 1 yang disebut Allah SWT (cari dari jalan yang baik lagi suci) telah anda cabuli. Langkah 2 (sedekah), Langkah 3 (taubat) dan seterusnya itu tidak akan menjadi sempurna dengan kecacatan pada langkah pertama tadi. Oleh itu usaha untuk mencari rezeki yang suci dan halal harus diutamakan. (al Baqarah 267)

Sentiasa gembira dan ikhlas untuk bersedekah kerana apa yang kita punyai adalah hak Allah SWT, dan jangan gusar kerana apa yang diberi hakikatnya kita kembalikan semula pada Allah. Berterima kasih pada yang fakir, miskin yang memohon bantuan pada kita. Bukan mengeji dan menghina mereka kerana Allah SWT memberi peluang untuk anda membuktikan iman melalui mereka. (al Baqarah 268 dan 276)


Raikan orang-orang fakir dan miskin. ( bro NAK menunjukan contoh secara langsung sebaik selesai solat Jumaat apabila ketika menyampaikan bantuan pada asnaf OKU, bro NAK sendiri berjalan mendapatkannya, bukan menunggu OKU itu datang mengadapnya apabila namanya dipanggil) (al Baqarah 262)

Semoga bro NAK dapat kembali lagi ke negeri Perlis dan moga Allah memberkati dan merestui usaha-usaha dakwah beliau. Kebetulan umur kami sama tapi terbukti usia beliau lebih barakah dengan ketinggian ilmunya.

“When seeking knowledge, remember that guidance is the ultimate goal. Having a lot of knowledge is not a sign of guidance from Allah”. –Nouman Ali Khan

2 ulasan:

  1. wow! sangat ohsem! semoga apa yang bro tulis ni dapat dipraktikkan bersama-sama. sebarkan kebaikkan heee. terima kasih diatas penulisan ini.

    BalasPadam