Isnin, 25 Januari 2016

CATATAN TAK KERUAN (MARHAEN LITERA)


Saya dapatkan buku ini dari penulisnya sendiri, dua hari lalu. Pertemuan pertama saya dengan beliau, memberi gambaran jelas kendiri beliau seperti yang saya jangkakan melalui imej yang kebanyakan kita ketahui dari akaun media sosial beliau. Secara ringkas, walaupun tidak manis untuk menilai seseorang itu dari perkenalan jangka pendek, Pitri al-Fateh Zainon adalah seorang yang intelek, puitis, romantis dan yang paling saya suka mempunyai pemikiran haluan tajdid.

Apabila pulang dari berkhemah di Puncak Gunung Jerai, saya lantas membaca karya terbaru beliau ini. Jujur saya katakan, ia seperti berbicara bersama beliau dan buku ini umpama minda dan qalbu beliau yang sempat dirakamkan pada tinta. Bukanlah semua yang digarap dalam buku ini tidak keruan dan yang bukan-bukan, bahasa dialet dan pasar hanya digunakan dalam anekdot-anekdot supaya gambaran dan senario yang digambarkan jelas pada nilai geografinya. Maksud saya kecintaan beliau pada pekan kecil Guar Chempedak jelas dinukilkan dalam buku ini.

Pada saya, sajak-sajak beliau mempunyai baris dan rangkap bombastik, yang membuatkan saya termanggu melayan nurani seperti “Jika”, “Semalam”, “Terus untuk Kamu” dan banyak lagi. Cerpen-cerpen pendek yang kebanyakan dari pengalaman peribadi Pitri juga membuatkan buku ini kembali santai setelah penat dengan sajak-sajak emosional. Kisah dan nukilan cinta dan zaman percintaan itu sesuatu yang mustahil juga bagi sesetengah penulis untuk dikongsikan. Tetapi Pitri al-Fateh Zainon berjaya merakamkan saat-saat manis dan dungu itu sebagai pedoman buat si muda mudi.

Buku ini selesa buat remaja dan juga dewasa sebagai bahan bacaan santai dan cukup sifat untuk dikategorikan sebagai naskah penulisan bebas. Dapatkan buku ini sebagai tanda sokongan kepada penulis yang pernah menerbitkan zine bertajuk Aku, Pekan Kecil dan Skateboarding.

1 ulasan:

  1. dah beli....tapi lupa mintak sign si penulisnya...adooooo

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...