Ahad, 3 Julai 2016

MENCARI SUCI (ITBM)


Karya ini dinobatkan sebagai novel Anti-Syiah yang pertama di Malaysia. Namun ia bukanlah idea yang tulen kerana Pitri al-Fateh terlambat beberapa tahun untuk mencabar Marco Ferrasse melalui novelnya ‘Nazi Goreng’. Jika dalam Nazi Goreng, Marco menceritakan tentang anak muda dari Kedah bernama Asrul dari latarbelakang agama yang akhirnya terjebak dengan haluan “Malay Power” dan neo-Nazi serta bergelumang dengan jenayah, Pitri pula menceritakan tentang anak muda dari Kedah, bernama Fazrul yang sedang berada dikemuncak bersama kumpulan punk rock nya, Parasite, namun musibah melanda ketika mereka dalam siri gig menjelajah Malaysia menyebabkan semua anggota kumpulannya terbunuh. Fazrul kembali mendekati agama setelah peristiwa itu namun didekati oleh pendokong fahaman syiah dan dia terbelit. 

Bezanya tulisan Marco adalah fiksyen dan digarap melalui penceritaan rakan-rakan punk di Malaysia. Tetapi tulisan Pitri jika dibaca oleh mereka-mereka dari dalam scene, kita setuju ia benar-benar terjadi dan sering berlaku pada undergrounders yang ingin kembali kepada jalan tauhid. Disebabkan kejahilan dan keinginan untuk bertaubat yang merodong kuat, mereka terbabas apabila didampingi orang yang salah, menjadi ghuluw, dan memusuhi ahlus sunnah tanpa sebab yang konkrit.

Di dalam novel ini, Pitri benar-benar mempamerkan penguasaan bahasa yang baik, dan juga kefahaman beliau tentang aliran sesat itu. Dua kualiti yang membuatkan novel ini perlu dibaca dan perlu dinilai sisi ilmiahnya. Guar Cempedak sekali lagi menjadi lokasi cerekarama, digambarkan dengan baik malah diperincikan lanskapnya membuatkan anda mampu melihat panorama yang sedang diceritakan ketika itu. Paling saya suka, Pitri berjaya mengarap novelnya menjadi hujah dengan mendedahkan modus operandi syiah satu per satu, seperti tidak menamakan aliran mereka sebagai ‘syiah’ sebelum mereka benar-benar kuat dalam sesuatu komuniti, mengkultuskan habib yang mana agama hanya diterima jika diambil dari ahlul bait, memainkan fitnah keluarga Rasulullah saw dianiaya para sahabat, atau lebih tepat lagi mereka hadir dengan jenama tarekat-tarekat yang memberi haluan istimewa untuk bertaubat, bertemu Tuhan dan nabi. Konsep pentaksuban imamiyyah dan pentadbiran revolusi Iran turut didedahkan oleh Pitri ketika Fazrul sudah mula menerima konsep serta riwayat yang dipetik dari kitab-kitab Syiah. Kepakaran Pitri dalam menyelit anekdot-anekdot supaya pembaca memahami senario yang sedang berlaku dalam proses dakyah syiah.

Ada kebenaran juga apabila, Naim yang membawa Fazrul ke ‘mahzab ahlul bait’ mendakwa masjid-masjid kampung dan negeri kebanyakan hanya menumpukan pada hal furuk. Manakala tarekat-tarekat menawarkan sesuatu yang lebih ajaib dan dirasakan penuh aura ‘ketuhanan’. Jika tidak masakan perniagaan agama seperti air 30 juzuk, ayam sunnah, kopi sunnah, capal nabi, meraikan kubur mendapat tempat di hati masyarakat. Ini kerana mereka dikaburkan dengan kempen taksub. Masyarakat akhirnya lupa Rasulullah saw datang dengan kempen akhlak, ibadah dan syariat.

Pitri al-Fateh Zainon kembali dengan karya yang serius melalui novel ‘Mencari Suci’ yang juga terdapat sedikit drama-drama romantis dan lucu didalamnya. Anda perlu dapatkan novel ini, cumanya kenapa bila sebut karya punk, Dr. Martens perlu menjadi hiasan kulit?

FACEBOOK MARHAEN LITERA

Dipetik dari Pedal To The Metal Zine isu # 3

1 ulasan:

  1. Sama jugak dgn cover buku Nazi Goreng terbitan Dubook hari tu, ada gambar kasut doc mart gak.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...