Ahad, 29 Januari 2017

MENDAKI BUKIT KETERI

Aku sebenarnya dah lama tahu pasal aktiviti rock climbing di Bukit Keteri melalui Wan@ Rizuan Taman Intan, pemilik tour agensi Khatulpica Adventure kerana kami memang kaki lepak Kedai Arai. Walaupun macam-macam yang dia cerita, tak pernah terdetik mahu ikut dia raggaih (daki) Bukit Keteri sejak dari dahulu sehinggalah terjadinya peristiwa hari ini. Ini pun secara kebetulan.



Yang sebenarnya Aku, Shahriman dan Saipul bercadang mahu panjat Bukit Jernih (rekod peribadi aku 5x) sempena masing-masing sedang bercuti di kampung. Kami siap sedia seawal 7.30 pagi. Sebaik sampai sahaja berdekatan Kilang Fermpro, kami singgah beli sarapan pagi ( ada gulai daging batang pisang sini). Nak dijadikan cerita mak cik tu tanya hala tuju kami, sebaik cakap sahaja mahu daki Bukit Jernih, terus dia canang.

“Pernah naik Bukit ni? (Bukit Keteri berhadapan kedai dia), baik naik bukit ni.. orang tak naik dah Bukit Jernih sebab hutan dan takda trek, sini lagi top. Banyak orang naik ni, baru kelmarin aja budak-budak pompuan mai dari Penang nu panjat. Tera mak cik boleh panjat”

Aku dan Man “Tu dia aih.. betoi ka? Mudah sangat kot… kami pompuan-pompuan bleh naik ni takmau laa. Kami jantan”. (dalam hati tu dia aihh.. dasyat pompuan sekarang ni)

Saipul “Jom laa kita try. Try tempat baru plak.. jom aa”

Pak cik sedang minum teh “Aleh, mudah ja naik, cam (detect) tang batu merlit (berkilat) tu trek la tu, ada 52 trek nak naik bukit tu”. Pak cik ni dia pun tak pernah naik. Tapi nak menyampuk punya pasai. Dia ingat kami ada tool kot. Dia taktau semua spiderman boroi ja.

Kami pun sepakat. Cuba daki tempat baru dan wow! Memang tak rugi, pemandangan yang menakjubkan dan penuh sensasi. Ini sedikit kajian yang aku buat tentang Bukit Keteri. Kawasan ini mula menjadi tular apabila David Lama dan pasukannya Mammut, (pendaki bukit / atlet warga negara Austria berketurunan Nepal) turun menyahut cabaran mendaki ceracak batu kapur Bukit Keteri ini, walaupun DYTM Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis terlebih dahulu membuat rekod dengan membuka laluan ‘Nix fuer Lutscher’ 8C+.

Tidak sukar mana pun jika anda berminat untuk ke Bukit Keteri ini, kerana dia terletak berhampiran Kilang Simen CIMA, berdekatan Tasik Melati, lokasinya hanya kira-kira 1 km sahaja dari Stesen KTM Bukit Keteri (12 jam dari KL keretapi biasa, naik ETS 5 jam ja). Jika memandu kereta dari KL (7 jam) melalui Jalan Mata Ayer ke Chuping, ia merupakan jalan alternatif untuk ke Padang Besar. Bukit Keteri boleh dikira popular dikalangan pendaki kerana liputan mengenainya boleh dibaca dalam rockclimbing.com, UKclimbing.com, nerdclimbing.com dan sebagainya.

Jenis bukit: Batu Kapur/Sport climbing
Kesukaran: 4A hingga 8C+
Bilangan laluan: 52
Ketinggian: 12m hingga 30m
Jumlah Bolts: 8 hingga 13
GPS Koordinat: Longitude: 100.262784 Latitude: 6.517926
Kemudahan frasarana: Boleh parkir di dataran niaga berdekatan, tiada tandas, tiada kedai runcit. Namun ada sebuah warung berdekatan ( yang jual gulai batang pisang tu lah!). Anda boleh berkhemah disitu dalam gua atau dihutan kerana kami dapati banyak tapak-tapak unggun api dan sisa makanan. Jika ingin berehat selesa di homestay juga banyak terdapat berdekatan Bukit Jernih (satu lagi kawasan pendakian dan rekreasi 5-6 km sahaja dari Bukit Keteri).


























Tiada ulasan:

Catat Ulasan