Selasa, 10 April 2018

KISAH RASULULLAH SAW DAN PENGEMIS YAHUDI BUTA YANG MENYAYAT HATI


Beberapa hari lalu, Ustaz Ebit Liew memuatkan foto-foto usaha dakwahnya mendekati golongan mak nyah di media sosial. Dia seorang pendakwah yang terkenal dalam menyantuni kanak-kanak, kutu rayau, pengemis melalui jalan tabligh. Dalam ribuan komen foto tersebut, sebahagian pengikut media sosial Ustaz Ebit Liew menyatakan mereka amat tersentuh dengan usahanya mendekati golongan LGBT. Banyak yang memberi respon pada foto Ustaz Ebit Liew sedang menyuap makanan ke mulut seorang mak nyah itu kononnya mirip akhlak Rasulullah s.a.w. Ringkasnya, ia sunnah. Mereka sandarkan pada kisah Nabi s.a.w dan seorang pengemis Yahudi.

Mahu sahaja saya membalas komen-komen itu tentang apa relevennya perbuatan ini dengan kisah-kisah dusta atas nama nabi? Tetapi mengenangkan netizen amat 'defensive' terhadap ustaz kesayangan mereka di media sosial, saya pun diamkan sahaja. Saya pernah berdebat panjang dalam satu page kerja-kerja amal yang membawa kisah ini untuk mempromosi kegiatan mereka. Apabila ditegur mereka melenting. Malah mereka menghentam saya katanya saya semberono mengatakan mereka menjaja kisah palsu. Kata mereka "Ada aku cakap ini hadis?", "Kami tidak pernah tulis pengemis buta itu Yahudi.. kau yang kata Yahudi?"

Bila diminta bawakan teks penuh dan nama perawi, Mereka kata cerita mereka sebarkan itu bukan hadis, tetapi sekadar kisah?  Cara orang Melayu memahami dan mempraktikkan sunnah amat aneh. Sebagai contoh dalam taklimat diet sihat Go Fit di pejabat saya tempoh hari. Dietician telah menyarakan kepada kami agar mengunyah makanan 44 kali  seperti Nabi s.a.w. Saya pun memberitahu rakan-rakan bahawa itu bukanlah perbuatan sunnah. Ia baik tapi bukan sunnah. Jawab seorang rakan kami, bahkan dia antara yang paling bijak dan berjawatan bagus. "Taklah. Dietician itu bukan kata ia sunnah. Kau yang tak dengar betul-betul. Dia cakap- kunyah makanan 44 kali macam nabi". 

Lantas apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan sunnah?

Mungkin hangpa semua tertanya-tanya, awat aku duk kalut sangat dengan kisah ni? 

Sebenarnya saya sendiri terjebak dalam menyebarkan kisah dusta ini 10 tahun lalu ketika dilantik menjadi editor buletin Jabatan tempat saya bertugas dahulu. Di antara kandungan buletin itu adalah kolum agama yang disediakan khas buat seorang ustaz di Jabatan kami. Lalu dia pun menyumbangkan kisah itu. Oleh kerana displin ilmu yang lemah, saya tidak tabayyun lalu masukkan kisah itu ke dalam buletin, ia terus cetak sebaik disahkan oleh bos. Buletin itu diedarkan seluruh Malaysia. Bayangkan rasa bersalah yang saya tanggung setelah mengetahui status kisah itu.

Maka sebab itulah setiap kali saya melihat kisah ini disebarkan di internet. Saya amat terganggu.

Ikuti kisah popular tersebut. Ironinya ia dipetik dari laman rasmi Jabatan Agama Islam Perak:

Rasulullah s.a.w. dan pengemis Yahudi buta
Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata "Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya". Setiap pagi Rasulullah s.a.w. mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah s.a.w. menyuap makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah s.a.w melakukannya hingga menjelang Nabi Muhammad s.a.w. wafat. Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.

Suatu hari Abubakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan", Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya, "Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja". "Apakah itu?", tanya Abubakar r.a. Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke ujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana", kata Aisyah r.ha.

Keesokan harinya Abubakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abubakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepada nya. Ketika Abubakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, "Siapakah kamu ?". Abubakar r.a menjawab, "Aku orang yang biasa". "Bukan !, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", jawab si pengemis buta itu. Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri", pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abubakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w. Setelah pengemis itu mendengar cerita Abubakar r.a. ia pun menangis dan kemudian berkata, benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia.... Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat dihadapan Abubakar r.a.

Pautan:
http://jaipk.perak.gov.my/kisah-dan-tauladan/108-rasulullah-saw-dan-pengemis-yahudi-buta


STATUS HADIS DI ATAS: TIDAK SAHIH

Analisis Kisah

Kisah ini tidak terdapat dalam kitab-kitab sunnah yang bersanad
Kisah ini bertentangan dengan beberapa fakta dan hadis sahih, antaranya:
Tiada orang Yahudi tinggal di Madinah ketika wafatnya Nabi salallahu alaihi wasallam.
Ketika Nabi salallahu alaihi wa sallam tinggal di Madinah, Islam dan kaum Muslimin dalam keadaan kuat. Para sahabat tidak akan membenarkan sesiapa pun mempersendakan Nabi salallahu alaihi wasallam. Seorang Yahudi pernah dilempang oleh seorang sahabat Ansar hanya kerana dia memuji-muji Nabi Musa (untuk merendahkan Nabi Muhammad).


PENILAIAN TERPERINCI

1. Kisah tersebut tidak jelas sanadnya/jalur datangnya hadis, sumbernya tidak ada, perawi tidak ada, darjat hadisnya juga tidak jelas, dan tidak akan kita temui dalam kitab-kitab para ahli hadis.

2. Tertulis di kisah itu bahawa kejadian tersebut terjadi di Madinah pada masa akhir kehidupan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, padahal kita ketahui bahawa masa itu Madinah telah lama dikuasai oleh umat Muslim dan Rasulullah sebagai pimpinannya. Jadi tidak mungkin seorang Yahudi secara terang-terangan menghina Rasulllah sallallahu 'alaihi wasallam di depan khalayak ramai atau di pasar.

3. Matan (kandungannya) bertentangan dengan firman Allah Ta'ala dalam Al-Qur’an Surat Al-Fath 29: "Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka, kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya, . . ." (Quran, surah Al-Fath: 29)

4. Matan (kandungannya) bertentangan dengan firman Allah SWT di Al-Qur’an Surat Al-Maidah 54: "Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela." (Quran, surah Al-Maidah: 54)

5. Matan (kandungannya) bertentangan dengan hadis yang lebih kuat tentang Ka’ab bin al-Asyraf, (Yahudi yang membuat propaganda untuk merosakkan Piagam Madinah, membuat syair-syair melecehkan wanita Islam) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Siapa yang bersedia membunuh Ka’ab al-Asyraf untuk aku.” Muhammad bin Maslamah saudara Bani Abdul al-Asyhal berkata, “Aku bersedia melakukannya untuk kamu ya Rasulullah, aku akan membunuhnya.” Baginda berkata, “Lakukanlah jika engkau mampu.” Dia berkata, “Ya Rasulullah, apa yang mesti kita katakan.” - Baginda berkata, “Katakanlah oleh kalian, ‘Apa yang tampak bagi kalian, kalian bebas dalam hal itu.’ (Diriwayatkan oleh al-Bukhari hadis no.2510, 3031, 3032. dalam kitab ringkasannya hadis no.4037. Muslim hadis no.1801 dari hadits Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anhu). Sesiapa yang ingin mengetahui lebih jauh tentang kisah Ka’ab bin al-Asyraf dapat merujuk kitab “Al-Bidayah wa al-Nihayah karya Ibnu katsir, jilid IV/6-10. Fathul Bari (V/169), (VI/184-185) dan (VII/ 390-395). Syarah Muslim an-Nawai (XII/403) dan kitab rujukan lainnya.

6. Matan (kandungannya) bertentangan dengan hadis yang lebih kuat yang diriwayatkan dari Ibnu 'Abbas, beliau menuturkan, pernah ada seorang lelaki buta memiliki seorang budak perempuan, dan budak ini mengandung anaknya. Budak perempuan itu sering sekali mencaci Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan mencelanya. Lelaki tadi melarangnya, namun budak tersebut tidak mahu berhenti; dan dia mencegahnya, namun budak perempuan tadi tidak dapat dicegah. Kemudian pada suatu malam budak perempuan tadi mencela Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan mencaci baginda. Maka si lelaki tadi mengambil mighwal (pedang tipis) dan meletakkannya di atas perut wanita tadi, lalu menindihnya sehingga dia terbunuh. Tapi bersamaan dengan kematiannya, bayi yang dia kandung keluar dari kelangkangnya. Faraj perempuan itu penuh dengan darah. Esoknya, kejadian itu disampaikan kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Lalu baginda mengumpulkan para sahabatnya dan bersabda, "Aku bersumpah kepada Allah untuk mencari lelaki yang telah melakukan apa yang dilakukannya, dan aku berkewajiban untuk menghukumnya, kecuali jika dia memberikan hujah." Kemudian seorang lelaki buta datang dan berjalan melewati orang-orang dengan badan gemetar sehingga dia duduk di hadapan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Sejenak dia berkata, "Ya Rasulullah, aku-lah pemilik budak itu. Dia selalu mencaci dan mencelamu. Telah kularang dia, tapi tetap sahaja dia tidak mahu berhenti. Dan telah kucegah dia, tapi dia tidak dapat dicegah. Aku memiliki dua orang anak dari hubunganku dengannya seperti dua buah permata, dan dia pun sangat sayang kepadaku. Namun semalam, dia kembali mencaci dan mencelamu. Lalu aku ambil pedang dan aku letakkan di atas perutnya. Kemudian aku tindih dia sehingga dia mati terbunuh." Mendengar kesaksiannya, maka Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda; "Saksikanlah oleh kalian semua bahawa darahnya (budak perempuan itu) tumpah sia-sia." (Hadis riwayat. An-Nasa'i dan Abu Dawud).

7. Matan (kandungannya) bertentangan dengan hadis yang lebih kuat: Ibnu 'Abbas berkata, "Seorang wanita daripada kabilah Khathamah, bernama Asma' binti Marwan, mengejek Nabi sallallahu 'alaihi wasallam melalui syairnya. Mendengar ejekan tadi, Nabi berkata kepada para sahabatnya, "Siapa yang siap menyelesaikan urusan wanita itu untukku?" Seorang lelaki bernama Umair bin Adi bin Al-Khatami berdiri, "Aku" Lalu dia pergi mencari wanita tadi lalu membunuhnya. Setelah menyelesaikan tugasnya, dia langsung kembali dan melaporkan kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Baginda pun kemudian bersabda, "Kambing betina sudah tidak lagi boleh menanduk." Umair lalu menuturkan, "Lalu Nabi sallallahu 'alaihi wasallam berpaling kepada para sahabat yang ada di sekelilingnya, dan kemudian berkata, "Apabila kalian ingin melihat seorang lelaki yang menolong Allah dan Rasul-Nya secara diam-diam dan tidak diketahui orang, maka lihatlah kepada Umair bin Adi." (Disebutkan oleh Ibnu Taimiyyah dalam Ash-Sharim Al-Maslul, hlm. 95).

8. Selain itu di akhir cerita menceritakan bahawa Abu Abu Bakar Ash-shidiq berbohong, apakah sahabat setaraf Abu Bakar Ash-shidiq r.a berbohong? Sila lihat perenggan akhir kisah itu: Abu Bakar menjawab, "Aku orang yang biasa." "Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku," bantah si pengemis buta itu "Apabila dia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut setelah itu dia berikan kepadaku." Abu Bakar tidak dapat menahan air matanya, dia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang kepadamu. Aku ialah salah seorang daripada sahabatnya. Orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam."

Demikian penjelasan singkatnya, Wallahu'alam bishowab.

Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut memberikan penjelasan tentang Kisah Nabi SAW dan Pengemis Yahudi Buta.

4 ulasan:

  1. Kata mereka "Ada aku cakap ini hadis?" ... Mereka kata kisah mereka tentang nabi itu bukan hadis, tetapi sekadar kisah?

    "Taklah. Dietician itu bukan kata ia sunnah. Kau yang tak dengar betul-betul. Dia cakap- kunyah makanan 40 kali macam nabi"

    ayat nak escape tapi kurang cerdik

    BalasPadam
    Balasan
    1. Aku tak reti nak cakap apa dah bila depa kata gini. Takpa la.. pelan-pelan kenai la hadis tu apa. Moga diberi kefahaman agama pada kita semua.

      Padam
  2. Perkongsian yg amat baik...amin .muga menjadi iktibar buat saya..

    BalasPadam