Perkampungan Sunnah adalah sebuah program dakwah & islah hasil buah fikiran Dr. Maza sebaik sahaja dilantik menjadi Mufti Negeri Perlis semula pada 2015, buat kali kedua. Perkampungan Sunnah kini telah menjadi satu tarikan kuat penuntut ilmu berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah dari rantau ini. Asalnya program ini diwujudkan sebagai saluran untuk mengubah pandangan serong masyarakat luar terhadap fahaman Islam di negeri Perlis. Namun ia telah mendapat sambutan diluar jangkaan dan terus dikembangkan sebagai medan ilmu dan kefahaman luas dalam manhaj salafus soleh. Kerjasama yang hebat antara Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Malaysia telah menjadikan acara ini sebagai penjana ekonomi masyarakat setempat apabila hadirin yang datang akan mengambil kesempatan ini untuk makan malam di Kuala Perlis, membeli belah di Padang Besar, melawat tempat rekreasi, membeli produk mangga Harumanis, ikan pekasam di Timah Tasoh dan berkunjung ke nat pokok getah di Pauh. Program ini dirancang dengan rapi sebanyak 2 kali setiap tahun.
Semua orang tahu, Dr Maza seorang yang idealis dan sangat tektikal. Perkampungan Sunnah sangat dicemburi oleh seterunya, malah boleh kita lihat kecaman di media-media sosial seperti “ zaman Rasulullah saw takda pun program perkampungan sunnah. Orang buat bid’ah tak boleh. Kau buat boleh?”.
Ia dijawab secara sarkastik oleh beliau "Zaman Rasulullah saw bukan setakat kampung, bahkan baginda buat negara sunnah".
Ini antara contoh kefahaman masyarakat yang ingin dibahaskan
dalam Perkampungan Sunnah. Namun mereka hanya mahu mengecam. Dengar hujahnya,
tak mahu!
Dalam penganjuran pertama pada tahun 2015, telah direkodkan
10,000 kehadiran umat Islam yang antaranya datang jauh dari Krabi, Thailand;
Aceh dan Jawa Timur Indonesia. Tetapi dalam siri ke 5 hari ini saya rasa,
jumlah kehadirannya lebih ramai namun disebabkan seluruh agensi berita masih
tertumpu pada kejutan kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU-14 dan perlantikan Dr.
M sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7, kali ini tiada media massa yang melaporkan
tentang perkembangan program ini. Namun kita tidak bimbang, PromediaTajdid
dan Suara Sunnah Channel telah dilantik sebagai agen siar raya dan portal
siaran langsung untuk membuat liputan penuh acara ini. Mereka benar-benar
menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan cemerlang. Ribuan penonton dapat
mengikuti Perkampungan Sunnah dari jauh atas usaha mereka.
Kali ini rasanya lebih ramai saudara-saudara dari Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura datang membanjiri Masjid Alwi. GASMA menyediakan sebuah bas rombongan yang bergerak dari Johor ke Perlis.
Pentingkah program seperti Perkampungan Sunnah ini? Bagi saya, YA. Kerana masih ramai yang tidak terdedah dengan metodologi As-Sunnah dalam peribadatan dan bangga dalam mengamalkannya. Ada mereka hanya terbaca mengenainya, ada yang sebelum ini hanya melihat kuliah & kajian sunnah di internet tetapi masyarakat setempatnya mengamalkan berbeza, ada yang sudah yakin namun masih bimbang untuk beramal kerana rasa bersendirian. Maka, apabila hadir ke Perlis.. ia memberi "ainul yakin" (keyakinan setelah melihat sendiri) buat mereka bahawa ada negeri atau masyarakat yang mementingkan manhaj salafus soleh bagi setiap tabiat agama.
Pentingkah program seperti Perkampungan Sunnah ini? Bagi saya, YA. Kerana masih ramai yang tidak terdedah dengan metodologi As-Sunnah dalam peribadatan dan bangga dalam mengamalkannya. Ada mereka hanya terbaca mengenainya, ada yang sebelum ini hanya melihat kuliah & kajian sunnah di internet tetapi masyarakat setempatnya mengamalkan berbeza, ada yang sudah yakin namun masih bimbang untuk beramal kerana rasa bersendirian. Maka, apabila hadir ke Perlis.. ia memberi "ainul yakin" (keyakinan setelah melihat sendiri) buat mereka bahawa ada negeri atau masyarakat yang mementingkan manhaj salafus soleh bagi setiap tabiat agama.
Ni kawan saya, Faiz ATOMIC DEATH yang datang awal sehari untuk mengikuti Perkampungan Sunnah. Ahlan wasahlan.
Sarapan pagi orang laut, Khao Mok.
Sempat cuba Nasi Daging Ehem-Ehem bertempat dihadapan Shell Jalan Kaki Bukit, berdekatan Telekom, Masjid Tunku Syed Putra yang diusahakan sahabat kami, Bain.
Singgah Timah Tasoh sebelum bergerak ke Padang Besar.
Setiap kali Perkampungan Sunnah dihidupkan dengan satu tema pilihan. Tema yang dipilih kali ini adalah “Pembersihan Jiwa Menurut Sunnah”. Ia begitu sesuai oleh kerana pada hari ini permintaan terhadap jualan agama yang semakin laris. Boleh dikatakan permintaan terhadapnya adalah paling laris dan mudah diekploitasi. Apa sahaja produk dengan penjenamaan agama pasti mendapat perhatian. Kenapa? Kerana manusia secara fitrahnya perlukan ‘spiritual healing’, perlukan satu kedamaian rohani setelah letih dan kecewa dalam arus urbanisasi. Tokoh-tokoh politik yang insaf, mahu kembali pada agama. Selebriti dan artis yang insaf, mahu mencari agama. Orang ramai yang insaf, mahu kembali pada agama. Dan mereka pasti tertarik pada jalan mudah, ringan dan mirip hiburan yang mereka selesa. Ini dipasarkan secara meluas oleh aliran tarekat dan kesufian. Manakala aliran sunnah dilihat lebih gemar menghukum, fiqahnya ketat dengan imej penganas. Mereka seterusnya terjerumus dalam tarekat kesufian yang tercemar dengan falsafah Yunani, Greek dan Hindu. Apa yang mereka rasa sebagai pembersihan jiwa itu sebenarnya lebih mirip kepada kerahiban dan kependitaan, sedangkan tazkiyatun nafs menurut acuan sunnah adalah sesuatu yang berbeza.
Sepanjang Perkampungan Sunnah siri 5 dengan tema “Pembersihan Jiwa Menurut Sunnah” ini, boleh saya katakan para asatizah mentadabbur ayat Al-Quran berikut bagi memahami proses penyucian jiwa yang disarankan Allah SWT:
“Sebagaimana Kami telah mengutus kepadamu seorang Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepadamu, dan menyucikan(diri)mu, dan mengajarkan kepadamu Al kitab (Al Qur-an) dan Al Hikmah (As Sunnah), serta mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui.” (Al Baqarah: 151)
"Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan". (Al-Faatihah: 5)
“Wali-wali Allah itu ialah orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa”. (Surah Yunus: 63)
“Dan mereka berkata, "Mengapa Rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak) (diturunkan kepadanya malaikat, agar malaikat itu memberikan peringatan bersama dengan dia?) maksudnya sebagai saksi membenarkan kerasulannya.” (Al-Furqan: 7)
“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami berikannya kuasa untuk melakukan kesesatan yang telah dipilihnya itu dan pada hari akhirat kelak Kami masukkannya ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali”. (An Nisa: 115)
"Bahwa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim" (Al-Anbiya: 87)
“Dan Kami turunkan dari Al Qur`an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan Al Qur`an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian”. (Al Isra` : 82)
Maulana Fakhrurrazi, Musyrif Pusat Pendidikan Darul Quran Wal Hadith Kuala Kangsar membuka tirai Perkampungan Sunnah pada pagi Jumaat itu melalui kuliah Subuh bertajuk "Wali Allah vs Wali Syaitan".
Bawa rakan-rakan cuba nasi ganja Pak Daud di Jejawi. Tarabaz, pemukul dram HEREAFTER, IRON MOTH pun ada. Ah Chuan ada. Diken pun ada.
Bawa Tarabaz dan Faiz tinjau sempadan Bukit Batu Putih Buaya dan Pulau Brasmana. Tu belakang ada 'that Wahabi Tree".
Sempat lari ke Pusat Pertanian Bukit Bintang untuk cuba produk Harumanis. Set pulut dan jus RM10. Ais krim medium size, RM3. Bukit Bintang ni bukan di KL tapi nama tempat ni Sungai Batu Pahat. Bukan di Johor.... di Perlis ya! haha!
Seterusnya kami ke Masjid Alwi semula untuk solat Jumaat. Khutbah disampaikan oleh Mufti Negeri Perlis, Dr. MAZA.
Terjumpa bekas majikan lama, Halid. Pewaris Nasi Kandar Gany.
Antara yang menarik tentang Perkampungan Sunnah adalah pemberian kitab percuma dari Jabatan Mufti Negeri Perlis. Ini baru sebahagian, tidak termasuk kitab-kitab yang sukar diperolehi dijual di reruai dengan potongan harga dari 20% hingga ke 50%.
YTM Raja Muda Perlis bersama Dr MAZA melawat reruai dan gerai, antara yang kelihatan toko Santai Ilmu milik Ustaz Syihabudin Ahmad atau USA yang sering muncul dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O. Kitab-kitab terjemahan beliau dan tulisan beliau sendiri adalah pilihan yang bagus dan berkualiti. Ustaz Syihabudin anak Perlis.
Kawan saya Zamri Vinoth turut membuka reruai One Centre Malaysia yang dipenuhi akhwat yang manis-manis belaka. Mereka bertugas sebagai sukarelawan menyediakan peraduan untuk kanak-kanak, mengedar pamplet dakwah dan memperkenalkan program Street Dakwah yang diseliakan Zamri Vinoth sendiri.
Bagi saya reruai Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin yang menawarkan khidmat lukis potret dan satu lagi reruai penjual tshirt figura tokoh-tokoh Islam adalah kurang menepati kempen taat sunnah di sini. Mana boleh orang sunnah terbabit dalam melukis potret-potret manusia dan menjual pula baju-baju gambar bayangan sahabat dan tokoh-tokoh?
Jadual Perkampungan Sunnah padat dengan pengisian pelbagai kuliah, forum, talk show, dan kupasan kitab-kitab bermula dari waktu subuh sehingga setelah waktu isyak. Ada banyak lagi aktiviti lain seperti Kayuhan MAIP Peduli bersama Raja Muda Perlis, latihan memanah, peraduan mewarna, kuiz, doodle atau sekadar berkenal-kenalan. Saya jumpa Bruce, Aizat yang saya kenal dari sosmed, begitu juga brader yang menunggang kapchai dari Penang ke Perlis untuk mengikuti kuliah Dr Maza pada setiap hari Selasa. Gigih sungguh beliau menuntut ilmu.
Sempat bawa Faiz melihat Sungai Berembang dan tinjau Pulau Langkawi dari kejauhan sebelum berangkat ke Masjid Alwi semula untuk mengikuti Kuliah Magrib Dr Maza dan Forum "Destinasi Yang Benar, Jalan Yang Salah" oleh panelis Syeikh Hussein Yee dan Ustaz Farid Achmad Okbah.
Ustaz Farid Achmad Okbah, adalah peneliti kesesatan ajaran Syiah, Ketua Majlis Syura Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia dan juga ketua Yayasan Al Islam Bekasi. Pada tahun 1990-92 dulu, beliau pernah menjadi imam di Islamic Centre Sidney, Australia. Kata beliau sewaktu memulakan forum, "Perkampungan Sunnah sudah mula terkenal di Indonesia, rata-rata orang merasakan ia sebuah kampung yang terdiri blok-blok rumah, yang dihuni masyarakat yang mengamalkan sunnah, berjanggut, masing-masing berpoligami, .. haha.. setelah datang ke sini ternyata ia bukan kampung, tetapi nama untuk kuliah-kuliah dan kajian-kajian". Mungkin Ustaz Farid berseloroh.
Sedih juga bila nak balik. Selipar baru beli seminggu ke curi. Nampaknya pembersihan jiwa masih belum cukup puak ni? Tunggu punya tunggu, kot-kot ada orang pinjam ke tandas. Takda juga. Maka baliklah dengan kaki ayam.
OK. Tentang pakai jubah. Dulu saya memang menongkah arus bab ini. Saya sering pakai tshirt rock, tshirt hitam ke kuliah. Konon zuhud dan ada jati dirilah. Tetapi Dr MAZA sering pesan, kalau mampu perelokkan diri, perelokkanlah. Lebih lagi bila datang ke masjid dan bersosial dalam majlis ilmu. Ia sunnah. Dalam syarah hadis Jibrail tentang Islam, Iman dan Ehsan menceritakan malaikat pernah datang mengadap nabi di hadapan sahabat dengan jubah putih bersih dan kacak. Memberi isyarat adab yang perlu diterapkan pada setiap penuntut ilmu. Katanya, Imam Malik r.a tidak akan keluar mengajar tanpa berhias diri. Imam Malik sangat pentingkan penampilan. Saya masih ingat lagi pesanannya dalam kuliah Magrib terakhir sebelum Perkampungan Sunnah Siri 1 bermula, Dr Maza minta semua orang Perlis berketerampilan di Perkampungan Sunnah. Jangan selekeh, pakai cantik-cantik untuk sambut tetamu yang datang dari jauh ke masjid kita.
Sejak itu saya jarang ke masjid dalam keadaan selekeh lagi.
Betapa kami semua merindui kuliah beliau. Kami rata-rata belajar iktikaf di bulan Ramadan dari Ustaz Abdullah Yasin. Kawan-kawan kami yang bermanhaj salaf, tradisionalis semua sukakannya. Kami tahu sikit sebanyak tentang sunnah darinya.
Nabi صلى الله عليه و سلم berdoa setiap pagi, dengan doa:
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْماً نَافِعاً، وَرِزْقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Allahumma Inniy As-aluka ‘ilman naafi’an, wa rizqon thoyyiban, wa ‘amalan mutaqobbalan.
Kemuncak ilmu yang bermanfaat adalah segala jenis ilmu yang menyempurnakan ibadatmu - Ustaz Abdullah Yasin memetik kata Syeikh Abdul Rahman ibn Nasir al Sa'adi dalam tafsirnya.
Bagi yang bermusafir secara budget rendah. Tidak perlu risau, selain boleh beriktikaf di masjid, pihak JPAM hari itu turun membenarkan para hadirin untuk bermalam di pejabat mereka. Ada Jamuan Sabil yang diuruskan menyediakan makanan percuma kepada para hadirin secara non-stop sepanjang 3 hari itu. Selain gerai-gerai makanan yang diusahakan orang ramai dan juga para asnaf.
Seterusnya Kuliah Duha disampaikan oleh Dr Kamilin Jamilin, Ahli Majlis Fatwa KL bertajuk "Penilaian Kitab Ihya Ulumuddin". Beliau terkenal dengan hafalan yang baik serta penyampaian yang santun.
Antara perkara yang perlu dititikberatkan pada masa akan datang adalah, jumlah tandas yang ada. Oleh kerana ramai orang beriktikaf di masjid, hampir setiap masa tandas yang berjumlah 5-6 bilik itu dipenuhi orang. Bagi yang datang dengan kenderaan sendiri mereka pergi membersihkan diri di Masjid Putra, tetapi bagi kanak-kanak dari madrasah dan tahfiz, mereka terpaksa bersesak-sesak disitu menunggu giliran. Mungkin pada PS6 pihak penganjur boleh sediakan tandas bergerak seperti yang ada di konsert-konsert.
Ada free market untuk orang ramai menyumbangkan apa sahaja dan ambil apa sahaja . Ada klinik pergigian bergerak dan pemeriksaan payudara.
Manakala antara hadis yang sering disyarahkan:
Dari Abu Hurairah, ia berkata : Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya aku meninggalkan pada kalian dua perkara yang kamu tidak akan
sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduanya, yaitu : Kitab Allah dan
Sunnahku“. [HR. Ibnu Abdil Barr, dalam Al-Istidzkar juz 26, hal. 98]
“Ingatlah bahwa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika
ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rusak, maka rusak pula seluruh
jasad. Ketahuilah bahwa ia adalah qalbu (jantung)” (HR. Bukhari no. 52 dan
Muslim no. 1599).
Kalam imam mujtahid pilihan saya:
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya awal mula talbis
(pengkaburan/perangkap) Iblis untuk menjerumuskan manusia ke dalam kesesatan
adalah dengan menghalangi (memalingkan) mereka dari ilmu agama yang bersumber
dari Al Qur’an dan As Sunnah, kerana ilmu agama itu adalah cahaya yang
menerangi hati, maka jika Iblis telah berhasil memadamkan lampu-lampu cahaya
mereka, dia akan mampu mengombang-ambingkan dan menyesatkan mereka dalam
kegelapan (kesesatan) sesuai dengan keinginannya.” (Imam Ibn Jauzi, Kitab
Talbiisu Ibliis, hal. 389)
Ke Padang Besar untuk kali ke 2. Singgah sebentar di Terinai. Seperti biasa jika ke Padang Besar jadi tak sah jika tak makan Pulut Ayam Mak Teh.
Singgah pula ke Taman Ular. Kembali ke Masjid Alwi untuk mengikuti Kuliah Dr Maza dan Forum "Tawazun Antara Dunia & Akhirat". Panelis Dr RoRa dan Dr Fathul Bari Mat Jahya. Hujan lebat malam itu, kami bertempiaran lari masuk masjid dan menonton dari skrin sahaja. Malam itu juga saya bertuah kerana jumpa semula selipar yang dicuri malam tadi!!
Hari terakhir Perkampungan Sunnah bermula dengan Kuliah Subuh "Tanda Hati Yang Kotor" oleh Ustaz Ahmad Hasyimi Che Pa. Kami seterusnya ke market (pasar basah) Kangar. Faiz perlu cuba juga nasi kandar Nuun dan kopi panas Hwa Teik.
Penulis novel, Pitri al-Fateh pun hadir.
Kami kembali semula untuk Kuliah Duha Dr Rora, disebabkan kecederaan lutut 'meniscus tear' kembali menyerang. Saya duduk diluar masjid dan ikuti kuliah melalui skrin sahaja. Sedap pula kupasan Dr Rora mengenai Kitab Ighathah al Lahfan. Kopi Madina dibawah tu adalah produk anak Perlis. Sedap juga.
Kerana tak tahan duduk kat luar seorang diri. Masuk juga ke dalam masjid dan duduk atas kerusi untuk menonton Forum "Tablis Iblis dalam Kerohanian". Panelis Dr Mohd Azrul Azlen dan Mat Malaya. Saya kadang-kadang setuju juga dengan ketegasan Mat Malaya dan penyampaiannya dalam hal-hal yang membabitkan akidah. Ia bukan ringan dan kita perlu orang lantang dan keras sepertinya untuk menyedarkan masyarakat.
Kami tidak mengikuti kuliah magrib dan forum terakhir kerana kecederaan lutut saya yang semakin serius. Kesian pula Faiz yang datang dari jauh, tidak dapat ke sana kerana saya. Apa pun moga beroleh ilmu yang bermanfaat sepanjang berada di Perlis, bro.
menarik tema dan tajuk2 kuliah.. selamat berpuasa dan membersih jiwa
BalasPadamSama-sama tuan. Moga kita beroleh keampunan.
Padam