Sabtu, 19 Mei 2018

FITNAH: KESAN & IMPLIKASI (ITBM)


Buku ini saya dapat melalui edaran percuma di Perkampungan Sunnah siri 5, Masjid Alwi, Kangar yang telah berlangsung 2 hari selepas Pilihanraya Umum ke 14. Pakatan Harapan (PH) telah menang majoriti kerusi Parlimen sekaligus Tun Dr Mahathir mencipta sejarah negara sebagai Perdana Menteri ke 7 yang dilantik buat kali kedua mengikut sistem demokrasi dan Perlembagaan Malaysia. Di usia Tun M yang mencecah 93 tahun pada tahun ini menjadikan dia perdana menteri tertua dalam sejarah Malaysia dan dunia! Apa yang menarik pula tentang buku ini, kata pengantarnya ditulis oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. 

Buku Fitnah: Kesan & Implikasi adalah karya Prof Abdulrazzaq Abdil Muhsin Al-Badr, Universiti Islam Madinah, Saudi Arabia. Dalam buku ini tertulis, jawatan Abdulrazzaq Abdil Muhsin Al-Badr adalah mufti Masjid An-Nabawi, Madinah. Namun menurut Fadhilatus Syaikh Prof Dr Mahmud Bin Abdul Rahman Qadah, Timbalan Rektor Universiti Islam Madinah, di Arab Saudi hanya ada seorang mufti, iaitu Mufti Am Negara Samahatus Syaikh Abdul Aziz Alu Al Syaikh. Tiada mufti-mufti wilayah seperti Mufti Mekah, Mufti Madinah, Mufti Qashim, Mufti Jeddah. Sebaliknya yang dimaksudkan kebanyakan orang dengan Mufti Madinah adalah pemberi fatwa di Masjid Nabawi yang terdiri daripada sebilangan alim ulama yang terpilih. Dan maksud dari mufti Makkah pula ialah alim ulama yang bertugas sebagai pemberi fatwa di Masjidil Haram. 

Buku ini diterjemahkan oleh Dr Fathul Bari Mat Jahya, ulama muda dari parti pembangkang yang tidak asing lagi terutamanya di Perlis. 

Prakata dari Dato’ Sri Najib jelas menzahirkan kebimbangan beliau pada capaian teknologi maklumat hari ini yang manjadi pemangkin kepada fitnah. Katanya, “fitnah perlu dibendung dan dihapuskan. Kita tidak mahu negara yang dicintai, yang kita bersama mengembeleng tenaga membangunkannya menjadi luluh lantak angkara fitnah”. 

Buku ini sarat dengan pendalilan dari Al-Quran dan hadis sebagai panduan dalam mengelak dan menghadapi serangan fitnah. Ia bentangkan dengan terperinci termasuk kisah pengajaran dan teladan yang berlaku di zaman sahabat dan tabiin. Sebanyak 12 implikasi dan akibat dari fitnah merangkumi diri seorang muslim hingga kepada sebuah kerajaan telah dikupas dalam buku ini. 

Perlu dimiliki. 

Hubungi: 
Tel: 603-41451800 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan