Sabtu, 22 September 2018

MENJEJAKI PERLIS FLOATING MARKET

MENJEJAKI PASAR TERAPUNG KAMPUNG TOK KUNING, PERLIS

Foto kredit: Perlis Aktif 

Antara kawasan yang menjadi tarikan utama pelancong ke selatan Thailand adalah floating market atau pasar terapung. Tiga pasar terapung terkenal di sana iaitu Klong Hae Floating Market, Hatyai Floating Market dan Ban Pru Floating Market yang menyasarkan pelancong Malaysia itu bukanlah pasar tradisional orang Thai seperti yang kita lihat di Damnoen Saduak atau Taling Chan, tetapi sampan-sampannya hanyalah replika. Para peniaga yang majoritinya Muslim akan datang dan masuk menjual makanan didalam sampai yang beroperasi sebagai reruai.

Perlis suatu ketika dahulu telah cuba memperkenalkan floating market ini di Denai Larian Pengkalan Assam namun atas beberapa kelemahan tertentu, kawasan rekreasi itu gagal dimanfaatkan sebagai medan peniagaan rakyat.

Pada hari ini, Kelab Memancing & Rekreasi Negeri Perlis telah menganjurkan floating market di Jeti Tok Kuning, Kangar, yang mana DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis telah berkenan berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan majlis perasmiannya. Perlis Floating Market ini akan diadakan 2 minggu sekali pada sebelah petang bermula jam 3.00 petang sehingga 7.00 malam (sebelum Maghrib). 









Pada waktu sama, Kelab Memancing & Rekreasi Negeri Perlis akan turut menyediakan perkhidmatan rekreasi bot menyusuri Sungai Kuala Perlis sehingga ke Persisiran Kuala Perlis (Masjid Terapung) dan akan berpusing balik ke Jeti Tok Kuning dengan bayaran RM15. 

Menurut pemerhatian kami, peniaga-peniaga di Perlis Floating Market mengunakan perahu nelayan yang sebenar (pukat pun masih ada dalam bot) dan menjual dagangan mereka di jeti sebenar. Keadaan ini jauh lebih asli, lebih unik berbanding di Selatan Thailand! Bagaimanapun fasiliti untuk kemudahan orang ramai haruslah dibangunkan jika kawasan ini mula menjadi tumpuan pelancong sebagaimana popularnya nat pokok getah, di Pauh, Arau. 

Anda boleh mencari lokasi ini mengunakan mercu tanda Muzium Almarhum Kayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan