Apabila pulang bercuti di kampung (sudah menjadi rutin bulanan saya pulang ke kampung setiap kali dapat gaji) Mad Duha, presiden PEKETUM ajak saya temani dia menjejak sebuah lokasi hutan terpelihara berdekatan bandar Hatyai. Orang Perlis seperti kami tidak perlukan perancangan rapi untuk ke Thailand. Sebut aja bila waktunya? Dalam masa tak kurang 30 minit bertemulah kami di Padang Besar. Saya parkir Volvo buruk di pejabat Kastam dan membonceng bersama Duha. Rupa-rupanya beliau ada misi utama selain menjejaki Ton Nga Chang iaitu pandu uji motorsikal Benelli RFS 150 yang baharu dibelinya.
Perjalanan kami dari sempadan Thailand-Malaysia, pekan Padang Besar ke Ton Nga Chang sepatutnya hanya mengambil masa 1 jam dengan jarak sekitar 62 km. Namun kami sedikit tersasar. Rasanya tidak perlulah saya ceritakan liku-liku perjalanan kami yang langsung tidak mencabar! Ha! Ha! Mad Duha akhirnya mengalah dan guna Google Maps aja. Asalnya dia nak tunjuk terrer!
Hutan Ton Nga Chang digazet sebagai kawasan perlindungan haiwan liar terutamanya tapir sejak 1978. Keindahan air terjunnya pasti memukau siapa sahaja yang datang berkunjung. Tiket yang dikenakan kepada pelancong asing adalah 200 baht (RM28) namun melalui kelicikkan Mad Duha, kami hanya membayar tiket harga warga tempatan sahaja (RM17) , Mad Duha arahkan saya mengunci mulut sewaktu kami melintas pondok pengawal. Bodohnya mereka kerana tidak sedar no. plat motorsikal kami. Mungkin hujan lebat mengaburkan pandangan mereka?
Tinggal lencana!
Bagi mereka ia perlindungan. Bagi kita syirik besar.
Kami tiba di kaki gunung Ton Nga Chang sekitar jam 3.00 petang. Hanya ada beberapa orang tempatan sedang beradu cinta dan berswafoto di kawasan taman. Air terjun menderum dan hutan tropika menghijau itu seolah-olah milik kami. Mungkin petugas-petugas di situ menyangka kami gila kerana berani berlibur di tempat yang tinggi risikonya ketika hujan dan ribut. Ada 7 aras air terjun berlainan puncak yang mempunyai keunikan tersendiri. Pada aras 3 airnya membentuk seolah-olah gading gajah yang diabadikan sebagai nama tempat ini. Aras pertama dikatakan kawasan paling popular kerana dipenuhi ikan kelah dan arus sungainya jinak. Namun dalam keadaan seperti hari ini, semua tempat dikocak arus ganas akibat limpahan air hujan. Bagusnya sebelum mendaki ke aras 2, ada sebuah pos disediakan untuk pelancong mendaftar diri bagi tujuan keselamatan dan serahan barang untuk dijaga. Botol air, makanan ringan dalam plastik, shampoo, sabun tidak sesekali dibenarkan. Bagi saya ia satu polisi yang bagus demi menjaga kelestarian alam. Bagaimanapun saya berjaya menyeludup 2 botol Coca-Cola buat bekalan gula/sumber tenaga. Hujan lebat pun mula turun mencurah-curah. Kami mendaki dan mendaki hingga jam menunjukkan jam 5.30 petang. Keadaan di bawah kelihatan sayup-sayup dan gelap. Rasanya kami sudah tiba di puncak atau mungkin juga di aras 6. Kami tak tahu? Tiada lagi denai untuk kami teruskan pendakian sebenarnya. Baju kami basah kuyup, spender basah, telefon basah, itu semua perkara biasa bagi pengembara motorsikal atau basikal. Lebih-lebih lagi jika nawaitu dah tuju ke air terjun, apa nak dikisahkan lagi dengan hujan lebat?
Anda tanya tentang pacat? Ya! ADA. Perut pun dia hentam gigit.
Mad Duha ajak saya turun kerana sudah tidak mampu lagi untuk mendaki. Alhamdulillah kerana saya masih mampu mendaki setinggi ini walaupun dalam edah rawatan kecerderaan lutut (disyaki meniscus tear). Bagi saya ia adalah keajaiban dan kurnia dari Allah kerana 3 bulan sebelum ini saya terkedang menanggung sakit tak terperi dan merasakan harapan untuk sembuh seolah-olah tiada lagi. Namun Allah memberi nikmat kepada siapa yang Dia mahu.
Kami berdua berjaya turun sebelum petugas di pos pendaftaran berangkat balik. Mereka pun sudah risau jika kami hilang di hutan.
Kalau di Malaysia, kita selalunya jumpa burger salut tepung goreng di pasar malam
Punyalah sedap!. Mad Duha tapaw bawa balik lagi
Kami singgah di masjid Denun Islam yang terletak di kampung Thung Tam Sae untuk mandi dan solat. Hujan sudah berhenti ketika ini. Kebetulan di sebelah masjid ada warung burger. Mulanya kami agak ragu-ragu untuk cicipan di situ kerana pemiliknya yang seksi. Namun apabila terlihat kelibat ibunya yang bertudung litup barulah kami yakin untuk makan. Begitulah generasi dari rumpun Melayu di Thailand hari ini. Mereka sudah hilang identitinya malah mereka tidak mampu bertutur dalam Bahasa Melayu lagi.
Sepertimana warung-warung burger milik muslim yang kita selalu jumpa di selatan Thailand, Cik Nang pun guna produk Ramly Burger. Sudi-sudilah singgah warung Cik Nang di sebelah masjid Denun Islam jika anda ke Ton Nga Chang Waterfall. Boleh tahan sedap masakannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan