Ahad, 22 Disember 2019

MENJEJAKI AIR TERJUN WANG SAI THONG, SETOI

Perjalanan untuk menjejak Wang Sai Thong Waterfall Satun Geopark, di Tambon Nam Phud, daerah La-ngu, Satun ini dibuat tanpa perancangan rapi. Lagipun bagi kami di Perlis ini tidaklah terlalu sukar untuk ke Satun atau Setoi, yang dahulunya adalah sebahagian dari jajahan Negeri Kedah. 

Kami hanya mengunakan Kancil dan bertolak seawal jam 6.30 pagi kerana pintu sempadan Wang Kelian dibuka sejak jam 7.00 pagi. Bagaimanapun kenderaan dari Malaysia telah pun bersusun disepanjang pintu sempadan untuk pergi ke Pak Bara yang menempatkan jeti ke pulau-pulau peranginan yang terkenal di Selatan Thailand. Perjalanan sejauh 75 km ke Wang Sai Thong terasa mudah sahaja kerana banyak papan tanda bertulis Inggeris boleh ditemui di sepanjang jalan. Tak perlu guna Google Maps. Ia jalan yang sama jika anda pernah pergi ke Pak Bara. Bagi yang tidak tahu, anda boleh datang ke Pak Bara dari Pulau Langkawi melalui transit di Koh Lipe. Wang Sai Thong hanya sejauh 38 km sahaja dari jeti Pak Bara.

Saya dan isteri berhenti di pekan Chalung, Satun untuk bersarapan pagi dan menukar wang di situ. Kami tiba di air terjun Wang Sai Thong pada jam 10 pagi. Tiket yang dikenakan kepada pelancong asing adalah TB200 bagi seorang dewasa. Makanan tidak dibenarkan dibawa ke kawasan air terjun untuk mengelakkan pencemaran. Namun kami menyeludup masuk makanan dan minuman ringan seperti kebanyakan pelancong lain. Tetapi usah risau, kami bertanggungjawab kepada alam. Kami bawa keluar semua plastik sampah milik kami apabila pulang. 




Air terjun atau namtok Wang Sai Thong terbentuk daripada mata air yang keluar melalui batu kapur bertingkat yang berwarna cokelat kebiru-biruan. Kawah-kawah dan tirai batu yang terhasil daripada kalsium yang memakan masa jutaan tahun itu kelihatan cantik kerana turut dihiasi oleh akar banir pohon-pohon yang besar dan rendang. Batu-batunya tidak licin dan mudah untuk di daki. Ia tempat yang sesuai untuk berkelah dan beriadah seisi keluarga. Saya mendirikan khemah untuk memudahkan isteri menyalin pakaian dan berehat. Kami mendaki dan mandi di srata yang paling atas supaya tidak berkongsi tempat dengan orang lain kerana saya lelaki pencemburu. Hehehe!

Kemudahan chalet dan parkir juga disediakan dan bagi yang minat dengan aktiviti lasak bolehlah mencuba kayak atau meneroka gua disekitarnya.

Dalam perjalanan pulang kami singgah semula di pekan Chalung untuk makan tengahari dan sampai di rumah jam 5.00 petang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan