”Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertakwa. Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu. Kerana itu, janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui.” (Quran, Surah Al-Baqarah: 21-22)
Kami meraikan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dengan keluar berkhemah di Gunung Jerai. Walaupun sudah masuk kali ke-4 saya telah bermalam di Gunung Jerai, kali ini suasananya lain macam kerana dua hari lalu rakyat Malaysia telah dibenarkan melakukan perjalanan rentas sempadan negeri setelah 3 bulan terkurung di negeri sendiri biarpun Negeri Perlis berada dalam zon hijau sejak 20 Mei lalu.
Saya difahamkan aktiviti riadah dan berkhemah (camping) telah dibenarkan oleh Perdana Menteri melalui kenyataan rasminya. Ada beberapa orang rakan mendakwa aktiviti berkhemah hanya dibenarkan pada waktu siang sahaja, maknanya TIDAK dibenarkan bermalam di hutan. Apa yang saya lihat kenyataan itu hanya disiarkan oleh blog-blog picisan, bukan web rasmi Jabatan Perhutanan atau yang berkaitan. Maka kami abaikan.
Seperti yang dijangka, kami tetap tiba pada malam hari di Sungai Teroi walaupun telah sedaya upaya untuk bertolak sebaik sahaja tamat bekerja. Malangnya, mereka telah menyita tempat itu dan benarlah dakwaan rakan-rakan sebelum ini yang mengatakan pihak kerajaan masih melarang aktiviti bermalam di hutan. Alang-alang sudah sampai di Gunung Jerai kami pun terus ke The Jerai Hills Resort untuk meninjau camp side milik resort di Alor Naga. Bayaran yang dikenakan adalah RM100.00 untuk satu tapak khemah. Manalah kami semua mampu. Lagipun kami tidak jangka perkara ini akan berlaku. Lalu kami pun keluar semua dan cari kawasan yang sesuai untuk berkhemah. Biarlah tidak bersebelahan air terjun, janji kami dapat berkhemah juga malam ini. Alang-alang dah beli ayam, sosej, untuk dipanggang, jangan sampai balik singgah KFC.
Sebelum ini, selalunya hanya kami berdua berkhemah di hutan dan gunung, kali ini alhamdulilah ada beberapa orang rakan ikut serta membawa anak-anak remaja mereka untuk diajar supaya kenal alam. Katanya untuk melihat keindahan ciptaan Allah subhana wa ta’ala. Yang celakanya, mereka tidak bersolat. Dari petang bertolak bersama-sama hingga ke malam seterusnya sampai pagi esok, saya perhatikan sahaja si ayah dan anak-anak tidak bersolat.
Ketika mengambil wuduk dengan menyapu air di atas kasut but untuk solat jamak dan qasar, Maghrib dan Isyak, saya menyindir mereka dengan harapan mereka akan ikut bersolat:
“Korang jangan plak hairan aku ambik wuduk begini. Kau tau tak boleh wuduk begini?”. Tanya kami kepada anak lelaki seorang rakan. Anak lelakinya itu sudah pun berusia 17 tahun.
Ayah: “Dia tahulah. Takkan tak tahu?”
“Kalau tahu, wuduk begini orang panggil apa? Bagitau aku?” Tanya kami kepada kedua-duanya. Manakala seorang lagi budak dan bapanya telah masuk berdiam diri dalam khemah.
Mereka berdua, anak dan ayah tersengih-sengih tidak dapat menjawab. “Inilah yang dipanggil menyapu atas khuf”, Lalu kami pun mendirikan solat berdekatan unggun api tempat mereka sedang sibuk menyiapkan BBQ.
Begitulah seterusnya pada esok pagi, tiada siapa pun bangun mendirikan solat Subuh melainkan saya dan Mad Duha. Biarpun saya bancuh dan hidangkan kopi kepada setiap orang. Saya kecewa. Kecewa kerana ketika kami semua sedang bergambar di satu lokasi yang agak sunyi dan menyeramkan, si ayah tadi berpesan:
“Datang sini jangan buat perangai pelik-pelik. Jaga tutur kata, kalau dah kena dengan penunggu atau jin nanti baru tahu!”.
Inilah kata-kata yang merosakkan akidah kita. Bayangkan, dia boleh masuk hutan kononnya untuk melihat ciptaan Allah, namun tidak solat, tidak menyembah Tuhan yang Agung. Sebaliknya dia jaga pula budi bahasa dan tunduk hormat kepada syaitan supaya selamat ketika berada di hutan. Sedangkan hutan, gunung, sungai, bumi ini kepunyaan Allah subhana wa ta’ala. Allah lebih berhak dia takut dan hormat mengatasi apa sahaja di dunia ini.
Moga Allah memberi hidayah kepada semua rakan-rakan saya.
- Ra1m1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan