Ahad, 24 Mei 2020

SEMOGA ALLAH MENERIMA AMALANKU DAN KAMU



Banyak orang merasakan Ramadan tahun ini paling buruk pernah terjadi pada diri mereka, dengan tiba-tiba virus Covid-19 muncul di China seterusnya menjadi wabak mengancam kehidupan kita tak kira batas sempadan negara, bangsa, usia, fahaman politik atau pegangan agama. Virus Novel Corona tak peduli itu semua. Tahap intelek pun ia tak kira. Kita boleh lihat bagaimana agama telah dipersalahkan apabila pandemik terjadi akibat tindakan ahli ibadah di negara-negara seperti Italy, India, Indonesia, Malaysia mentakwil agama dengan cara salah. Mereka berserah bulat-bulat pada Tuhan dalam aspek keselamatan tanpa usaha untuk mengekangnya terlebih dahulu. Mereka membahayakan diri sendiri bahkan membahayakan orang lain tanpa rasa bersalah dan yakin ia suatu bentu keimanan yang paling tinggi.

Daripada Umar bin al-Khattab R.A, Nabi SAW bersabda “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164),
Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894)

“Seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: Aku lepaskan unta aku dan aku bertawakkal? Baginda menjawab: Ikatlah unta itu dan bertawakkallah.” Sahih Ibn Hibban (no: 731). Shaikh Syu'aib al-Arnaouth menyatakan bahawa hadis ini hasan.

Terdapat banyak lagi hadis yang menceritakan tentang konsep tawakkal yang sebenar manakala ayat-ayat al-Quran pula menerangkan hakikat tawakkal. Dua hadis di atas sudah cukup untuk memberi makna bahawa usaha perlu dilakukan sebelum menyandarkan hati kepada Allah Ta’ala untuk memperoleh pelbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam urusan dunia mahupun akhirat.

Imam al-Ghazali menyatakan "tawakal dalam Islam bukanlah suatu sikap eskapisme bagi orang-orang yang tidak mahu berusaha atau gagal usahanya, tetapi tawakal itu ialah tempat kembalinya segala usaha." (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/65).

Apabila pemerintah Perlis mengeluarkan fatwa menutup masjid, mengubah lafaz azan, mengugurkan solat berjemaah masjid dan digantikan dengan solat berjemaah di rumah. Ramai melenting, mendakwa ia sebagai fatwa terburu-buru, namun Majlis Fatwa Negeri Perlis telah memikirkan semua aspek secara holistik sesuai dengan kaedah fekah iatu “menolak kerosakan lebih utama daripada menarik kebaikan”. Perintah ini dikuatkuasakan di negeri Perlis kerana melibatkan maqasid nyawa dan maqasid harta yang terancam demi menjamin maqasid agama. Apabila penularan wabak semakin meruncing, dan satu demi satu negeri mengikut tindakan Perlis, barulah rakyat mula faham tentang situasi yang berlaku kecuali berberapa golongan terlebih warak terutamanya kaum hawa. Seperti yang sering terjadi, mereka beremosi tak kena tempat dan menukilkan kejahilan sendiri di media sosial. Nampaknya Allah subhana wa ta’ala mahu mengajar kita melalui ancaman wabak Covid-19 ini, bahawa ada perbezaan antara ahli ibadah dan ahli ilmu. Betapa jauh takwilan dua golongan ini terhadap situasi yang terjadi dan cara menghadapinya.

Diriwayatkan dari Abu Umamah, dia berkata: Disebutkan kepada Rasulullah salallahu alaihi wasallam tentang dua orang, iaitu seorang ahli ibadah dan seorang ahli ilmu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda, "Keutamaan ahli ilmu atas ahli ibadah adalah seperti keutamaanku atas orang yang paling rendah di antara kalian." Setelah itu beliau melanjutkan, "Sesungguhnya Allah, para malaikat, para penduduk langit dan bumi, bahkan semut di lubangnya, dan para ikan mendoakan pengajar kebaikan pada manusia." (Hadis riwayat At-Tirmidzi).

“Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Quran surah Al Mujaadilah : 11)

Apabila Malaysia mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP2020) kita dapati ramai rakyat yang menyokongnya, tidak kurang juga yang melanggarnya. Mereka dengan tergesa-gesa merentas negeri, lari pulang ke kampung, padahal mereka telah melakukan kezaliman kepada orang lain jika menjadi penyebar virus tersebut. Ada kes seorang anak telah pulang ke kampung membawa Covid-19 hingga menjadi penyebab kematian orang tuanya. Malah ada orang yang lari balik ke kampung meninggalkan ternakan dan binatang peliharaan dalam kelaparan. Di Barat bangkit golongan-golongan liberal membantah tindakan pemimpin negara mereka menyekat aktiviti sosial dan ekonomi yang dikenal pasti akan meningkatkan risiko penyebaran wabak,  bagi mereka  tindakan itu telah melanggar hak asasi manusia. Mereka tidak peduli biarpun angka kematian di negara mereka telah mencecah jutaan orang. Mereka tetap mahu bebas kecuali yang menjadi mangsa adalah kaum kerabat mereka sendiri.  Ketika itu barulah mereka terjerit terlolong, tetap mahu menyalahkan orang lain. Sebagai Muslim kita sepatutnya tahu, Islam telah mengariskan cara untuk mengekang penularan wabak. Jangan emosi, jangan melenting, jangan beribadah secara membuta tuli.

Diriwayatkan oleh Sa’d Ibn Abi Waqqash R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda “Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya.” - Riwayat Al-Bukhari (5728).

Dahulu kita sering tertanya-tanya mengenai kisah seorang raja hebat yang mendirikan kerajaan pertama di dunia (2275 SM-1943 Sebelum Masihi) bernama Namrud bin Kan’aan. Dia berani mengisytihar perang terhadap Allah setelah gagal membakar Nabi Ibrahim alaihisalam. Raja Namrud dan bala tenteranya yang mempunyai persenjataan paling canggih ketika itu tewas menghadapi serangan tentera nyamuk. Walaupun genius, gagah dan mempelajari sihir, Raja Namrod akhirnya maut setelah beberapa hari menderita akibat serangan seekor nyamuk yang masuk menerusi telinganya. Hari ini kita menghadapi serangan virus Covid-19 yang bukan sahaja kecil, bahkan tidak dapat dilihat oleh mata, ia bukan hanya membunuh orang China, sebaliknya ia telah mengubah wajah dunia kepada suatu lumrah yang baharu (new norm). Persoalannya, siapakah yang mewarisi watak Namrud di dalam dirinya sekarang?

Ramadan yang disangka buruk, bagi saya adalah yang terbaik pernah berlaku, mungkin dalam hayat ini. Wallahu ‘alam. Allah Ta’ala mengantikan dengan sesuatu yang lebih jika kau tahu menilainya, jika dahulu saya keletihan bekerja, berkejaran ke pasar dan pulang untuk berbuka. Kini saya bertugas dari rumah (BDR), walaupun banyak kali juga pekerja sosial seperti kami ini dikerahkan untuk bersiap sedia di bilik gerakan yang beroperasi 24 jam setiap hari untuk membantu orang ramai yang terputus bekalan makalan. Kami redha dan gembira untuk membantu. Bayangkan di zaman yang begitu sukar untuk menjaga pandangan mata, di zaman wanita muslimah pun berpakaian seksi, Allah hadkan radius pandangan mata, perbualan, perbuatan yang lagha. Kita diberi kesempatan untuk bertadarus bersama keluarga, diberi nikmat untuk mendirikan solat berjemaah di rumah ( sesungguhnya ada tersimpan hikmah dan keberkatan mendirikan solat di rumah), tidak lagi terlalu menurut nafsu dengan membeli juadah berlebihan di pasar Ramadan, setiap hari diberi kesempatan untuk bersahur dan iftar bersama keluarga, seterusnya membuat persiapan Eid Fitr dengan kadar yang sederhana. Sungguhpun ada kekurangan dalam amal ibadah kita. Moga-moga dosa-dosa kita mendapat keampunan-Nya. Itulah yang paling utama.

Daripada Shuhaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” -Hadis riwayat Muslim (No. 2999).

Hari ini Allah memberi kesempatan lagi untuk kita merayakan Eid Fitr walaupun dalam suasana yang berbeza. Seperti orang lain, saya pun perlu menjadi imam dan menyampaikan khutbah buat pertama kali dalam hidup. Ia lebih bermakna lagi apabila tahun ini merupakan tahun pertama saya merayakan Eid Fitr sebagai seorang suami dan diminta oleh keluarga mertua untuk mengimamkan solat raya. Saya memilih pandangan Ibn Taimiyyah dengan menyampaikan satu khutbah sahaja selepas 9 kali takbir.

Keadaan ini tidak pernah berlaku pada zaman Nabi atau sahabat. Maka pandangan yang ambil untuk panduan solat hari raya dalam menghadapi pandemik ini adalah merujuk kepada situasi yang telah berlaku di negara-negara Islam akibat konflik atau penjajahan yang mencetuskan darurat. Kaedah peribadatan yang menjadi syiar Islam terpaksa dijalankan di dalam rumah ketika Soviet Union mengharamkan amalan agama setelah menguasai negara-negara Islam. Begitu juga yang dilakukan oleh Muslim Uighur setelah China mengharamkan amalan agama di Xinjiang, masjid-masjid bukan sahaja  disita dan dirobohkan malah mereka turut dilarang menunaikan ibadah puasa. Dan kini ancaman wabak penyakit berlaku di seluruh dunia, bukan sahaja kepada orang Islam, tetapi seluruh umat manusia, kita akan hadapinya dengan sabar dan tawakkal yang benar.

-          Rammy Azmi

-          24/5/2020


Tiada ulasan:

Catat Ulasan