Empangan Timah Tasoh terletak kira-kira 17 km dari bandar
Kangar. Nama empangan Timah Tasoh diambil sempena nama dan tempat pertemuan dua
batang sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh. Projek ini dimulakan pada
tahun 1987 dan siap sepenuhnya pada tahun 1992. Di dasar tasik buatan ini adalah bekas
penempatan Kampung Sahabat dan Kampung Tasoh. Pemandangan tasik berkabus yang berlatar belakangkan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan merupakan sempadan pemisah antara negara
Thailand dan Malaysia menjadikan ia tarikan pelancong untuk memancing dan
berkelah.
Nama pengkalan Rantau Nibong ini mungkin tidak rasmi,
diberikan oleh pengail dan nelayan tempatan. Untuk ke sini anda hanya perlu
cari Tasoh Lake Resort, ia jalan yang sama. Tempat ini terletak di antara
Terinai Lakeview Resort dan Santuari Ikan Air Tawar Tasoh. Tiada bayaran dikenakan.
Kami sampai di sini jam 6.30 petang Jumaat, terus dirikan khemah
dan bersedia untuk barberque pada sebelah malam. Walaupun nampaknya seperti dingin dan berkabus, peralihan
cuaca pada bulan Julai ini nampaknya memberi kesan pada tiupan angin. Bahangnya
terasa hingga ke tengah malam, mungkin juga kerana kami makan banyak daging bakar.
Sedang kami leka menjamah makanan, sebuah kereta polis peronda datang menyuluh
dan menyapa. Mereka bertanya dengan pembesar suara “Abang, bermalam di sini ka?”
Kami menjawab “Ya! Boleh ka?”.
Mereka tidak menjawab. Dan berlalu pergi. Jadi kami anggap,
bolehlah tu. Mereka singgah menyapa camper yang lain pula. Nampaknya camper lain akur beredar meninggalkan kami sahaja. Alhamdulilah cuaca baik malam
ini. Bintang kelihatan bersinar terang benderang walaupun 2 malam sebelum itu
hujan turun begitu lebat sekali. Nyamuk mula menyerang pada jam 3-4 pagi. Maka
terpaksa kami semua masuk dalam khemah dan tidur walaupun asalnya masing-masing
bercadang mahu berbual-bual hingga ke pagi.
Suasana pagi yang cukup indah. Azan Subuh boleh kedengaran hingga ke penjuru tasik. Awan berat berarak mendung di
Banjaran Nakawan memberi satu rasa tenang, manakala pelancong sudah mula datang
untuk berfotografi, dan para nelayan pula sudah berbondong-bodong turun ke
dalam perahu dan bot membawa senjata ampuh mereka. Kehadiran ramai pelancong dan
nelayan luar telah menjejaskan kualiti air tasik, mereka membuang sampah-sarap
sewenang-wenangnya. Ia menyakitkan mata memandang.
Jabatan Perikanan Perlis pula mengesahkan spesies ikan dari
Amazon seperti peacock bass, black ghost knifefish mula berkembang biak di
Timah Tasoh. Ia dipercayai dilepaskan oleh individu-individu yang tidak
bertanggungjawab setelah bosan atau tidak mampu membiayai selera makan
ikan-ikan tersebut. Mungkin juga ia dilepaskan untuk tujuan sukan memancing?. Ikan keli Afrika dan patin chaophraya turut dikesan menguasai
tasik ini. Akibatnya, ikan tempatan, seperti sepat, talapia, lampam termasuk toman (snakehead)
hilang dari habitat semulajadinya kerana tidak mampu bersaing dengan ikan
raksasa dari Amerika Selatan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan