Allah berfirman dalam surah Al Ankabut [29] : 25). Maksudnya “Kemudian di hari kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian kamu melaknat sebahagian (yang lain)”.
Semalam tepat jam pukul 8.00, tamatlah sesi rakaman percakapan saya bagi sesi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), seperti kata pegawai penyiasat sendiri apabila seseorang disiasat oleh SPRM maka buruklah sangka semua rakan-rakan sekerja walaupun kita tidak bersalah untuk itu dia minta maaf.
Ketika berpinau biji mata membaca semula 85 mukasurat
kenyataan saya sebelum menurunkan tandatangan pengesahan untuk setiap helai,
terfikir juga bagaimana rasanya mereka yang tertuduh atas kes-kes yang lebih
besar dan rumit melibatkan ahli-ahli politik dan tokoh koporat? Saya dan
Penolong Pengarah tidur tak lena selama dua bulan lepas kerana asyik dipanggil ke
pejabat SPRM untuk menjawab berbagai-bagai soalan dan diminta untuk memperjelaskan
berbagai-bagai dokumen pada tahun 2018 yang mana saya belum pun lagi berkhidmat
di Perlis dan tidak lagi tahu menahu tentang skim bantuan OKU. Itu bukanlah
alasan untuk menarik diri daripada kes ini.
Alhamdulilah saya sering mendapat bantuan daripada
Allahyarham Timbalan Pengarah II ketika itu, dia yang mengidap sakit jantung
dalam gugup-gugup turut hadir membantu kami. Saya bertuah kerana mempunyai
pegawai atas yang bagus, selesai sahaja sesi semalam, Pengarah Kebajikan Masyarakat
Negeri Perlis sendiri bertanyakan khabar dan memberi semangat kepada saya.
Tiada langsung persepsi negatif daripadanya. Malah dia berjanji akan belanja
saya makan esok hari di mana sahaja yang saya mahu. Dia seorang Pengarah yang
cool. Tak pernah saya jumpa Pengarah macam tu (walaupun sekarang tengah
permarkahan SKT, ini bukan bodek. Saya tak friend pun dengan dia di media
sosial dan dia pun tak baca tulisan ni).
Pagi tadi awal-awal lagi dia sudah mesej bertanya lokasi
untuk kami bersarapan. Dia cadangkan koteaw goreng di sebuah restoran Cina. Saya bukan alegik masakan Cina, cuma saya tak makan di kedai yang turut menjual nombor ekor. Maka saya terpaksa tolak dan pun pilih Ali Kopi di Kampung Kechor. Kami minum
dan berbual-bual tentang hobi dan suasana kampung yang damai. Sedikit aja kami
bercerita tentang kes yang panas itu.
Merenung kembali kepada apa yang telah kami lalui, jelas
sekali semua individu terlibat kini saling menyalahi, sukarelawan menyalahi
jawatankuasa, jawatankuasa menyalahi kerajaan, kerajaan menyalahi jawatankuasa,
sukarelawan pula kembali menyalahi jawatankuasa, sedangkan sebelum itu semuanya
kononnya bersatu atas sifat keprihatinan kepada golongan OKU dan seikhlas hati
untuk membantu mereka dengan peranan masing-masing dalam satu komuniti. Semua
pihak mengaku tidak bersalah dan rasa dirinya teraniaya.
Orang-orang yang dahulunya bermesyuarat bersama, ikrar
bersama untuk beramal soleh, melangkah seiring sejalan ke seminar, konvensyen, pentas
berbagai-bagai anugerah dan jamuan kini mula menaruh curiga dan prasangka sesama
sendiri.
Sahabat-sahabat sekelian, Ini baru kisah dunia kerja sosial,
atau kerja-kerja kebajikan....
Ini baru dipanggil untuk memberi kenyataan di hadapan
pegawai SPRM!
Benarlah kata Allah tentang hari Akhirat kelak:
الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ
“Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (QS. Az-Zukhruf: 67).
Dan Allah Subhana Wa Ta’ala juga menegaskan:
ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِندَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ
Maksudnya: "Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari
kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu". (Surah al-Zumar :31).
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir
(12/250-253) berkata: Ayat (ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِندَ رَبِّكُمْ
تَخْتَصِمُونَ) tidak hanya khusus berkait dengan perselisihan antara
orang-orang Mukmin dan orang-orang kafir di akhirat. Ayat ini bersifat umum
mencakupi semua orang yang bersengketa ketika di dunia, lalu di akhirat
persengketaan mereka diteliti dan diadili. Ini juga menunjukkan bahawa Nabi
Muhammad Salallahu alaihi wassalam akan berhujah dengan kaum baginda dan
membentangkan hujah bahawa baginda telah menyampaikan risalah kepada mereka dan
memperingatkan mereka, namun mereka membantah dan menyanggah dengan dalih yang
tidak bermakna. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 12/250-253).
Setiap kejadian ada hikmah dan kebenaran agama bagi insan
yang mahu berfikir.
-
Rammy, 4 November 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan