Perkelahan potluck sepetang sambil buat barbeque ini dirancang minggu lalu oleh saya dan Badril Dickenson. Kebetulan hari Khamis ini negara kita bercuti sempena Maulid Nabi, (terjadi khilaf yang panjang tentang tarikh sebenar kelahiran baginda, yang dapat dipastikan dengan tepat adalah tahun Gajah bersamaan 570 Masihi. Jika anda membaca ini ucaplah selawat dan salam kepada baginda sebagaimana yang diwasiatkan olehnya) maka kami pun pilih untuk berkelah pada hari tersebut.
Kami sampai di pantai kira-kira jam 6.45 petang, baru mula nak hidupkan api. Hujan lebat turun dengan tiba-tiba. Nusrah, isteri Badril dah mula kecewa, tapi berpandukan ilmu laut yang ada. Kami tahu hujan itu sekadar lalu, kerana Pulau Brasmana yang tadinya langsung tak kelihatan kini dah mula muncul. Ini bermakna awan hujan itu melintas dengan laju. Jadi kami bersabar menunggu hingga hujan reda. Kami mula menghidupkan api semula pada jam 7.30 malam sebaik menunaikan solat Maghrib. Alhamdulilah berjaya juga walaupun kayu-kayan dah basah lencun, mujur di situ ada timbunan sekam padi yang boleh membantu.
Bagi yang ingin berkelah di sini. Cari dan gunalah dapur ini. Kami tinggal dan wakafkan di situ.
Fakta menarik tentang Pantai Seberang Ramai, Kuala Perlis:
- Anda boleh lihat Pulau Langkawi dengan jelas dari pantainya.
- Sedang tular di media sosial pesta kutip mentarang, kupang, siput buluh, gayam, biji nangka, siput paha ayam di Pulau Ketam. Dilaporkan jika rajin, setiap orang mampu membawa naik hasil 100-200kg setiap kali air surut di Pulau Ketam.
- Namanya Pulau Ketam tapi bukan pulau pun. Ia adalah nama kampung.
- Anda boleh nampak dengan jelas Pulau Brasmana, Thailand dan kampung nelayan di situ dari pantai ini. Dahulu ia adalah sebahagian dari Malaya. Sehingga kini mereka mempunyai pertalian saudara dengan kebanyakan orang Kuala Perlis.
- 1000 meter dari tempat BBQ ini ada stesen AKSEM kerana situ ada benteng sempadan Malaysia-Thailand. Maka janganlah bimbang kerana seperti kami sendiri pun, beberapa kali anggota AKSEM, Polis Peronda Pantai, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia datang menyapa dan menyiasat. Ini prosedur biasa, jangan bimbang, ada bagusnya juga pihak berkuasa kerap datang kerana aktiviti terlarang banyak berlaku di sini sekurang-kurangnya kita rasa selamat.
- Dikatakan masih ramai penduduk dari jeti Tamalang, Pulau Brasmana Thailand yang datang ke Kuala Perlis untuk membeli keperluan dapur kerana lebih dekat dan murah berbanding di pekan Satun secara tidak rasmi. Tapi kini kawalan Malaysia sudah pun diperketatkan untuk mengekang penularan virus Covid-19.
- Kenapa begitu banyak pihak berkuasa berkeliaran di sini? Seberang Ramai dan Kampung Wai, Kuala Perlis adalah lokasi penyeludupan dadah dan daun ketum yang sukar dibendung. Perahu panjang dari Satun@Setoi membawa barang seludup akan membuat U-turn di kawasan muara tambatan banjir (Malaysia) dengan membaling barang dibalut kemas beg plastik kalis air dan akan dipungut oleh agen tempatan yang telah siap sedia menanti. Selalunya dia akan menyamar pengail atau membawa anak kecil kononnya bersiar-siar. Temujanji dengan orang tempatan itu dibuat guna WhatsApps sahaja.
- Di sini juga lokasi pendaratan pelarian Rohingnya, Myanmar (mereka turun dengan slamber jer, malah pernah berlaku turun di kawasan rekreasi - Pantai Sg Baru). Mereka pun ada koloni sendiri dan membina kehidupan yang baik di Kuala Perlis. Malah ada yang menguasai pasaran ikan laut tempatan.
- Silap hari bulan, bot-bot nelayan Indonesia pun merayau di sini untuk cari ikan.
- Projek tebatan banjir berdekatan ialah lokasi memancing yang dipenuhi ikan air tawar dan air masin. pemandangan pun cantik.
- Restoran makanan laut paling happening berdekatan ialah Mat Rock Der. Jadi kalau masak tak jadi, atau belum cukup kenyang, anda boleh ke situ. Jika mahu nasi kandar dan capati, boleh juga ke Hasbi Capati yang terletak di Taman Seberang Jaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan