Zine ini diterbitkan pada Disember 2019, Nieyna J mengirimnya kepada isteri saya ketika Perlis Zine Fest 2020 yang lalu, saya pun tak sempat mengucapkan terima kasih kepadanya. Hari itu Nieyna telah membuat penampilan sulungnya dengan menyampaikan sajak walaupun sebelum itu berkali-kali dia menyatakan dia orang seni tulis, bukan orang seni deklamasi. Sebenarnya, dia berbakat dalam keduanya. Nieyna J atau Amanina bukan calang-calang, tulisannya pernah disiarkan di Cukaria, Jalan Telawi, Selangorkini dan Utusan Malaysia. Malah dia menyunting beberapa zines lain seperti Semerdu Not-Not Jazz dan Kamu, Transparat dan banyak lagi.
Zine ini dicetak atas kertas glossy, dengan reka letak dan font yang sedap mata memandang. Tidak terlalu padat dan tidak juga polos. Di dalamnya dimuatkan karya-karya Nieyna J berbentuk cerpen, catatan dan termasuk juga nukilan-nukilan daripada penulis-penulis yang mempengaruhi jalur kesusasteraannya. Saya terkesan dengan cerpen "Perempuan dan Seekor Babi" ia benar-benar membedil punca masalah kekeluargaan dan kepincangan hidup dalam masyarakat kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan