Apabila terjadi argument tentang tatacara sunnah dalam ibadah, kadang-kadang tu timbul rasa hairan macamana mereka yang membantah tak boleh nampak dalil (bukti) dan hujah yang sudah jelas dikemukakan? Biarpun jelas lagi bersuluh mereka tetap enggan menerimanya. Tetapi kita ini hanya ditugaskan untuk menyampaikan, dan jika jantung hati si pendengarnya ikhlas mencari kebenaran, saya yakin Allah subhana wa ta’ala pasti memberi kefahaman dan taufik kepadanya.
“Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”. (Surah Al Qashash: 56).
“Dan kewajiban kami tidak lain hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas.” (Surah Yasin: 13-17).
“Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufiq) siapa yang dikehendaki-Nya.” (Surah Al-Baqarah: 272).
Ini asas untuk kita fahamlah kerana ada seorang sahabat saya yang PM tepi apabila melihat beberapa orang berdebat dengan saya tentang keafdhalan mengambil amalan sunnah sebagai zikir selepas solat dari membaca surah Al-Fatihah. Kata rakan saya “rasa nak bagi penumbuk saja kat mamat tu yang tak mahu faham-faham tentang sunnah!”. Jika kita bagi penumbuk, kita pun samalah menurut hawa nafsu yakni berdebat kerana mahu menang. Bukan lagi untuk atas dasar kebenaran dan misi menyebar sunnah.
Lantas apa yang mereka hujahkan?
REMEH TEMEH
Mereka mengatakah asatizah yang menyebarkan sunnah sebagai orang yang suka memperbesarkan hal remeh temeh kerana ada masalah lebih besar di luar sana seperti banyak kes zina, rasuah, peperangan. Tidaklah hal remeh temeh menyampaikan sunnah Nabi apatah lagi yang disampaikan itu kaedah dan tabiat solat Nabi yang merangkumi Zikir-zikir (termasuk bacaan ayat al-Quran) usai solat. Tiada satu pun kesalahan dalam menyampaikan apa yang termaktub dalam hadis sahih kepada umat. Bagaimana seserang Muslim boleh beranggapan sebaran dan penyampaian tentang cara Nabi beramal untuk mendapat pahala dan mendekatkan diri dengan Tuhan sebagai remeh temeh? I can’t brain this! Sesuatu yang kita perlu tahu di sini, gerakan dakwah Nabi dan umat seterusnya tidak berhenti untuk islah (bermaksud memperbaiki kerosakan atau menghilangkan permusuhan dan perpecahan dalam kalangan manusia) dahulu kemudian sambung dakwah selepas semua umat dah baik. Keduanya, jalan serentak. Kita tak bina sahaja, kerja pembinaan yang baharu dan pembaikan yang sedia ada berjalan serentak!
BENCI BACA AL-FATIHAH
Dalam banyak hujah ini yang kedengaran jelik sekali. Mana mungkin seorang yang mengaku Muslim benci dengar bacaan Al-Fatihah? Dulu masa saya budak-budak teringat lagi pesan ibu saya, “dah hang tu tak reti apa bacalah al-Fatihah tu lepas solat takpun istighfar ka kalau dah tak hafal apa langsung”. Saya memang amalkannya sebab dah memang pun saya tak hafal ayat Kursi masa tu dan tak pernah dengar hadis-hadis sahih mengenai zikir-zikir selepas solat. Bila dan celik sikit tentang hadis, sudah mula timbul hormat atas authority Muhammad, sayang dan ingin sangat mencontohi baginda, saya tinggalkan yang adat beralih dan ke amalan sunnah.
“Dan Kami turunkan kepadamu Az-Zikr (Al Quran), supaya kamu terangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka berfikir”. (Surah an-Nahl: 44).
Berkata Imam Syafie: “Telah berlaku ijmak bahawa sesiapa yang telah jelas kepadanya sunnah Rasulullah s.a.w. , bahawa tidak harus baginya untuk meninggalkannya kerana pendapat sesiapa pun”. Lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lamul Muwaqqii’n, juz 2, m/s 282, tahqiq: Toha Abdul Rauf Saad, Darul Jil, Beirut, 1973.
ALAH MACAM HARAM DAN BERDOSA JER?
Bukankah al-Quran itu daripada firman Allah subhana wa ta’ala yang diajarkan kepada kita oleh RasulNya? Telah jelas apa yang haram apa yang menjadi dosa kepada kita. Telah didatangkan dengan jelas apa yang dibaca, dizikirkan, diamal bahkan diajarkan pula oleh Rasul melalui hadis-hadis sahih kepada telinga kita. Kini sudah ada lambakan kitab, enjin carian, YouTube, segala hanya dijari. Jika kita mendakwa mencintai Muhammad kerana dia dilantik sebagai pesuruh Allah, bagaimana mungkin kita tak iktiraf tunjuk ajar dan teladan guru kita yang mulia ini? Sepatutnya iman membawa kita kepada ketaatan kepada Allah dan Rasul. Kenapa mahu menyelisih setelah datang yang jelas?
“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(Nya), dan ulil amri (ulama dam umara’) di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”. (Surah An Nisaa:59).
ADAKAH SESAT, ROSAK AKIDAH?
Mungkin mereka ingat remeh dan tiada kaitan dengan akidah. Tetapi jika berterusan menyerang, malah bukannya para asatizah tu pergi cari mereka untuk bagi tazkirah pun, mereka sendiri yang masuk datang menghentam kuliah-kuliah yang menyampaikan amalan-amalan ibadah daripada hadis-hadis sahih, apakah tindakan itu dianggap suatu usaha mencari kebenaran? Bukti dan sumber rujukan telah diberi apa lagi yang kalian mahu? Jangan sampai hang rasa kebiasaan atau kaedah hang beramal lebih baik daripada apa yang Nabi salallahu alaihi wasalam tunjukkan?
“Maka orang-orang yang menyelisihi perintahnya (Nabi) hendaklah mereka takut akan ditimpa fitnah (syirik) atau azab yang pedih.” (An-Nur: 63).
Al-Hafidzh Ibnu Katsir Asy-Syafii menjelaskan: "Maknanya, menyelisihi perintah Nabi salallahu alaihi wasalam yakni jalan beliau, manhaj beliau, cara beragama beliau, sunnah beliau dan syariat beliau salallahu alaihi wassalam. Maka semua ucapan dan perbuatan wajib ditimbang dengan ucapan dan perbuatan beliau salallahu alaihi wasalam. Apabila sesuai dengan ucapan dan perbuatan beliau maka diterima, dan apabila menyelisihinya maka tertolak yakni ucapannya dan perbuatannya tidak diterima siapa pun orangnya. Sebagaimana telah sahih daripada Nabi salallahu alaihi wassalam dalam Ash-Shohihain dan lainnya, bahawa beliau bersabda, "Barangsiapa yang beramal dengan suatu amalan (dalam beragama) yang tidak bersumber daripada ajaran kami maka tertolak." (Tafsir Ibnu Katsir 3/308).
KHILAF, KAU YANG BUAT TERUK. TAKNAK BUAT SUDAH.
Inilah celarunya apabila bermazhab qias dalam segala benda yang dia tak faham, dia kira nak tibai qias dan takwil. Padahal benda itu ada dinyatakan dengan jelas dalam samada al-Quran dan hadis sahih. Mereka rasa ada dalil, mereka berhujah dengan dalil yang diletakkan diluar konteks dan di tempat yang salah. Contohnya isu ini, mengunakan dalil: “Siapa yang membaca satu huruf dari Al-Quran, maka baginya satu kebaikan dengan bacaan tersebut, satu kebaikan dilipatkan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya dan aku tidak mengatakan alif lam mim satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. (Hadis riwayat At-Tirmidzi).
Untuk membuat amalan khusus, yakni menetapkan bacaan al-Fatihah setiap kali usai solat. Kata mereka Nabi tak larang dan tak letak waktu pun untuk baca al-Quran. Sedangkan ada hadis sahih tentang apa yang dibaca dan diwiridkan oleh Nabi salallahu alaihi wasalam usai solat. Penetapan bacaan itu sendiri sudah dikira memandai-mandai dalam kaedah beramal. Kenapa kau tetapkan bacaan sedangkan Nabi beramal dengan surah Kursi, al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Nas?
Ini same case untuk tahlilan arwah. Kita ini umat Nabi salallahu alaihi wasallam seharusnya kita selesa dan bersemangat beramal atas teladan baginda. Saya teringat kata-kata Syeikh Hussain Yee ketika dia datang ke Perlis dahulu menjawab tentang zikir menari “ Kita ikut Nabi, jika Nabi zikir melompat hingga ke bumbung kita pun lompat ikut cara Nabi, masalahnya Nabi tak buat begitu!”.
“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidaklah beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”. (Surah an-Nisa’: 65).
PEMBARIS
Mereka berdekah sesama mereka, mengatakan orang-orang yang mengikut sunnah sebagai "pembaris" yakni lurus bendul dan mengikut agama secara kaku. Jika sebelum ini mereka yang sering di-pembaris-kan oleh golongan bermanhaj Salaf kerana tidak mampu memahami konteks dalil, kini mereka rasa dah rasa cukup dalil (rujuk tajuk KHILAF) untuk berhujah balas dan meremehkan orang. Mereka ni dari zaman Rhoma Irama-lah masih berhujah "Kalau itu bid'ah, azan guna mikrofon pun bid'ah laaaa" atau "Guna Facebook tu pun bid'ah, Nabi tak guna Facebook pun!" atau "Kau masih tak kenal bid'ah hasanah kot!". Mereka tetap gagal, apabila sesuatu perkara itu jelas sejelas jelasnya dan sahih, hukumnya adalah "samiaq na wa athoq na".
“Katakanlah: “Taatlah kepada Allah dan ta’atlah kepada Rasul; dan jika kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajiban Rasul hanyalah apa yang dibebankan kepadanya, kewajiban kamu adalah apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tiada lain kewajiban Rasul hanya menyampaikan (amanat Allah) dengan terang”. (Surah An Nuur:54).
BODOH. APA AKU TANYA KAU TAK JAWAB
Ini senjata ahlu ahwa yang terakhir. Semua dalil dan rujukan telah diberikan, tetapi hati tetap tertutup, maka dicacilah orang yang tak sependapat dengannya. Mereka tidak akan berpuas hati dengan segala jawapan kerana telah disampuk setan. Teringat pulak kata-kata popular Ustaz Halim Hassan setiap kali dakwah sunnah dibangkang oleh ahlu ahwa “Yang kami duk cerita ni sunnah Nabi, Nabi kita, bukan kata-kata pak tiri, laki mak dia? Ni kata-kata Nabi yang hang duk lawan ni”.
Jadi orang macam ini, penutuplah. Kita biarlah kat dia. Kita berlepas diri dan diam sebelum dia ucap macam-macam lagi yang menambah dosa kat dia. Takat tu ja kerja kita kerana kita bermazhab cinta, berdakwah atas kasih sayang bukan kebencian.
“Rasulullah telah beriman terhadap apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya dan juga orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain daripada kalangan rasul-rasulnya. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami dan kepada-Mu jualah tempat kembali. (Surah Al-Baqarah: 285).
Saya titipkan untuk manfaat kerana ini argument yang sama pasti muncul apabila dibahaskan bahawa;
-Adalah menjadi sunnah membaca basmallah sebelum menyuap makanan. Terlalu banyak hadis meriwayatkan Nabi salallahu alaihi wasalam membaca dan mengarahkan agar membaca basmallah untuk menjamah makanan. Manakala doa makan popular yang diamalkan itu tidak sahih/ mungkar (rujuk komen al-Bukhari, Ibn Hibban, Abu Hatim al-Razi, Ibn ‘Adiy). Tetap dibantah dengan mengatakan doa lebih baik.
-Membaca atau mentadabbur al-Quran adalah amalan mulia dan dituntut. Tetapi menetapkan bacaan Al-Fatihah untuk dibuat sedekah kepada si mati tiada contoh daripada Nabi dan para sahabat. Namun berdoa kepada roh si mati mempunyai dalil yang sahih untuk dijadikan panduan.Tetapi dibantah dengan mengatakan menyedekahkan Al-Fatihah lebih baik.
-Membaca atau mentadabbur al-Quran adalah amalan mulia dan dituntut. Tetapi digalakkan membaca surah al-Kahfi daripada menetapkan dan mengkhususkan membaca surah Yasin pada malam Jumaat. Ini berdalilkan hadis.Tetap dibantah dengan mengatakan Yasin lebih baik.
-Infak atau memberi sedekah adalah amalan mulia dan dituntut. Tetapi melakukan hal-hal lain ketika khatib memberi khutbah Jumaat dilarang keras berdalilkan daripada hadis. Lantas buat pa hang duk pi sorong tabung dan lebih haru ada siak bawa bakul dari saf ke saf Jemaah duduk tu? Tetap dibantah dan menjalankan pungutan duit di waktu terlarang.
-Membaca atau mentadabbur al-Quran adalah amalan mulia dan dituntut. Tetapi jamuan upacara menghantar pahala kepada si mati dengan membaca surah Yasin tidak pernah dicontohkan oleh Nabi salallahu alaihi wassalam, para sahabat dan tabien. Tetap membantah dengan mengatakan baca al-Quran dan menjamu orang makan adalah perbuatan baik dan mulia.
dan banyak lagilah. U name it!
14/1/2021 @ 3.20 pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan