Selasa, 9 Februari 2021

LET HIM GO (2020)


Apabila Covid-19 menyerang seluruh dunia dan melumpuhkan perniagaan pawangan, saya pasti banyak yang tertanya-tanya, apakah filem terbaik bagi tahun lalu? Bagi saya, Let Him Go ialah antara yang terbaik. Saya memang peminat filem Western dari dahulu lagi, namun ini bukanlah filem western spagetti. Bagi yang tak tahu, Kevin pernah melakonkan watak Wyatt Earp, watak yang dipegang dengan cemerlang oleh Kurt Rusell dalam filem Tombstone. Malah Kevin memang turut terlibat dalam pembikinan Tombstone tetapi timbul salah faham hingga dia tarik dari diri dan buat filem Wyatt versi dia pula. 

Filem ini diadaptasikan daripada novel tulisan Larry Watson dengan judul yang sama. Ia berlatar belakangkan zaman awal 60-an tentang sebuah keluarga seorang pesara Sheriff bernama George Blackledge (Kevin Costner) dan isterinya Magaret (Diane Lane) yang merupakan seorang penjinak kuda. Anak mereka telah maut ditimpa satu kecelakaan ketika menunggang kuda, 3 tahun kemudian isterinya akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin lagi dengan Donnie Weboy.

Walaupun berat untuk berpisah dengan cucu mereka, Jimmy mereka akur membiarkan Donnie menjaganya sebagai bapa tiri. Suatu hari Magaret terlihat Donnie memukul Jimmy dan isterinya di pekan. Dia pun jadi tak sedap duduk, suatu hari bila Magaret ke rumah Donnie, mereka dah pun berpindah. Risau dan gusar tentang keadaan Jimmy, Magaret dan George ambil keputusan untuk ke North Dakota untuk menjejak keluarga Weboy. George sebagai pesara sheriff mengunakan kelebihan yang ada meminta bantuan daripada balai sheriff untuk mencari Weboy.


Weboy rupanya datang daripada keluarga konservatif, mereka bukanlah jahat sebenarnya, tetapi dari segi bahasanya ialah konservatif. Kalau difikirkan sebenarnya ketegasan Blanche Weboy, ibu adik-beradik Weboy itu dah memang cara orang kampung. Itu cara mereka, tetapi George dan Magaret merasakan mereka lebih bertamadun dan berkemampuan untuk menjaga Jimmy. Bermulalah, perseteruan mereka apabila masing-masing bertemu muka dalam undangan makan malam di rumah Blanche. Satu drama kekeluargaan yang cukup mendebarkan. Saya suka penceritaan sebegini, ia mentah dan realistik, ia kritikan sosial yang rapat dengan kehidupan seharian kita. Jika sesiapa yang tengok dan suka filem Homefront (lakonan Statham, tulisan Sly) pasti menyukai genre filem ini. Kebanyakan masalah berat yang terjadi hanya disebabkan kes-kes yang kecil sahaja. Begitu juga keluarga Weboy ini, apabila mereka tahu George dan Magaret cuba mempengaruhi menantu dan cucunya untuk lari dari rumah mengikut mereka pulang ke Montana, keluarga Weboy mula bertindak. Mereka menyerang George dan Magaret di hotel, polis juga turut menyebelahi Weboy dalam serangan itu. Hujah-hujah Weboy ternyata lebih bernas dan kuat. George putus jari ditetak dengan kapak sia-sia sahaja tanpa pembelaan. 

Konflik ini akhirnya berakhir dengan kemusnahan dikedua-dua pihak apabila George mengambil keputusan untuk mengambil juga cucunya dengan cara koboi. Dia tahu Magaret tidak akan tenang selagi tidak dapat mengambil kembali cucunya. Dia terpaksa berkorban demi dua insan tersayang iaitu isteri dan cucunya. Kalau dalam DC Universe, Kevin berkorban untuk Clark Kent, kini dia berkorban untuk Magaret dan Jimmy plak. Kevin Costner memang aktor terbaik dalam menghidupkan seorang watak ayah berkarisma. Filem-filem ketika era tuanya seperti Criminal, The New Daughter agak lesu dalam babak aksi namun dia tetap memberikan drama yang terbaik kepada penonton.

8/10


1 ulasan:

  1. dalam senarai untuk ditonton. terima kasih atas ulasannya tuan

    BalasPadam