Sabtu, 5 November 2022

JANGAN MEREMEHKAN KEBAIKAN ORANG DAN JADI YANG PALING MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG LAIN

Pada bulan lepas kami berpeluang membawa delegasi Perlis ke Beautiful Gate Foundation for Disabled, Petaling Jaya yang disertai oleh 37 orang yang rata-ratanya ahli jawatankuasa yang menjalankan 10 pusat pemulihan kepada OKU di negeri Perlis. Sesi lawatan itu kami namakan sebagai "Visit & Learn", kerana saya ingin membawa semua para sukarelawan ini untuk melihat sendiri bagaimana sebuah NGO yang bernaung di bawah CAC Methodist Church Malaysia berbakti kepada golongan OKU tak kira bangsa dan agama serta bagaimana organisasi di kawasan urban ini dapat memperkasakan ekonomi mereka untuk bertahan di kala pandemik Covid-19 melanda malah mereka turut mampu membantu komuniti setempat yang terputus bekalan makanan.

Beautiful Gate Foundation for Disabled ditubuhkan pada tahun 1993, dan kini mereka sudah ada 8 cawangan di seluruh Malaysia. Melalui lawatan ini bolehlah kami katakan mereka mempunyai tekad dan azam yang tinggi untuk membantu golongan OKU agar mampu berdikari untuk kembali ke dalam sistem sosial. Mereka sangat aktif dalam jobcoaching (mencari peluang pekerjaan yang sesuai untuk OKU), mampu menyediakan fasiliti seperti asrama kepada OKU yang tiada kediaman untuk ulang-alik kerja, dan giat menghasilkan produk kraftangan dan campuran kopi yang mana sebahagian dari keuntungannya disalurkan balik sebagai elaun kepada OKU. 

Saya membawa delegasi Perlis ke sini bukan sahaja untuk menambah ilmu pengetahuan mereka, sebaliknya mahu membuka minda semua yang hadir bahawa kerja-kerja kebajikan ini bukan kita sahaja yang lakukan dengan keikhlasan, penganut agama lain juga begitu. Mereka juga percaya apa yang mereka lakukan itu tuntutan agama mereka dan mereka melakukan untuk mendapat redha Tuhan mereka. Apakah dengan belajar kaedah membantu komuniti daripada mereka, menghargai dan menghormati jasa mereka menjadikan kita sebagai Muslim yang kufur? Khianat? Seolah-oleh merestui agama selain dari Islam? 

Jelas terdengar bisikan seorang bendahari sebuah pertubuhan ketika kami sedang melawat bilik terapi mereka, "Hari itu ada pertubuhan Kristian hendak beri sumbangan untuk budak kami RM10K buat pembedahan, Kak tolak!".

"Laaa... kenapa? Orang nak tolong, dia pun hendak buat kebajikan juga kot? Jangan fikir bukan-bukan, depa ada bagi syarat apa ke?" tanya saya.

"Takda laa, tak payah pi sain apa, buat pa pun, depa bagi ja. Tapi itulah Kak ada dengar, ada seorang kawan Kak dulu ambik depa bagi duit. Duk tak lama lepas tu, dia jadi tertarik dengan depa, sekarang ini dia dengan bini dia duk ikut NGO depa merata... tu Kak takut. Kak tak mau!"

"Eh! Tu bukan salah depa tu, tu salah dia. Dia yang lemah, dia yang takda pegangan membuatkan dengan sumbangan begitu pun dia boleh tertawan dengan agama lain. Kalau Kak ada tauhid, percaya Islam itulah agama yang benar, takda nak jadi masalah apalah! Kita yang lemah, kita salahkan orang. Bukan siapa paksa siapa pun dalam hal ini".

Pemikiran inilah yang saya ingin bebaskan. Ya, masing-masing kita menjalankan kerja kebajikan dan kerja dakwah serentak, memang begitu cara kerja kita dan mereka. Sama! Bahkan dakwah akhlak itu yang utama dan terdahulu sebelum pergi ke peringkat yang seterusnya. 

Ketika diberi kesempatan untuk berkongsi idea dan pandangan, saya pun ambil kesempatan memperdengarkan dua potong hadith yang saya kira boleh menjadi titik temu kami semua pada kesempatan tersebut:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepada Jabir bin Sulaim,

وَلاَ تَحْقِرَنَّ شَيْئًا مِنَ الْمَعْرُوفِ وَأَنْ تُكَلِّمَ أَخَاكَ وَأَنْتَ مُنْبَسِطٌ إِلَيْهِ وَجْهُكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنَ الْمَعْرُوفِ
“Janganlah meremehkan kebaikan sedikit pun walaupun hanya berbicara bersama saudaramu dengan wajah yang tersenyum kepadanya. Amalan tersebut adalah bahagian dari kebajikan.” [ Hadith riwayat Abu Daud no. 4084 dan Tirmidzi no. 2722. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahwa sanad hadits ini shahih. Al Hafiz Ibnu Hajar menyatakan bahwa hadith ini sahih ].

عَنِ جابر، رَضِيَ الله عَنْهُمَا، قَالَ : قال رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم: خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
“Jabir radhiyallahu ‘anhuma bercerita bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” [ Hadith riwayat Ibn Hibban,  dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ (no. 3289)].

Tiada ulasan:

Catat Ulasan