Jumaat, 22 Mac 2024

MARAH PENIAGA JUAL BARANG MAHAL


Pertama sekali jangan mudah menerakakan orang...

Dalam hukum jual beli ini, kita setuju baru beli. Kita tak setuju, janganlah beli. Bila harga yang ditawarkan mahal, tanya peniaga sebab apa? Dia bagi penjelasan. Contohnya:

“Murtabak saya guna daging kijang, daging lembu wagyu, daging landak. Saya pula guna kentang russet..”

Dia pun nak untung. Tak setuju juga. Takda siapa paksa suruh beli. Kita blah dan beli di tempat lain. Ia bukan makanan asasi, bukan barang kawalan, mana-mana pasar malam, pasar Ramadan, restoran mamak pun ada.

“Aku sebagai pembeli nak protes sikit takkanlah tak boleh?”

Boleh. Sesiapa pun boleh suarakan pendapatnya. Masalahnya menghukum peniaga yang menjual barang mahal seolah-olah urus niaganya yang haram dan terus menerakakannya itu yang keterlaluan! Mari kita rujuk hadis:

1) Saiyidina `Urwah Ibn al-Ja`d al-Bariqi RA pernah diberi satu dinar oleh Rasulullah ﷺ untuk membeli seekor kambing. `Urwah kemudiannya berjaya membeli dua ekor kambing, dan menjual salah satunya dengan satu dinar, menjadikan keuntungan yang diperolehi adalah 100%! Apabila diserahkan, Baginda gembira dan mendoakan beliau dengan keberkatan. Berkat doa itu, beliau apabila berniaga di pasar, boleh menjana keuntungan sehingga 40,000 dinar! Riwayat al-Bukhari (no. 3642). Rujuk juga Fath al-Bari (5/137) oleh Ibn Hajar al-Asqalani.
 
2) Saiyidina al-Zubair bin al-`Awwam RA pernah membeli sebidang tanah di hutan dengan harga 170,000 dirham, kemudian anaknya Abdullah RA menjualnya selepas kematian al-Zubair dengan harga 1,600,000 dirham. Jumlah itu adalah 9 kali ganda! Riwayat al-Bukhari (no.3129).

Dari dua hadis ini jelas, tujuan perniagaan adalah keuntungan. Ini bertepatan dengan majoriti pandangan ulama dan juga fatwa Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 18 Disember 2018; “Kami cenderung kepada pendapat bahawa mengambil untung berlipat kali ganda dalam perniagaan adalah bukanlah sejenis riba dan diharuskan selagi mana tidak membawa kepada penindasan dan kezaliman. Ini kerana keuntungan itu sendiri bersifat relatif dan tidak boleh dibandingkan secara mutlak dengan harga pasaran sebelum ditolak hasil jualan itu dengan perbelanjaan yang perlu ditanggung peniaga sebelum mendapatkan keuntungan bersih”.

Seperti yang diperjelaskan tadi jika ada elemen peniaga aniaya orang. Kita perlukan bukti, bukan tunjuk foto harga mahal, provok, berpakat jatuhkan peniaga sesama muslim! Tunjukkanlah apa yang dia sudah tipu? Kalau takda bukti, jangan menuduh orang hanya kerana kita tak mampu membeli murtabak harga kayangan untuk warga kayangan! Yang sebetulnya kita sedar diri dan pakailah baju ukur badan sendiri.

Mudah sahaja urusan ini jika ada ilmu.

Wallahu’alam.

Nota kaki: Saya bkn peniaga murtabak ya...
- Ra1m1

Tiada ulasan:

Catat Ulasan